Puas makan pelbagai ubat untuk bantu redakan batuk anak namun tak berhasil. Selain mendapatkan ubat-ubatan moden, ibu bapa juga boleh mencuba selawat Syifa sebagai alternatif dalam mencari kesembuhan untuk anak- anak.
Ini yang dikongsikan oleh motivator dan penulis, Afiq Syazwan, yang berkongsi video berkenaan di Tik Tok.
Menurut beliau, anaknya sembuh daripada batuk berpanjangan selepas dia mengamalkan bacaan selawat berkenaan.
Allahumma sholli ‘ala Sayyidina Muhammadin thibbil qulubi wa dawa- iha wa ‘afiyatil abdani wa syifa-iha wa nuril abshori wa dhiya-iha wa’ala alihi wa shohbihi wa sallim.
Ads
Maksudnya: “Ya Allah curahkanlah rahmat kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW, sebagai ubat hati dan penyembuhnya, penyihat badan dan kesembuhannya dan sebagai penyinar penglihatan mata beserta cahayanya.
Semoga selawat dan salam tercurahkan pula kepada keluarga serta para sahabat-sahabatnya.”
Ads
Menurut perkongsiannya, amalan itu dilakukan olehnya secara berterusan dan paling bersyukur anaknya kembali tidur lena.
“Saya nak kongsi satu amalan selawat yang saya baca ketika anak saya batuk terlalu kuat. Selepas diberi ubat, batuk tak hilang. Dia tidur tapi dia batuk. Batuk kuat dan kerap macam sesak nafas.
“Saya buntu, teringat selawat Syifa. Saya ambil tapak tangan, letak kat dada anak, ketika dia batuk, saya baca. Habis sekali selawat, saya tiup dekat dada dia. Sambil saya gosok dada dia.
“Saya kira banyak kali saya ulang, lebih 50 kali. Waktu tu pukul dua pagi, saya tak boleh tidur sebab anak batuk. Baca, tiup, gosok, ulang. Akhirnya dia dapat tidur selepas setengah jam, Alhamdulillah selepas itu dah tak ada batuk,” ceritanya.
Semoga bermanfaat untuk semua.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Kanak-kanak boleh berkembang sebagai pelajar yang lebih aktif apabila mereka berseronok dalam persekitaran permainan yang kondusif untuk pembelajaran.
Permainan otak terbaik ialah permainan yang boleh memberi tumpuan kepada bidang tertentu perkembangan anak anda.
Aktiviti permainan untuk kanak kanak ini memberi kesan positif kepada kemahiran motor, ingatan-ingatan lisan, pengecaman dan pengesanan corak, serta lain-lain lagi.
Ini antara yang paling mudah dan terbaik untuk perkembangan minda kanak-kanak :
Susun Suai Gambar (Jigsaw Puzzle)
Bermain puzzle merupakan antara permainan klasik kanak-kanak sejak dahulu lagi. Permainan ini sesuai untuk meningkatkan kemahiran motor halus, pengesanan corak, pengecaman imej dan penyelesaian masalah.
Kanak-kanak juga boleh belajar tentang kerjasama untuk menyelesaikan tugasan, serta kemahiran penting yang berkaitan dengan kepuasan tertunda setelah menyelesaikan puzzle.
Bercerita Dengan Satu Perkataan
Anda boleh mengajak semua anak-anak anda atau kanak-kanak lain untuk bermain permainan ini. Berikan perkataan tertentu kepada setiap kanak-kanak dan minta mereka untuk membuat cerita ringkas dengan menggunakan perkataan tersebut.
Aktiviti ini boleh membantu mencetuskan kemahiran penyelesaian masalah kreatif dalam diri kanak-kanak dan meningkatkan pemahaman mereka tentang bahasa.
Bermain Tanah Liat
Bermain tanah liat juga amat baik untuk perkembangan minda anak anda, lebih-lebih lagi tanah liat dengan pelbagai warna. Bagi kanak-kanak yang masih kecil, tanah liat berwarna-warni sangat sesuai untuk mengajarkan mereka menentukan warna yang betul.
Selain itu, membentuk tanah liat dengan menggunakan tangan mereka sendiri dapat merangsang motor halus selain mengembangkan bakat kreatif anak anda.
Blok & Mainan Binaan
Pemainan blok dipercayai dapat merangsang pertumbuhan otak dalam semua aspek perkembangan. Malah ada kajian membuktikan kanak-kanak yang bermain blok secara kerap ketika berusia 3, 4 dan 5 tahun akan lebih baik dalam pelajaran matematik, khususnya algebra apabila berada di sekolah menengah.
Terdapat banyak pilihan blok dan set pembinaan yang menyeronokkan untuk dipertimbangkan, termasuklah blok kayu dan lego.
Mainan Budak #Pretend play
Pretend play atau role play, merupakan permainan dramatik yang mempunyai manfaat kognitif, sosial dan emosi yang terbaik.
Ini kerana melalui permainan seperti ini, contohnya bermain masak-masak, doktor atau guru, anak akan mula menerokai apa yang disukai, diminati dan menjelajahi dunia di sekeliling mereka. Permainan ini juga memberi peluang kepada anak untuk belajar sesuatu perkara baharu berkaitan kehidupan.
Kanak-kanak sedang membina kemahiran sosial dan emosi, menyokong kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, belajar membaca isyarat sosial, berkongsi, bergilir-gilir dan banyak lagi apabila mereka terlibat dalam permainan dramatik.
Mainan yang menyokong permainan ini termasuk perabot saiz kanak-kanak, pakaian dan solekan, anak patung dan pakaiannya, makanan plastik, mesin tunai, alat permainan pengangkutan dan sebarang barangan kreatif membolehkan anak ‘berlakon’ (pretend).
Kit Seni & Kraf
Seni dan kraf merupakan antara permainan yang digemari kanak-kanak. Berikan anak kertas, pensel warna, krayon dan gunting yang selamat untuk mereka.
Lihat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka apabila berjaya menghasilkan potongan bentuk unik. Berikan sokongan dan percayalah ia akan terus meningkatkan motivasi mereka untuk lebih berimaginasi dan menjadi kreatif.
Berikan putik kapas atau bebola kapas untuk dicelup dalam warna air dan lihat bagaimana mereka menghasilkan lukisan seperti Leonardo da Vinci junior.
Namun anda perlu memantau kerana anak mungkin ‘tergoda’ untuk menconteng dinding! Untuk menghindari perkara ini anda boleh menampal kertas besar pada dinding dengan menggunakan pita pelekat.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Bagi membolehkan mak dan ayah menunaikan solat tarawih dengan baik dan sempurna tanpa sebarang gangguan, dua masjid memilih untuk mengadakan pusat asuhan untuk anak-anak.
Sempena Ramadan kali ini, Masjid Putra Nilai mengambil inisiatif mengumumkan perkhidmatan asuhan kanak-kanak yang ternyata menerima respon yang cukup baik dari orang ramai.
Masjid Putra Nilai
Masjid ini merupakan antara masjid terawal yang menyediakan tempat asuhan kanak-kanak bagi jemaah yang datang untuk menunaikan solat tarawih. Sudah semestinya, ruangan khas ini adalah untuk memudahkan para jemaah yang sukar meninggalkan anak mereka di rumah.
Menurut pihak pengurusan Masjid Putra Nilai, perkhidmatan dikenali sebagai ‘Nurseri Ramadan’ itu menyediakan tempat selamat buat si kecil yang berumur 3 hingga 9 tahun. Dalam laman Facebook itu menyatakan nurseri dibuka jam 8 malam hingga 10.30 sepanjang bulan puasa bertempat di Dewan Besar Masjid Dato’ Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong, Putra Nilai.
Lebih menarik lagi ada pelbagai jenis aktiviti agar si kecil boleh meluangkan masa bersama rakan-rakan yang lain. Antaranya:
– Permainan Soopa Doopa
– Tayangan cilik
– Kanak-kanak juga boleh bermain permainan video e-sport di kiosk TGS Studio seperti Virtual Reality Astro Bot, X-Box Kinect dan Nintendo Switch Sport.
Biarpun mengenakan bayaran namun usaha kecil ini seharusnya dipuji sebagai salah satu usaha membantu di bulan Ramadan ini.
Masjid Wilayah Persekutuan
Bukan sahaja di Masjid Putra Nilai, malah Masjid Wilayah Persekutuan turut sama menyediakan tempat asuhan untuk anak-anak yang digelar sebagai Program Asuhan Masjid Wilayah.
Menariknya ia diberikan secara percuma sahaja malah boleh terus ‘walk in’ tanpa perlu menempah slot untuk anak-anak. Lokasinya pula terletak di Ruang Legar Tingkat 2, Anjung C, Masjid Wilayah Persekutuan.
Menerusi video perkongsian, kelihatan anak-anak menghabiskan masa dengan permainan-permainan dan tayangan kartun. Bukan itu sahaja, ada juga sedikit kudapan makanan dan minuman buat kanak-kanak tersebut.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menerima 12 jahitan selepas mengalami kecederaan serius akibat terlanggar cermin kaca di sebuah taman awam sekitar Pengerang, Johor, baru-baru ini.
Ibunya, Nurul Shazrina Roslee, 38, berkata, detik cemas yang menimpa anak sulungnya berlaku ketika mereka sekeluarga mengunjungi taman awam tersebut sekitar jam 9.30 malam untuk menyaksikan tarikan baharu di sana.
Kongsi Nurul Shazrina lagi, ‘mirror maze’ yang ditempatkan di taman awam itu berbentuk bulatan dengan lampu-lampu di sepanjang cermin yang menyebabkan keadaan menjadi keliru akibat pantulan kaca pada waktu malam.
“Pada mulanya, kami menyangka permukaan cermin itu akrilik, bukannya kaca yang boleh membahayakan pengunjung.
“Ketika sedang memegang dua anak kecil, saya melihat si sulung sudah berjalan ke depan sebelum terdengar bunyi hempasan kaca yang sangat kuat,” katanya berkongsi.
Sebaik berlari ke arah bunyi tersebut, Nurul Shazrina terkejut mendapati anaknya sudah dalam keadaan berlumuran darah.
“Kami segera membawa dia ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal. Anak saya memerlukan 12 jahitan di bahagian dahi, hidung, jari kanan, dan pergelangan tangan kiri akibat luka yang teruk.
“Setelah menjalani pemeriksaan X-ray dan membuka balutan, darah masih keluar sehingga kami terpaksa membawa dia ke hospital KPJ untuk rawatan lanjut. Walaupun tiada keretakan di kepala, serpihan kaca ditemui di dalam hidungnya.
“Selain itu, jari kanan anak saya yang digunakan untuk menulis memerlukan rawatan fisioterapi berterusan,” jelasnya lagi.
Pun begitu katanya, keadaan anaknya kini semakin pulih walaupun mempunyai parut yang kekal untuk jangka masa panjang.
Menyedari khilafnya yang perlu lebih peka ketika membawa anak, dia bagaimanapun terkilan kerana cermin itu diletakkan di kawasan awam malah membahayakan pengunjung.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan atas faktor keselamatan, dia membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Pengerang dan pihak berkuasa telah menutup kawasan tersebut sehari selepas kejadian.
“Saya berpandangan cermin kaca tidak sesuai atau munasabah diletakkan di taman awam atas faktor keselamatan. Tujuan aduan ini dibuat adalah demi meningkatkan kesedaran dan bukan untuk menyaman mana-mana pihak,” katanya.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!