![Copy of Unnamed Design (27)](https://cdn.bintangkecil.my/2024/06/Copy-of-Unnamed-Design-27-696x365.jpg)
Seorang bayi, Fahry Nedzar yang mampu menyambung bacaan surah lazim yang dialunkan oleh ibunya dengan lancar membuatkan wargamaya begitu kagum dengan didikan ibu dan ayahnya.
Berkongsi kisah bayi itu menerusi Sinar Harian, ujar ibunya Fatin Nur Sakinah Zolkifly, anak kecilnya itu mula lancar menyambung bacaan surah bermula usianya lapan bulan.
Tambahnya lagi, dia dan suami mempraktikkan bacaan selawat, zikir dan ayat al-Quran sejak bayi mereka dilahirkan.
“Sejujurnya rasa tak layak nak kongsi tips ini tapi saya kongsi apa kami praktiskan dengan Fahry. Sejak dari lahir kami dah biasakan dia dengan bacaan surah lazim setiap hari.
“Mulut saya bersilih ganti selawat dan surah terutama ketika nak tidurkan Fahry sebab waktu kecil dia jenis bayi ‘high need’ tetapi mudah tenang bila dengar bacaan ayat al-Quran, azan atau zikir.
“Kiranya surah dan selawat saya dan suami baca setiap hari, lebih-lebih lagi bila dia menangis. Fahry memang sejenis automatik diam bila kami baca surah. Dia boleh tenang dan tenung mata kami,” katanya berkongsi.
Sebelum ini video berdurasi satu minit 23 saat memaparkan adik Fahry yang kini berusia setahun lima bulan menyambung surah An-Nasr telah mendapat sembilan juta tontonan.
Menerusi rakaman tersebut, ramai yang bertanyakan apakah cara dan didikan kedua ibubapanya sehingga anak kecil itu lancar membaca surah.
“Saya tidak sangka bacaan surah ‘terakam’ dalam otak dia, bermula umur enam bulan dia mula bercakap dan bila umur lapan bulan dia sudah mula pandai sambung surah yang saya baca.
“Untuk proses ini, lebih baik kita baca sendiri daripada membuka audio di YouTube. Mula-mula baca ayat penuh kemudian baca separuh bagi dia sambung ayat belakang.
“Apabila sudah tiba masa kami akan bacakan surah dan ‘tebuk’ untuk uji hafalan Fahry. Ulang-ulang dan lama kelamaan dia akan dapat semua ayat,” jelasnya lagi.
TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI SELANGOR UNTUK DILAWATI BERSAMA KELUARGA
![](https://cdn.bintangkecil.my/2024/05/FEATURED.jpg)
Banyak sangat tempat yang boleh diterokai di Malaysia ini, berikut adalah tempat paling menarik di Malaysia yang terbaik untuk dilawati bersama anak-anak.
HUSSIN FAUZI FARM
Taman mini yang berkonsepkan sebuah zoo ini sangat ideal untuk percutian bersama keluarga terutamanya apabila anda membawa anak-anak. Di taman ini pengunjung boleh bermain dan berinteraksi dengan pelbagai jenis haiwan seperti arnab, rusa, kambing dan macam-macam lagi. Pengunjung juga berpeluang untuk melakukan aktiviti seperti menunggang kuda, memanah, memberi makan haiwan dan sebagainya.
MUZIUM COKLAT
Siapa je yang tak suka coklat kan terutamanya kanak-kanak dan wanita. Untuk mengetahui lebih banyak perihal coklat, anda disarankan untuk berkunjung ke Muzium Coklat ini. Muzium coklat ini merupakan muzium pertama di Asia Tenggara yang berkonsepkan sebegini. Walaupun namanya muzium, namun di sini juga terdapat beberapa aktiviti lain yang anda boleh lakukan selain melihat pameran interaktif berkaitan coklat. Ada lebih daripada 100 jenama coklat yang terkenal di jual di muzium ini.
PAYA INDAH WETLANDS
Paya Indah Wetlands ini terdapat ratusan spesies burung dan mamalia untuk tatapan pengunjung. Selain melihat binatang, pengunjung juga boleh bermain basikal, berkayak dan meredah hutan. Jika anda meminati fotografi, anda boleh mengambil gambar landskap berlatar belakangkan alam semula jadi dan haiwan yang ada di sini.
Jangan lepaskan peluang juga untuk memberi makan kepada haiwan seperti buaya, badak air, rusa dan sebagainya pada waktu yang ditetapkan.
AIR RIDER INDOOR SKYDIVING
Bagi yang gemar akan aktiviti lasak dan mencabar, anda boleh berkunjung ke sini bersama anak-anak untuk memberi pengalaman kepada mereka bagaimana rasanya terbang di udara. Ianya pasti merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh anak-anak.
Untuk ke sini, anda perlu membuat tempahan seminggu sebelum dan beli pakej yang diinginkan secara dalam talian. Walaupun harga pakej-pakej yang ditawarkan agak mahal, namun untuk pengalaman sekali seumur hidup, ia pasti sangat berbaloi !
KILANG ROTI GARDENIA
Kilang roti nombor 1 ini boleh dijadikan sebagai lokasi percutian sambil belajar buat seisi keluarga. Di kilang ini pengunjung boleh belajar sejarah pembuatan roti, melihat cara-cara melihat roti dibuat dan mengetahui serba serbi mengenai dunia roti. Pengalaman ini pasti merupakan pengalaman yang menarik lebih-lebih lagi bagi penggemar roti.
Menariknya, setiap pengunjung yang datang akan diberikan cenderahati dan roti yang dihasilkan di sini dan yang paling penting masuk adalah percuma.
HUTAN REKREASI SUNGAI TEKATA
Jika anda ingin berinteraksi dengan alam sambil bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga, Hutan Rekreasi Sungai Tekala ini adalah pilihan yang ideal. Lokasi hutan ini sangat mudah diakses dan pengunjung tidak perlu mendaki untuk ke kawasan tempat perkelahan atau sungai. Ini menjadikannya sesuai untuk percutian bersama keluarga. Jangan lupa untuk membawa makanan sendiri supaya boleh dinikmati setelah puas bermandi-manda.
PANTAI MORIB
Pantai Morib ini merupakan salah satu pantai yang terkenal di Selangor. Di pantai ini juga terdapat tempat penginapan untuk dijadikan destinasi bermalam. Contohnya seperti Villea Morib, OYO 89895 Senses Budget Hotel dan Gold Coast Morib International Resort.
Kemudahan yang ada di sekitar pantai ini juga sangat lengkap. Ada tandas awam, taman permainan kanak-kanak, gerai makan, dan pelbagai lagi. Siap ada menara tinjau lagi untuk membolehkan pengunjung menikmati keindahan air laut Selat Melaka yang terbentang luas.
Walaubagaimanapun, pantai ini bukanlah lokasi yang tepat untuk bermandi-manda. Sekiranya anda ingin membawa anak-anak bermandi-mandi dan berseronok, anda boleh menginap di Gold Coast Morib International Resort. Di resort ini terdapat taman tema air yang sangat menarik untuk percutian bersama keluarga. Pantai Morib ini juga adalah salah tempat menarik di Selangor untuk family day, team building ataupun trip percutian bersama syarikat.
6 JENIS PERMAINAN YANG BAGUS UNTUK MINDA ANAK ANDA
![](https://cdn.bintangkecil.my/2024/05/fndvROOb-FEATURED.jpg)
Kanak-kanak boleh berkembang sebagai pelajar yang lebih aktif apabila mereka berseronok dalam persekitaran permainan yang kondusif untuk pembelajaran.
Permainan otak terbaik ialah permainan yang boleh memberi tumpuan kepada bidang tertentu perkembangan anak anda.
Aktiviti permainan untuk kanak kanak ini memberi kesan positif kepada kemahiran motor, ingatan-ingatan lisan, pengecaman dan pengesanan corak, serta lain-lain lagi.
Ini antara yang paling mudah dan terbaik untuk perkembangan minda kanak-kanak :
Susun Suai Gambar (Jigsaw Puzzle)
Bermain puzzle merupakan antara permainan klasik kanak-kanak sejak dahulu lagi. Permainan ini sesuai untuk meningkatkan kemahiran motor halus, pengesanan corak, pengecaman imej dan penyelesaian masalah.
Kanak-kanak juga boleh belajar tentang kerjasama untuk menyelesaikan tugasan, serta kemahiran penting yang berkaitan dengan kepuasan tertunda setelah menyelesaikan puzzle.
Bercerita Dengan Satu Perkataan
Anda boleh mengajak semua anak-anak anda atau kanak-kanak lain untuk bermain permainan ini. Berikan perkataan tertentu kepada setiap kanak-kanak dan minta mereka untuk membuat cerita ringkas dengan menggunakan perkataan tersebut.
Aktiviti ini boleh membantu mencetuskan kemahiran penyelesaian masalah kreatif dalam diri kanak-kanak dan meningkatkan pemahaman mereka tentang bahasa.
Bermain Tanah Liat
Bermain tanah liat juga amat baik untuk perkembangan minda anak anda, lebih-lebih lagi tanah liat dengan pelbagai warna. Bagi kanak-kanak yang masih kecil, tanah liat berwarna-warni sangat sesuai untuk mengajarkan mereka menentukan warna yang betul.
Selain itu, membentuk tanah liat dengan menggunakan tangan mereka sendiri dapat merangsang motor halus selain mengembangkan bakat kreatif anak anda.
Blok & Mainan Binaan
Pemainan blok dipercayai dapat merangsang pertumbuhan otak dalam semua aspek perkembangan. Malah ada kajian membuktikan kanak-kanak yang bermain blok secara kerap ketika berusia 3, 4 dan 5 tahun akan lebih baik dalam pelajaran matematik, khususnya algebra apabila berada di sekolah menengah.
Terdapat banyak pilihan blok dan set pembinaan yang menyeronokkan untuk dipertimbangkan, termasuklah blok kayu dan lego.
Mainan Budak #Pretend play
Pretend play atau role play, merupakan permainan dramatik yang mempunyai manfaat kognitif, sosial dan emosi yang terbaik.
Ini kerana melalui permainan seperti ini, contohnya bermain masak-masak, doktor atau guru, anak akan mula menerokai apa yang disukai, diminati dan menjelajahi dunia di sekeliling mereka. Permainan ini juga memberi peluang kepada anak untuk belajar sesuatu perkara baharu berkaitan kehidupan.
Kanak-kanak sedang membina kemahiran sosial dan emosi, menyokong kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, belajar membaca isyarat sosial, berkongsi, bergilir-gilir dan banyak lagi apabila mereka terlibat dalam permainan dramatik.
Mainan yang menyokong permainan ini termasuk perabot saiz kanak-kanak, pakaian dan solekan, anak patung dan pakaiannya, makanan plastik, mesin tunai, alat permainan pengangkutan dan sebarang barangan kreatif membolehkan anak ‘berlakon’ (pretend).
Kit Seni & Kraf
Seni dan kraf merupakan antara permainan yang digemari kanak-kanak. Berikan anak kertas, pensel warna, krayon dan gunting yang selamat untuk mereka.
Lihat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka apabila berjaya menghasilkan potongan bentuk unik. Berikan sokongan dan percayalah ia akan terus meningkatkan motivasi mereka untuk lebih berimaginasi dan menjadi kreatif.
Berikan putik kapas atau bebola kapas untuk dicelup dalam warna air dan lihat bagaimana mereka menghasilkan lukisan seperti Leonardo da Vinci junior.
Namun anda perlu memantau kerana anak mungkin ‘tergoda’ untuk menconteng dinding! Untuk menghindari perkara ini anda boleh menampal kertas besar pada dinding dengan menggunakan pita pelekat.
Asyik Makan Makanan Tinggi Proses, Anak Boleh Ada Masalah Kesihatan!
![](https://cdn.bintangkecil.my/2024/06/Copy-of-Unnamed-Design-24.jpg)
Makanan berproses mungkin cepat dan menjimatkan masa tetapi buat jangka masa panjang ia memudaratkan anak kecil kita. Sebab apa?
Menurut perkongsian Dr Mazliana Mazlan, makanan tinggi proses seperti sosej, meatball, nuget dan sebagainya mempunyai kandungan yang tidak sihat. Jadi kurangkanlah.
Sebulan satu kali makan, mungkin takde nampak apa-apa kesan. Tapi kalau tiga empat hari dalam seminggu anak dijamu dengan hidangan macam ni, banyak masalah kesihatan akan timbul di kemudian hari.
Dalam daging tinggi proses, ada lebih kandungan nitrite dan nitrate yang digunakan sebagai pengawet.
Nitrite dan nitrate berlebihan ini, akan hasilkan N-Nitroso, yang mana akan rosakkan sel di lapisan usus, dan boleh tingkatkan risiko kanser usus.
Pengawet macam ni diguna atas 3 sebab;
1. Makin tinggi proses satu makanan, makin hilang zat warna rupa bentuk asal. Maka pengawet digunakan untuk kekalkan warna pada makanan tu.
2. Bantutkan oksidasi lemak yang akan buat makanan rasa tengik, maka rasa yang sedap masih dapat dikekalkan. Pengawet macam ni lah diguna untuk kekalkan rasa pada makanan.
3. Elakkan pertumbuhan bakteria dan sebagai penambah rasa. Nampak remeh je kan, alah pengawet je pun.
Tapi, tanpa kita sedar anak makan 4 kali seminggu, pelbagai jenis daging tinggi proses, tak boleh bayang apa akan jadi kat anak 10 tahun akan datang.
Isnin spagheti meatball.
Selasa bihun goreng.
Rabu sandwich chicken slice.
Khamis nasi goreng.
Jumaat pizza topping sosej.
Sabtu mee sup.
Ahad steamboat banyak bebola tinggi proses.
Kita tak perasan banyak hari sebenarnya anak dah makan daging tinggi proses. Anak suka, sebab sedap. Kita pun suka, sebab mudah, siap sedia tinggal nak goreng dan makan terus je.
Tapi yang mudah itu, tak semuanya baik untuk anak kita kan. Boleh ya, sama-sama kita cuba sediakan pilihan makanan yang lebih baik untuk anak-anak kesayangan kita.