Mak ayah mana yang tidak risaukan anak. Sebolehnya setiap masa mak ayah mahu perhatikan apa anak buat tapi jangan pula berlebih-lebihan. Beri anak kebebasan.
Anak yang terlebih dipantau dan dikawal pergerakannya boleh menjadi seorang anak yang hilang keyakinan diri dan penakut. Ini yang dikongsikan oleh Penulis Keibubapaan, Pn Wawa Shauqi.
Pantau untuk mendisiplinkan?
Atau pantau sampai anak jadi penakut?
Ramai yang salah faham dengan perkataan ‘pantau’.’Pantau’ sangat bagus untuk mengelakkan anak-anak kita dari cedera. Mahupun terjebak buat benda-benda yang salah. Tapi janganlah sampai semua benda kita larang anak buat.
Anak pegang apa-apa kita ketuk tangan dia.
Anak baru nak berjalan ke tempat gelap, kita takutkan dia.
Anak baru nak test pegang barang, kita dah gertak.
Lama-lama, anak takut nak explore semua benda. Nak cuba buat apa-apa pun tak confident. Sedangkan dari exploration deria badan itulah yang membina jaringan otak yang mereka perlukan jadi budak bijak.
Rugi besar kalau kita asyik melarang-larang anak buat semua perkara. Sebab apa? Sebab kanak-kanak yang dibesarkan dalam suasana yang banyak larangan dan peraturan yang keterlaluan, menyebabkan anak:
* Hilang keyakinan diri. Nak pandang mata orang pun takut apatah lagi nak buat semua sendiri.
Ads
* Penakut. Sampai ke besar penakutnya menghalang mereka dari pergi jauh.
* Hilang sifat risk-taker. Sedangkan sifat inilah antara orang-orang yang mudah berjaya.
* Boleh jadi juga, mereka cari saluran lain untuk salurkan kepuasan diri. Kat rumah dia tak dapat, kat luar dia mencuba. Tau-tau kena tangkap dengan kawan-kawan. Nauzubillah…
Apa yang boleh kita lakukan untuk galakkan sifat aktif, berani dan menyerlah dalam diri anak-anak adalah :
❤️ Kurangkan ‘no’.
Dr Syeikh Muszaphar pernah berpesan perkara yang sama dalam satu talk. Beri anak ruang untuk explore.
Jangan takut anak pegang benda tajam atau buat benda bahaya. Selagi kita memantau dengan baik, insya Allah anak akan dapat kebaikan.
Ads
❤️ No ‘helicopter parenting’.
Beri anak buat sendiri. Sesekali, biar mereka suap sendiri, butang baju sendiri, selesaikan puzzle sendiri. Memang anak buat kerja lambat dan messy. Memang tak sempurna. Tapi dari situlah mereka belajar jadi mahir.
❤️ Perbanyakkan aktiviti outdoor.
Beri anak kebebasan untuk berlari, melompat, memanjat. Malah berkaki ayam. Connect dengan alam. Detox dari gajet.
❤️Sign up kelas.
Cari kelas yang kena dengan kecenderungan anak. Dari kelas pidato, kelas muzik, kelas renang, kelas teakwando dan kelas baking.
❤️ Cuba perkara baru.
Buat sesuatu di luar kebiasaan. Sekali-sekala bawa anak camping. Beri anak hammer untuk bantu kita bertukang. Ajak anak bercucuk tanam. New experience spark connection baru dalam otak anak.
Ads
❤️ Jangan sekat mereka mencuba atas alasan jantina.
Tak salah perempuan memanjat.
Tak salah lelaki menjahit.
Tak salah perempuan memanah.
Tak salah lelaki memasak.
Kita yang kadang meletakkan boundry yang tak perlu. Sampai anak salah tafsir had kerja untuk lelaki dan perempuan.
Ya, saya faham. Peraturan sangat penting untuk mendisiplinkan anak-anak. Tapi janganlah disekat sampai anak tu dipaksa rigid macam robot.
Ada masanya, kita perlu beri autoriti untuk anak mencuba. Dalam masa yang sama, kita sebagai ‘coach’, memerhati dari jauh.
Agak-agak melampau, baru tiup wisel dan mula semula. Kalau salah, betulkan.
Kalau perlu kata semangat, bagilah motivasi. Kalau bahaya, pesan untuk ambil langkah berjaga-jaga.
Barulah anak kita membesar jadi yakin diri. Tak takut mencuba. Dan berani untuk melangkah jauh terkehadapan dari orang-orang lain.
Saya tau macam mana rasanya jadi kanak-kanak yang penakut. Sebab tu bila ada anak sekarang ni, saya beri je ruang untuk mereka explore.
– Saya beri anak pegang pisau untuk tolong saya memasak
– Saya bagi anak slide tilam kat tangga, asalkan tilamnya cukup tebal
– Saya bagi anak panjat tinggi-tinggi asalkan saya pantau
– Saya bagi anak main skate board dan roller blade, asalkan pakai helmet.
Sebab nak mereka jadi explorer. Yang yakin diri dan berani mencuba.
Dihujung-hujung Ramadan ini pasti diantara kita yang sudah tidak berselera untuk makan nasi. Ramai memilih untuk makan mi segera ketika sahur.
Pun begitu menurut pakar, ia bukan satu tindakan yang bijak malah tidak disyorkan untuk semua.
Menurut pengamal perubatan Dr Yunita Indah Dewi, dari petikan sumber Detik Health, mi segera bukan menu makanan yang ideal. Hal ini kerana, makanan ini mempunyai kandungan serat dan protein yang rendah dan lemak yang tinggi.
Keadaan menjadi bertambah buruk lagi terutama kepada pesakit yang mengalami gangguan asid perut atau ulser. Mi segera boleh memburukkan keadaan kesihatan ketika berpuasa.
“Lebih baik tidak mengambil mi segera ketika bersahur kerana ia rendah serat dan protein, tetapi tinggi lemak.
“Bagi penghidap ulser, ini boleh meningkatkan risiko sakit menjadi lebih teruk ketika berpuasa,” katanya.
Sementara itu, menurut pakar pemakanan Dr Johanes C Chandrawinata, mi segera mempunyai kadar kalori yang tinggi yang mana dominannya ialah karbohidrat dan lemak.
Sementara yang paling sedikit ialah protein, sekali gus boleh meningkatkan risiko kenaikan berat badan sekiranya ia diambil terlalu kerap.
Bukan itu sahaja bahkan mi segera juga mempunyai kandungan garam yang tinggi. Kandungan garam yang tinggi boleh mencetuskan keinginan untuk kencing lebih kerap yang membawa kepada risiko dehidrasi dan mengganggu kelancaran ibadah puasa.
Ambil mi segera dengan cara sihat
Pun begitu, kedua-dua pakar menyarankan beberapa cara yang boleh mengurangkan risiko kesihatan untuk menikmatinya.
Paling penting, usahalah untuk menambah sayur-sayuran serta sumber protein dalam satu hidangan serta mengurangkan jumlah kuantiti mi segera itu agar tidak terlalu banyak.
Anda boleh juga menggantikan mi segera dengan mi shirataki. Mi shirataki adalah sejenis mi tradisional Jepun yang diperbuat daripada keladi konjac dan ia sesuai dijadikan alternatif kerana rendah kalori dan karbohidrat serta bebas gluten.
Kita paling takut anak kita terkena hujan. Bimbang anak demam, selesema dan sekaligus batuk. Air hujan sebenarnya tidak seharusnya dipersalahkan. Apa sebabnya?
Seperti jangkitan lain, demam dan selesema berlaku disebabkan oleh jangkitan virus atau mikroorganisma berkaitan. Mandi hujan itu sendiri bukan punca kepada anak anda sakit. Jadi kenapa anak sakit setiap kali dia mandi hujan?
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan keadaan tersebut berlaku, namun kuncinya terletak pada sistem pertahanan badan mereka.
Ada kanak kanak yang mempunyai sistem imun rendah disebabkan oleh faktor berikut:
* Sering makan makanan tidak seimbang. * Stres * Tidur tidak cukup * Tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal.
Namun, apabila meningkat usia mereka, sistem imun kanak kanak akan menjadi kuat. Dalam proses untuk menjadi kuat, memang lazim mereka akan jatuh sakit disebabkan oleh jangkitan.
Mandi hujan lemahkan sistem pertahanan badan kanak kanak
Walaupun kini anda sudah tahu hujan tidak menyebabkan anak anda sakit, tapi ada faktor yang memudahkan penyebaran virus ketika hujan.
Cuaca sejuk sering dikaitkan dengan keadaan kondusif untuk virus selesema merebak. Oleh sebab cuaca sejuk sering mengiringi hujan, mereka yang mandi hujan mudah untuk mendapat jangkitan virus.
Kajian pada tahun 2013 oleh sebuah kolej perubatan di Amerika menunjukkan kebolehan virus rhino (virus selesema) untuk mengalami proses replikasi meningkat jika suhu badan lebih rendah daripada 37°C.
Ia turut disokong oleh satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 oleh Universiti Oulu di Finland. Subjek yang terlibat dalam kajian itu mengalami peningkatan risiko jangkitan apabila suhu dan kelembapan diturunkan selama 3 hari.
Virus influenza juga mudah untuk tersebar semasa cuaca sejuk. Kajian menunjukkan suhu ideal untuk ia tersebar adalah dalam lingkungan 5°C.
Berdasarkan kepada kajian tersebut, jelas menunjukkan mandi hujan boleh menyebabkan risiko mendapat jangkitan meningkat, namun, ia berlaku secara tidak langsung. Oleh sebab itulah anda digalakkan mandi dalam bilik air selepas mandi hujan.
Bukan untuk membersihkan air hujan tersebut tetapi untuk memastikan suhu badan anda ideal untuk melawan virus.
Jika anda mandi selepas terkena hujan, anda mesti perasan, air tersebut lebih suam berbanding dengan air hujan.
Suhu badan memainkan peranan penting bagi mengawal atur sistem keselamatan dalaman daripada ancaman mikroorganisme.
Hujan tidak menyebabkan masalah selesema dan demam seperti yang disangka. Walau bagaimanapun, ia boleh melemahkan sistem imun dan menyebabkan anda mudah mendapat jangkitan virus.
Tidak salah jika anak anda nak mandi hujan. Namun, selepas itu pastikan mereka mandi semula dan kekalkan suhu dalam rumah pada tahap yang ideal.
Anak takut nak jumpa doktor gigi apa mak ayah nak buat? Jangan risau. Ada penyelesaiannya di sini.
Temu bual salah seorang doktor dalam bidang Pemulihan dan Estetika Pergigian (Restorative and Aesthetic Dentistry), iaitu Dr Ibrahim Shahruddin ini pasti membantu masalah mak ayah.
Menurut beliau punca utama menyebabkan ramai kanak-kanak takut untuk berjumpa dengan doktor gigi adalah kerana mereka tidak didedahkan untuk berjumpa dengan doktor gigi pada seawal tahun pertama kehidupan atau ketika gigi susu pertama muncul.
“Berjumpa dengan doktor gigi bukanlah satu perkara yang menjadi satu kebiasaan bagi rata-rata masyarakat Malaysia. Kanak-kanak biasanya hanya akan dibawa berjumpa doktor apabila sudah berdepan dengan masalah gigi seperti karies gigi,” jelas Dr Ibrahim.
Kejutan di sekolah
Terdapat juga kanak-kanak yang pertama kali mendapatkan rawatan pergigian ketika di sekolah. Dan lebih ‘memburukkan’ keadaan apabila mereka dirawat dengan jururawat pergigian yang garang. Ini sekali gus menambahkan lagi rasa takut mereka untuk berjumpa doktor gigi.
Bagi Dr Ibrahim, masalah ini sebenarnya boleh diatasi sekiranya tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa adalah tinggi dalam aspek penjagaan pergigian anak-anak. Beliau turut menambah, pada hakikatnya kos untuk mencegah itu adalah sesuatu yang lebih murah dan lebih baik daripada kos yang perlu dikeluarkan untuk merawat apabila sesuatu keadaan sudah menjadi lebih kronik dan serius.
Atasi masalah anak takut berjumpa doktor gigi
Bagi ibu bapa yang berdepan dengan isu anak takut untuk berjumpa doktor gigi, berikut adalah beberapa perkongsian tip yang boleh dicuba bagi mengatasi masalah ini:
Mulakan pada awal usia
Biasakan anak untuk berjumpa dengan doktor. Tip ini boleh dilakukan pada seawal usia setahun atau ketika anak anda baru mendapat gigi susu yang pertamanya.
Sekadar perjumpaan
Bagi kanak-kanak pula, ia mungkin sedikit sukar untuk membuang rasa takut berjumpa doktor. Tetapi jangan berputus asa. Langkah pertama, biasakan anak anda untuk bertemu dengan doktor. Mungkin pada kali pertamanya hanya sekadar berjumpa dan berbual. Ini adalah untuk membiasakan diri anak dengan doktor gigi.
Elakkan paksaan
Sebaiknya hindari daripada menggunakan sebarang paksaan. Mungkin pada kali pertama anda membawa anak berjumpa doktor, ia hanya akan memakan masa tidak sampai 5 minit, apabila akhirnya anak anda meraung dan menangis. Kesabaran adalah kunci utama.
Ia mungkin akan mengambil masa dan memerlukan anda untuk membawa anak anda berjumpa doktor gigi untuk beberapa kali sebelum mereka benar-benar selesa dan tidak takut untuk berjumpa doktor gigi. Tetapi jangan putus asa.
Kuatkan semangat
Sebenarnya masalah takut untuk berjumpa doktor gigi ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan kanak-kanak, tetapi wujud pada individu dewasa. Jika tidak, takkan muncul petua menggunakan minyak motor untuk merawat sakit gigi, bukan?
Jadi, jika anda merupakan antara individu yang mungkin mempunyai rasa takut mahupun trauma untuk berjumpa doktor gigi, cuba untuk beranikan diri dan kuatkan semangat. Seperti kata Dr. Ibrahim, anda tidak perlu terus untuk melakukan rawatan pada kali pertama, mungkin sekadar mendapatkan konsultasi. Lawanlah rasa takut anda, anda boleh melakukannya.
Kisah inspirasi Hayla usahawan cilik, anak Wawa Zainal yang berjaya menjual kek batik RM100K pada usia 10 tahun. Semangat, sokongan keluarga dan usaha gigih menjadikannya contoh terbaik kanak-kanak berniaga.