
Korang setuju? Setuju atau tidak, inilah langkah terbaik buat kita. Malaysia kini bakal melaksanakan dasar baharu bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di dunia digital.
Malaysia wajibkan eKYC untuk lindungi kanak-kanak bawah umur
Tidak lama lagi, semua platform media sosial akan diwajibkan melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau lebih dikenali sebagai electronic Know Your Customer (eKYC). Langkah ini diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menegaskan bahawa pelaksanaan eKYC amat penting bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.
Fokus utama, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di alam maya
Menurut beliau, keputusan ini bertujuan menjaga keselamatan dan kesejahteraan golongan muda di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang telah ditetapkan benar-benar dikuatkuasakan oleh penyedia platform.
“Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah memberikan mesej kepada mereka bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan platform-platform media sosial melakukan pengesahan identiti terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun.
“Cuma exact timeline saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI on Wheels atau NOW di Dewan Undangan Negeri Sindumin di sini hari ini.
Tarikh pelaksanaan rasmi eKYC akan diumumkan tidak lama lagi
Beliau turut memaklumkan bahawa tarikh pelaksanaan rasmi akan diumumkan selepas laporan lengkap dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Minggu hadapan, satu pertemuan penting antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat-syarikat media sosial utama dijadualkan untuk membincangkan mekanisme pelaksanaan eKYC dengan lebih terperinci.
eKYC juga bantu bendung penipuan dan kandungan berbahaya
Selain isu kanak-kanak, beliau berkata proses eKYC juga penting bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.
“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam. Semalam, dalam Parlimen saya ada menjawab soalan, ada angka yang menggerunkan. 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan itu adalah daripada Facebook,” katanya.
Inisiatif NADI on Wheels perluas capaian digital luar bandar
Sementara itu, inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu NOW yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama MCMC adalah bertujuan memperluas capaian digital serta membawa kemudahan teknologi maklumat kepada komuniti luar bandar.
Langkah eKYC ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan siber, tetapi juga mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan dunia digital Malaysia menjadi lebih selamat, teratur, dan bertanggungjawab. Dengan pelaksanaan menyeluruh, Malaysia bakal menjadi antara negara terawal di rantau ini yang menetapkan pengesahan identiti sebagai syarat wajib di platform media sosial.
Sumber: Berita Harian