YouTuber popular yang cukup disukai kanak-kanak, Aqil Zulkiflee menamatkan zaman bujangnya selepas selamat bernikah dengan gadis pilihan hatinya, Nur Iliyaa Jasmina Roslan semalam.
Menerusi perkongsian yang dibuat akan TikTok Faridismproduction, Aqil menyerahkan mas kahwin sebanyak RM100 kepada isterinya.
YouTuber yang sangat terkenal dalam kalangan kanak-kanak ini turut membuat siaran langsung di saluran YouTube serta TikTok miliknya sewaktu sesi ijab dan qabul berjalan.
“Cinta pertama dan terakhir hingga ke syurga, Aqil dan iliya ❤️,” tulisnya di kapsyen.
Beberapa keping gambar turut dikongsikan Aqil ketika majlis berlangsung.
Aqil yang segak berbusana warna off white dan kekuningan ini tampil segak bergaya. Begitu juga dengan isterinya yang cukup cantik, manis dan sepadan.
Sekadar info, Aqil atau nama sebenarnya, Ahmad Aqil Zulkiflee, 28 telah mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihan sekitar April lalu.
Sumber: TikTok faridismproduction, aqilzulkiflee
Anak Mudah Jatuh Sakit Bila Kena Hujan, Ini Sebabnya!
Kita paling takut anak kita terkena hujan. Bimbang anak demam, selesema dan sekaligus batuk. Air hujan sebenarnya tidak seharusnya dipersalahkan. Apa sebabnya?
Seperti jangkitan lain, demam dan selesema berlaku disebabkan oleh jangkitan virus atau mikroorganisma berkaitan. Mandi hujan itu sendiri bukan punca kepada anak anda sakit. Jadi kenapa anak sakit setiap kali dia mandi hujan?
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan keadaan tersebut berlaku, namun kuncinya terletak pada sistem pertahanan badan mereka.
Ada kanak kanak yang mempunyai sistem imun rendah disebabkan oleh faktor berikut:
* Sering makan makanan tidak seimbang.
* Stres
* Tidur tidak cukup
* Tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal.
Namun, apabila meningkat usia mereka, sistem imun kanak kanak akan menjadi kuat. Dalam proses untuk menjadi kuat, memang lazim mereka akan jatuh sakit disebabkan oleh jangkitan.
Mandi hujan lemahkan sistem pertahanan badan kanak kanak
Walaupun kini anda sudah tahu hujan tidak menyebabkan anak anda sakit, tapi ada faktor yang memudahkan penyebaran virus ketika hujan.
Cuaca sejuk sering dikaitkan dengan keadaan kondusif untuk virus selesema merebak. Oleh sebab cuaca sejuk sering mengiringi hujan, mereka yang mandi hujan mudah untuk mendapat jangkitan virus.
Kajian pada tahun 2013 oleh sebuah kolej perubatan di Amerika menunjukkan kebolehan virus rhino (virus selesema) untuk mengalami proses replikasi meningkat jika suhu badan lebih rendah daripada 37°C.
Ia turut disokong oleh satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 oleh Universiti Oulu di Finland. Subjek yang terlibat dalam kajian itu mengalami peningkatan risiko jangkitan apabila suhu dan kelembapan diturunkan selama 3 hari.
Virus influenza juga mudah untuk tersebar semasa cuaca sejuk. Kajian menunjukkan suhu ideal untuk ia tersebar adalah dalam lingkungan 5°C.
Berdasarkan kepada kajian tersebut, jelas menunjukkan mandi hujan boleh menyebabkan risiko mendapat jangkitan meningkat, namun, ia berlaku secara tidak langsung. Oleh sebab itulah anda digalakkan mandi dalam bilik air selepas mandi hujan.
Bukan untuk membersihkan air hujan tersebut tetapi untuk memastikan suhu badan anda ideal untuk melawan virus.
Jika anda mandi selepas terkena hujan, anda mesti perasan, air tersebut lebih suam berbanding dengan air hujan.
Suhu badan memainkan peranan penting bagi mengawal atur sistem keselamatan dalaman daripada ancaman mikroorganisme.
Hujan tidak menyebabkan masalah selesema dan demam seperti yang disangka. Walau bagaimanapun, ia boleh melemahkan sistem imun dan menyebabkan anda mudah mendapat jangkitan virus.
Tidak salah jika anak anda nak mandi hujan. Namun, selepas itu pastikan mereka mandi semula dan kekalkan suhu dalam rumah pada tahap yang ideal.
Elakkan Makan Makanan Tinggi Proses Selalu!
Anak yang kerap demam dan tidak sihat selalu membuatkan kita resah dan bimbang. Salah satu cara yang kita perlu perbetulkan adalah mengawal pemakanan anak.
Menurut perkongsian Dr Mazliana Mazlan, makanan tinggi proses paling penting dielakkan. Sebolehnya kurangkan! Cara ini buat anak makin sihat dan imun pun makin tinggi.
Antara cara express untuk jaga kesihatan keluarga adalah dengan usaha tekan dan tahan nafsu makan.
Ibu ayah, dengan berpuasa dan pantang makanan tinggi proses ada anak-anak, banyak kebaikannya.
Antara lima kebaikan kita akan nampak sedikit demi sedikit bila usaha pantang makan minum tinggi proses untuk anak.
1. Anak jarang tak sihat dan imun makin kuat, bila kita jadikan makanan halal dan tayyib (baik) sebagai makanan harian.
Makanan tinggi proses banyaknya adalah makanan tinggi radang. Masuk dalam tubuh anak, antara faktor terbesar anak kerap tak sihat dan lambat semnuh.
2. Kualiti tidur malam makin baik, mudah nak tidur awal, tak senang mengantuk waktu belajar di sekolah. Makanan berkualiti bantu nyenyakkan tidur anak.
3. Fokus anak makin tajam, ingatan makin kuat bila kita kurangkan makanan tinggi proses. Makanan macam ni sedikit demi sedikit melemahkan otak anak.
4. Anak makin mudah dilentur, kurang tantrum, kerana tak ada makanan syubhah yang masuk ke usus menjadi darah daging. Anak akan makin mendengar kata.
5. Anak-anak tak malas nak belajar tentang ibadah. Makin rajin solat tanpa disuruh, makin suka baca Quran, makin kerap dengar zikir dan selawat. Semuanya akan lebih mudah bila masuk makanan yang halal, suci dan bersih ke perut anak.
Kita cuba usaha sama-sama ya. Didik anak ni tak mudah. Sangatlah susah. Banyak ujian, sana dan sini.
Dan paling utama, mulakan dengan diri kita dulu, banyakkan berpuasa, dan kurangkan makanan tinggi proses. Kita sendiri pelik nanti, lama-lama anak akan mengikut.
Anak Sepahkan Rumah Perkara Normal, Mak-Mak Kena Tahan Mata!
Anak sepahkan rumah kita jadi stress walhal itulah dunia anak bermain. Ingatkan masa-masa anak bermain ini hanya sementara sahaja dan ia perkara normal bagi anak lima tahun dan ke bawah.
Menurut perkongsian Penulis Keibubapaan, Pn Wawa Shauqi, inilah masa anak meneroka dunianya dengan bermain. Rumah bersepah, mama kenalah berlapang dada. Ikuti perkongsian beliau.
Sebenarnya, kalau kita faham fitrah anak, kita akan lebih berlapang dada kalau anak bawah 5 tahun menyepah.
Bukanlah kata tak sesak nafas, tak stres bila rumah dikapal-karamkan boleh anak. Of cause lah panas hati. Pasalnya yang kena ngemas tu kita jugak, kan. Cuma tak adalah kita ditahap menyalahkan anak tu anak takde disiplin!
Anak yang sebegitulah yang seharusnya kita banggakan. Sebab dia ada fitrah normal seorang kanak-kanak yang ada gerak hati dan keinginan untuk explore.
Ada ingin tahu yang tinggi.
Ada keinginan untuk bermain.
Tak adalah dok diam aje depan TV atau calit skrin sepanjang masa.
Saya teringat kata-kata seorang ahli astrofizik, Neil deGrasse Tyson, “Sebenarnya kita tak perlu berusaha sangat untuk anak minat Sains. Anak-anak sememangnya dilahirkan dengan sifat seorang saintis.
Mereka exploratif. Suka cuba buat itu-ini. Keluarkan telur, pecahkan. Ambil periuk dan ketuk. Petik bunga di pokok. Buka kereta mainan part by part sampai tak rupa kereta.
Semua itu asas untuk seseorang memahami dunia sains. Memahami cara kehidupan sekelilingnya berfungsi. Dan bibit bermulanya sifat seorang saintis.
Tapi kita mak ayah yang sebenarnya mematikan sifat tu. Tiap kali anak nak mencuba je, kita melarang. Tiap kali anak buat silap, tumpahkan air, comot-comot, kita menghukum.”
Tapi, tidaklah bermakna kita biarkan aje anak tu menyepah kan? Kita pun ada tahap sebelum nak capai ke hilang kewarasan tu.
Anak perlu diberi peluang bermain dan bereksplorasi. Dalam masa yang sama, perlu didisiplinkan. Kita pun kena jaga keupayaan mental kita. Betul tak?
Jadi, nak buat macam mana?
1) Fahami bahawa ‘menyepah’, buat eksperimen ni memang fitrah mereka. Lagi dasyat mereka punya sepah, lagi kreatif dan lagi banyak peluang mereka untuk observe, explore, belajar cause and effect serta belajar menyelesaikan masalah.
2) Sediakan alatan buat mengganti barang-barang rumah yang kita taknak anak sepahkan tu. Rangkakan aktiviti untuk anak. Dan duduk perhati mereka bermain.
Analisa cara mereka pegang peralatan, pindahkan objek dari satu bekas ke bekas lain; cara mereka buka bekas, pegang objek, ramas kain, tekan span, bentukkan pasir yang mereka main, dan sebagainya.
Benda tu semua bantu bagi stimulasi sensori dan bantu bina kemahiran motor kasar dan halus. Bukan lama pun. Satu hari 5 minit pun, dah ok sangat sebenarnya.
3) Ajar mereka kemas semula lepas selesai bermain. Anak bawah 4 tahun, mungkin tak cekap lagi nak mengemas. Sebab Fungsi Eksekutif mereka belum fully develop.
Tapi tak apa. Ajar dan demo sampai mereka faham rutin mengemas selepas buat sepah. Yang penting, rendahkan espektasi. Diorang tu budak lagi.
Fikir ni. Biarkan anak melalui fasa mereka. Fasa ini tak lama. Rumah akan sepah sikit. Tapi jiwa mereka akan hidup sebagai kanak-kanak yang berani bereksplorasi. Bijak dalam menyelesaikan masalah.
– Punya daya fikir yang tinggi dan kritis.
– Tak kekok memanipulasi apa jua peralatan.
– Boleh bertoleransi terhadap stres, terutamanya bila buat sesuatu yang tak menjadi.
– Mampu memahami bahawa untuk terjadinya sesuatu, ada proses yang perlu dilalui.
– Dan paling penting, mereka mampu beradaptasi hidup dalam dunia yang makin mencabar ni.
Semakin besar ruang yang kita buka untuk anak meneroka,
Semakin rendah ekspektasi yang kita letak pada mereka,
Semakin kita faham proses yang perlu dilalui mereka,
Semakin tinggi juga potensi anak-anak untuk jadi saintis, pencipta, pereka, saintis atau pioneer yang menyemarakkan dunia.