
Korang pernah tak kena situasi macam ni, cikgu suruh tulis nama kat kertas, tapi korang ambil masa lama sebab nama sendiri panjang gila atau ejaannya pelik sangat? Haa… korang bukan seorang saja tau! Rupanya sekarang ramai mak ayah suka letak nama unik atau berbelit-belit ejaannya. Bunyi sama, tapi tulisannya… fuhh, siap kena fikir dua kali!
Contohnya, Firdaus jadi Ferdhauz, Latifah jadi Latheefah, Jasmin jadi Jadzmeen. Nampak fancy, tapi susah kot nak tulis setiap hari!
Kenapa Nama Susah Jadi Masalah?
Menurut seorang petugas kesihatan, bila nama pelik sangat, staf hospital boleh jadi keliru. Lagi-lagi masa kecemasan yang kena cepat. Nak taip dalam sistem pun boleh tersilap. Nak tulis dalam borang pun berpinar biji mata katanya.
Bayangkan tengah panik…
“Nama siapa ni? Eja macam mana? Huruf D atau Z? Ada H tambahan tak?”
Aduh, bertambah stres!

Cikgu Pun Kadang Tersasul
Ada cikgu pernah kongsi pengalaman dia jumpa nama murid macam ni, Idris jadi Eidries,
Yusuf jadi Yousuf, Malik jadi Maleeq.
Mulut sebut lain, kertas tulis lain. Lama-lama cikgu pun confuse! Kadang cikgu cuba ajar murid untuk hafal ejaan sendiri, tapi murid pun pening nak ingat sebab lain sangat daripada sebutan. Bila nak tanda kehadiran, periksa kertas ujian, isi rekod buku disiplin, semua ambil lebih masa sebab perlu semak betul-betul supaya tak tersilap eja.
Nama Unik Tak Salah, Tapi…
Ramai orang kata kalau nak unik, pilihlah nama yang memang unik. Bukan ambil nama biasa, lepas tu twist ejaan sampai orang tak faham. Contohnya, kalau nak nama special, bagi nama betul-betul special. Bukan nama Jasmine tapi tukar jadi Jhazzmyne sampai robot pun confuse. Kadang ibu bapa fikir nama unik akan buat anak lebih standout, tapi realitinya anak pula yang kena menjawab setiap kali orang tanya, “Eja macam mana?”
Dalam urusan rasmi macam daftar akaun bank, mohon kolej, peperiksaan besar, atau dokumen kerajaan, ejaan pelik juga boleh menyebabkan sistem tak jumpa rekod, atau data jadi tidak konsisten. Perkara kecil macam ejaan pun boleh memberi kesan besar bila sudah melibatkan dokumen rasmi.

Apa Pengajarannya Untuk Kita?
Sebenarnya, nama ni benda penting sebab korang akan guna sepanjang hidup. Tulis dekat buku, dekat peperiksaan, dekat fail hospital, dekat borang pertandingan… banyak tempat! Kalau terlalu susah, nanti:
- Lambat isi borang
- Orang salah eja
- Susah nak daftar apa-apa
- Masa kecemasan boleh jadi kelam-kabut
Selain itu, nama unik yang terlalu kreatif kadang-kadang menyukarkan teknologi untuk membaca atau mengesan ejaan. Sistem automatik seperti mesin pendaftaran, borang digital, dan aplikasi juga mungkin tidak mengenali ejaan tertentu dan boleh menolak permohonan hanya kerana tersilap eja satu huruf.
Kalau korang ada nama panjang atau susah eja, jangan sedih. Anggap saja korang ada nama VIP special edition! Tapi… kalau penat tulis, bolehlah minta mak ayah bagi nickname comel untuk kegunaan harian. Setidak-tidaknya bila isi borang sekolah atau jawab kuiz cepat, tak adalah tercungap menulis panjang.
Kesimpulan
Akhirnya, apa pun pilihan nama, yang penting ia senang disebut, senang dieja, mudah diingati, dan tidak menyusahkan korang atau orang lain dalam jangka masa panjang. Nama unik itu tak salah, malah boleh jadi identiti menarik, tetapi biarlah kena tempat dan tidak terlalu kompleks sampai memeningkan sesiapa yang nak menulis atau mendaftarkannya.
Kalau mak ayah suka nama special, pilihlah nama yang tetap jelas, ringkas, dan tidak lari jauh daripada sebutan asal. Sebab walaupun niat nak beri keunikan, kesannya akan kekal seumur hidup. Jadi, pilih dengan bijak dan penuh pertimbangan.




