Untuk mereka yang meminati paranormal atau hal mistik pastinya tahu di Malaysia ada banyak kisah seram yang melibatkan bangunan-bangunan yang sehingga kini masih gah berdiri. Terdapat beberapa rumah dan tempat yang dikatakan berhantu dan memiliki kisah mistik tersendiri.

Malah ada yang berkunjung ke situ untuk aktiviti paranormal pernah dirasuk, diserang histeria, melihat penampakan menyeramkan malah tidak kurang juga yang ‘diikut’ entiti seram itu hingga ke dalam kereta atau rumah sendiri. Ada juga sesetengah kisah dari kawasan atau tempat ini diangkat menjadi filem bergenre seram.

VILLA NABILA

Villa Nabila yang terletak di Johor Bahru adalah sebuah rumah agam dengan rekaan binaan mewah dan unik. Dikatakan pemiliknya meninggal dunia akibat kemalangan dan meninggalkan seorang anak perempuan bernama Nabila. Nabila yang menjadi pewaris tunggal harta dan kekayaan dimiliki ibu ayahnya dikatakan dibunuh pembantu rumahnya dan ditanam di salah satu dinding rumah berkenaan. Jika mahu berkunjung ke sini, eloklah anda berteman kerana ada yang pernah melihat penampakan budak perempuan kecil berpakaian putih di sini. Filem Villa Nabila yang ditayangkan pada 2015 juga mengambil inspirasi daripada kisah villa ini.

RUMAH MONA FENDY

IKLAN

Sebut saja Mona Fandey meremang rasa bulu roma ! Teringat kisah pembunuhan berprofil tinggi seorang ahli politik yang badannya dikerat 18 dan ditanam di sekitar rumah di Raub, Pahang ini. Mona Fandey dihukum gantung bersama suami dan pembantunya pada 2001 selepas didapati bersalah membunuh individu berkenaan. Walaupun sudah dipenuhi belukar, rumah hantu separuh siap yang agak jauh ke dalam hutan ini kekal menjadi sebutan dengan kisah mistiknya kerana dipercayai menjadi tempat Mona menjalankan aktiviti berkaitan ilmu hitam. Rumah berkenaan juga sebelum ini menjadi tempat kegiatan khurafat.

LEBUHRAYA KARAK

Sesiapa sahaja yang memandu di Lebuhraya Karak terutamanya pada waktu malam pasti terimbau kisah kereta Volkswagen kuning tidak berpemandu di sini. Ada yang pernah mengalami dikejar kereta berkenaan dan akhirnya kemalangan. Selain itu ada yang pernah terjumpa wanita cantik menahan kereta di sini. Bila ditumpangkan dia tiba-tiba hilang apabila tiba di destinasi. Filem seram Laluan Karak yang ditayangkan pada 2011 juga berkaitan kisah seram di sini.

IKLAN

KELLIE’S CASTLE

Rumah agam yang terletak di Gopeng, Perak ini menyerupai istana. Ia dibina seorang lelaki dari Scotland sebagai tanda cinta kepada isteri dan keluarganya. Namun dia diserang penyakit dan kembali ke Scotland sebelum rumah ini siap sepenuhnya. Dikatakan satu sudut rumah ini iaitu balkoninya sering dikunjungi roh lelaki berkenaan. Setiap kali ke balkoni tiupan angin akan membuatkan bulu roma anda meremang. Ada juga yang pernah nampak budak perempuan kecil berbaju putih berlari-lari di balkoni itu.

IKLAN

HIGHLAND TOWER

Antara rumah hantu di Malaysia yang paling popular, sebut sahaja Highland Tower terus terbayang kondominium mewah di atas bukit yang boleh dilihat dari lebuhraya MRR2. Tanah runtuh yang menyebabkan sebahagian bangunan ini runtuh turut mengorbankan 48 nyawa yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut. Kisah mistik yang dikaitkan dengan rumah ini terlalu banyak tetapi yang paling seram kisah wanita tua mengendong bayi. Jika anda pernah terjumpa jangan tunggu dia berpaling, pasti anda akan mengalami trauma seumur hidup.

AMBER COURT, GENTING HIGHLANDS

Anda akan menjumpai apartmen ini dalam perjalanan mendaki ke puncak Genting Highlands. Dengan cat yang sudah buruk, ditambah lagi dengan contengan dan graffiti di dinding menambahkan lagi rasa seram apabila berada di sini. Berhadapan dengan Hotel First World, rumah hantu atau kediaman seram ini menjadi pilihan ahli paranormal malah pengunjung Genting Highland. Ada juga yang pernah jumpa wanita tiada kepala, bunyi pintu dihempas selain bunyi salakan anjing yang sangat menyeramkan.