Dalam dunia yang semakin sibuk, kanak-kanak juga memerlukan ruang untuk berehat dan menikmati masa berkualiti yang penuh ketenangan. Orang dewasa pun memerlukan tempat ‘healing’ inikan pula kanak-kanak yang aktif dan memerlukan aktiviti yang boleh memenuhi harian mereka.

“Tempat Rehat & Riang untuk Si Kecil” menawarkan pelbagai destinasi yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi peluang kepada anak-anak untuk bersantai sambil merangsang kreativiti dan emosi mereka.

Sama ada bermain di alam semula jadi, menikmati aktiviti seni, atau hanya berehat di ruang yang tenang, tempat-tempat ini direka khusus untuk menyokong kesejahteraan si kecil dalam suasana yang penuh kasih sayang dan ceria.

Berikut 5 tempat rehat & riang yang menarik untuk si kecil:

  1. Dinosaur Encounter Zoo Melaka
    Dinosaur Encounter di Zoo Melaka adalah tarikan yang menarik untuk kanak-kanak dan keluarga. Pameran ini menampilkan pelbagai jenis dinosaur yang telah pupus, membawa pengunjung kembali ke zaman prasejarah.Di sini, kanak-kanak dapat belajar tentang pelbagai spesies dinosaur, habitat mereka, serta bagaimana mereka hidup jutaan tahun yang lalu. Dengan replika dinosaur bersaiz sebenar dan interaktif, pengalaman ini memberikan pelajaran yang mendalam dan menyeronokkan tentang sejarah bumi yang kaya.

    Apa yang menarik disini, disetiap dinosaur yang ada akan mempunyai suara. Jadi, semua orang akan belajar dan mengetahui bagaimana setiap dinosaur berbunyi! Menarik!

2. Rumah Kebun Camping Ground, Hulu Langat
Rumah Kebun Camping Ground adalah lokasi yang ideal untuk aktiviti riadah bersama keluarga. Dengan kawasan perkhemahan yang luas, ia mampu menampung tiga khemah tambahan, menjadikannya tempat yang sesuai untuk perkumpulan keluarga besar.

Keunikan tapak ini adalah sungai yang terletak bersebelahan, memudahkan pengunjung untuk menikmati alam semula jadi sambil bersantai. Kemudahan seperti pondok, tandas persendirian, dan tempat khas untuk barbeque menjadikan pengalaman berkhemah lebih selesa. Bayangkan menikmati makanan barbeque yang lazat sambil berendam di sungai yang segar!

3. Jungle Gym Flamingoland, Quayside Mall
Jungle Gym Flamingoland menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk kanak-kanak, termasuk permainan halangan dan gelongsor (sliding) di mana mereka boleh bermain bersama-sama.

Yang lebih menarik, terdapat GP Meta Kart di mana bukan sahaja kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga boleh turut serta bermain. Ini menjadikannya tempat yang sesuai untuk aktiviti keluarga.

Selain itu, di dalam kawasan ini juga terdapat kafe, jadi ibu bapa boleh berehat sambil kanak-kanak menikmati makanan setelah bermain. Satu destinasi yang lengkap untuk hiburan keluarga!

4. Rollerwa, Lalaport
Rollerwa menawarkan aktiviti Indoor Quad Roller Skating Rink dengan tema K-pop yang pasti menarik minat pengunjung, terutamanya peminat muzik Korea.

Di sini, pengunjung boleh menikmati pengalaman meluncur roda empat di dalam ruang tertutup yang dihiasi dengan muzik K-pop yang gempak, menjadikan suasana lebih meriah dan menyeronokkan.

Tempat ini sesuai untuk semua peringkat umur, dan memberikan peluang untuk bersenam sambil berhibur dengan iringan lagu-lagu K-pop kegemaran!

5. TheFOODtree Restaurant Glenmarie
TheFOODtree Restaurant menawarkan pengalaman makan yang unik dengan pelbagai hidangan yang lazat dan menarik. Lebih istimewa lagi, restoran ini bertemakan dinosaur, menjadikannya tarikan yang hebat untuk kanak-kanak.

Sambil menunggu makanan dihidangkan, kanak-kanak boleh bermain di playground yang disediakan atau menyertai aktiviti seperti melukis dan mewarna.

Dengan kombinasi suasana menyeronokkan dan hidangan yang enak, ia pasti menjadi destinasi pilihan untuk keluarga yang ingin bersantai dan menikmati waktu makan bersama.