Anak sulung sememangnya cukup istimewa di hati kita selamanya. Penghuni rahim yang pertama bagi seorang ibu. Biarpun anak sulung segalanya namun anak ini sering diabaikan.

Perkongsian Penulis Keibubapaan, Hanis Athirah Rusli mengenai anak sulung ini mak ayah kena buka mata.


Sebagai anak sulung juga, mama akui mama silap dan sebenarnya inilah lapan perkara yang anak sulung perlukan dari ibu dan ayah.

Dengar dan faham dirinya

Kita selalu meminta anak sulung mengalah dengan turunkan EGO, DIAM, DENGAR dan PENDAM. Lama kelamaan mereka rasa sukar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Mereka menjadi reda, akur dan terpaksa banyak berkorban. Dalam masa sama kita lupa mereka masih lagi kecil dan perlukan perhatian dari kita.

Berikan perhatian 

Percayalah anak-anak tak mahu pun percutian ke tempat yang mewah-mewah, pakaian yang berjenama, mainan yang mahal-mahal. Sebab peringkat umur ini, mereka lebih utamakan keperluan berbanding kehendak diri mereka. Mereka inginkan perhatian daripada kita, masa dan ruang untuk kita luangkan masa dengannya.

Belaian kasih sayang

Anak-anak tak dapat tahu apa isi hati kita. Betapa sayangnya kita terhadap mereka. Tapi anak boleh lihat sebagaimana kita melayan mereka dan cara itulah mereka interpretasi kasih sayang kita terhadap mereka. Tak semestinya anak bila besar tak boleh dimanjakan lagi. Cuma ikut batasan dan tidak keterlaluan. Tak salah ajak anak sulung letak kepala atas riba, gosok rambutnya. Berikan pelukan kasih sayang dan ciuman seorang ibu padanya setiap hari supaya anak rasa disayangi.

Berhenti membandingkan diri

Setiap anak ni unik, ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Raikan dan jangan banding-banding. Terima personaliti dirinya, tunjukkan contoh yang baik supaya anak meniru sikap yang baik kita tonjolkan kepadanya.

Luang masa berbual

Anak sulung sangat perlukan kita untuk meluahkan apa yang terbuku dihatinya tanpa kehadiran adik-adiknya yang lain. Anak sulung sangat perlukan kita terutama di waktu sukar yang dialaminya. Tapi kita mak ayah langsung tidak memahami, malah terus menghakimi mereka, tanpa peduli kitalah sepatutnya menjadi orang yang paling penting untuk berikan bahu untuk mereka mengadu, pelukan hangat tanda memahami dan ciuman tanda menyayangi.

Adil dan tak pilih kasih Satu perkara yang tak boleh dipertikaikan kepada golongan yang bergelar ibu ialah kasih sayang mereka. Mereka akan berhabis-habisan mengatakan mereka sayangkan semua anak dan kasih sayang yang diberikan sama kerana keluar dari rahim yang sama. Tapi pernah tak kita terfikir adakalanya kita sebagai ibu boleh juga tidak sengaja berlaku pilih kasih dalam memberi kasih sayang atau perhatian terhadap anak-anak?

Percayakan dirinya

Sesekali tak salah minta pendapat atau beri peluang anak sulung untuk menyatakan idea yang ada dalam sesuatu hal. Kurangkan kritik usaha mereka jika tak berjaya kerana akan membuatkan anak sulung tiada keyakinan diri dan takut untuk mencuba benda baharu. Berikan galakan dan dorongan padanya. Paling penting percayakan kebolehannya.

Hargai kewujudan dirinya

Anak sulung nak sangat merasa dihargai titik peluh dan pengorbanannya terutama dalam menjaga adik-adiknya. Ungkapkan terima kasih dan berikan dorongan kepadanya. Kita yang telah diberi anugerah memelihara anak ini, tunaikan amanat yang diberikan sebaik-baiknya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Sayangi dirinya penghuni pertama rahim kita.

Selaku anak sulung, perkara ini juga yang saya perlukan masa kecil dulu. Tambah, bila jadi mak lebih daripada seorang anak, ada kalanya tersilap lebih layanan dan perhatian kepada yang kecil berbanding yang sulung. Namun langsung tak berbeza sayang di hati.
Tapi perlu diperbaiki supaya tak makan hati.

Kredit: Hanis Athirah Rusli