
Seksa rasanya bila melihatkan bayi comel kita sukar bernafas kerana selesema yang berpanjangan. Jangan biarkan sahaja, bantu anak kita untuk lebih selesa. Apa caranya?
Menurut perkongsian Dr Redza Zainol, bantu bayi untuk menjadi lebih selesa dengan penggunaan tiga alatan ini. Wajib ada!
Bayi ialah nasal breather. Maksudnya bayi cuma tahu bernafas melalui hidung sahaja. Bila bayi semakin besar barulah dia belajar untuk bernafas melalui mulut juga.
Sebab itu bila bayi kecil kena jangkitan selesema dan batuk, mereka merengek teruk.
Bayangkan satu-satunya laluan pernafasan mereka dan tersumbat. Jadi mereka merengek dan menangis sebab tak dapat bernafas dengan baik.
Untuk bayi pramatang, hidung yang tersumbat tu boleh buatkan mereka jadi biru dan berhenti bernafas.
Tiga cara ni dapat legakan bayi yang hidungnya tersumbat:
1. Guna Normal Saline Nasal Drop
Boleh beri 1 titis nasal drop setiap 3-6 jam pada setiap satu lubang hidung bayi.
2. Guna nasal spray seperti Sterimar
Selepas spray diberi, hingus akan meleleh keluar. Lap hingus yang dah keluar dan baiki yang masih ada boleh disedut keluar menggunakan baby nasal aspirator.
3. Pakai baby nasal aspirator.
Nasal aspirator ada dalam pelbagai bentuk. Saya cadangkan beli dan simpan satu di rumah. Bila hidung dah tak tersumbat, barulah bayi rasa lega. Tidur pun nyenyak.
Anak Lelaki Perlu Jadi BFF Ibu!

Anak lelaki sememangnya perlu paling rapat dengan ibunya. Malah keakraban ini bagi membentuk peribadi anak lelaki itu sendiri.
Paling penting anak lelaki penuh dengan sifat penyayang dan tahu menghargai wanita di sekelilingnya.
Dengarkan perkongsian dan tip dari Dr Redza Zainol akan hubungan yang perlu dibina ini.
1. Beruntung ibu yang rapat dengan anak lelaki sejak kecil. Bila ibu menjadi teman rapat pada anak lelaki, ibu itu sebenarnya sedang membantu anak membentuk persepsi dirinya atau “self image” yang baik.
2. Anak yang ada persepsi baik tentang dirinya, dia lebih yakin dan selesa menjadi dirinya sendiri.
3. Tunjukkan yang kalian bangga dengan setiap ciptaan atau hasil kerja dia.
4. Raikan bila mereka bantu ibu di dapur. Anak lelaki perlu lihat ayah dan ibunya sama-sama bekerja di dapur.
5. Kerapkan puji rupa paras anak lelaki.
6. Bertahun-tahun rapat dengan ibu, anak lelaki belajar tentang kasih saying dan kelembutan Ketika bergaul dengan mereka dari jantina berbeza.
7. Anak lelaki perlukan sedikit bantuan untuk menguruskan kerja sekolah atau kerja di rumah.
-Mereka perlu belajar, kerja yang banyak boleh dibuat mengikut peringkat sehingga selesai.
8. Mereka akan belajar cara mengurus masa dan menetapkan priority dari ibunya.
-Bantu anak lelaki untuk tetapkan matlamat jangka masa pendek atau Panjang yang realistic.
9. Bantu anak lelaki untuk jadi lebih peka dengan keadaan sekeliling.
-Lebih peka dengan keadaan emosi orang di sekeliling atau perubahan di sekitar rumah.
-Barulah mudah untuk melatih anak lelaki menjadi lebih empati dengan ahli keluarga lain.
10. Teruskan usaha untuk memahami anak lelaki. Dalam kekurangan yang anak lelaki ada, carilah kebaikan dan kelebihan dirinya. Pasti ada?
Kunci pada keyakinan diri anak lelaki yang sedang membesar terletak pada ibunya.
Ajarkan Anak 6 Perkara Ni Bila Sudah Masuk Sekolah, Penting Untuk Anak!

Bila saja anak sudah menginjak ke alam persekolahan, ada beberapa perkara yang mak ayah perlu tekankan pada anak. Ini termasuklah bab menjaga aurat lelaki dan perempuan.
Menurut Dr Redza Zainol, sebaik anak melangkah ke alam persekolahan, anak perlu dijaga dengan beberapa perkara yang penting untuk menjalani proses pembesaran mereka. Ikuti perkongsian ini.
6 perkara yang anak lelaki & perempuan usia 7 tahun perlu jaga bila dah mula bersekolah:
1. Jaga adab sesama kawan. Jangan biarkan budaya ‘body shaming’ atau ejek mengejek berlaku.
2. Jangan benarkan rakan-rakan atau orang dewasa sentuh ‘private part’ walau sesama jantina (dada, bibir, punggung dan kemaluan).
3. Jaga tutur kata. Murid Darjah 1 pun ada yang dah mencarut, tunjuk jari tengah dan lain-lain.
4. Mengadu kepada guru andai berlakunya buli (ejek-mengejek), sentuhan tidak selamat atau pertuturan kawan yang tidak menyenangkan.
5. Hargai barang yang dibeli oleh ibu bapa. Jika tidak, pensel, pemadam, pembaris, botol air semua hilang.
6. Mula diajar solat setiap hari dan belajar bacaan semasa solat.
Borak Pa&Ma Bersama Uyaina, Suhailin, Syamel & Ika Beri Inspirasi Buat Ibu Ayah Rancang Simpanan Pendidikan Anak!

Dalam dunia yang semakin kompleks dan kompetitif, pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kejayaan dan masa depan yang cerah untuk anak-anak. Oleh itu, menyediakan tabung pendidikan dari awal merupakan langkah bijak dan strategik yang dapat memberi banyak manfaat kepada anak-anak kita.
Antara kepentingan membuat simpanan pendidikan untuk anak-anak adalah seperti:
1. Menjamin Kualiti Pendidikan
Dengan adanya tabung pendidikan, anda dapat memastikan bahawa anak-anak anda akan mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti. Kos pendidikan tinggi, seperti yuran pengajian universiti, buku teks, dan perbelanjaan lain, semakin meningkat dari tahun ke tahun. Tabung pendidikan membolehkan anda menyimpan dana yang mencukupi untuk menampung kos ini tanpa perlu memikirkan bagaimana untuk membiayai perbelanjaan tersebut di masa hadapan.
2. Mengurangkan Beban Kewangan
Kos pendidikan boleh menjadi beban kewangan yang besar jika tidak dirancang dengan baik. Dengan memulakan tabung pendidikan seawal mungkin, anda dapat mengurangkan tekanan ekonomi pada masa depan. Ini juga membantu mengelakkan keperluan untuk mengambil pinjaman pendidikan yang boleh menyebabkan beban hutang yang tinggi kepada anak-anak anda selepas mereka tamat belajar.
3. Memberi Pilihan kepada Anak-anak
Dengan adanya dana pendidikan yang mencukupi, anak-anak anda akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk melanjutkan pelajaran mereka di Institusi Pendidikan Tinggi yang mereka minati tanpa terlalu memikirkan tentang kos. Ini membolehkan mereka mengejar bidang pengajian yang benar-benar mereka gemari dan mencapai kejayaan tanpa batasan kewangan.
Mengambil serius tentang hal ini, Pa&Ma dengan kerjasama Simpan SSPN telah mengadakan sesi Borak Pa&Ma bagi membincangkan tentang kepentingan membuat perancangan kewangan dan simpanan pendidikan demi masa depan anak-anak. Sesi ini diadakan bersempena Edutainment Fest Simpan SSPN 2024 pada 25 Ogos yang lalu bertempat di Datum Jelatek Shopping Centre.

Perkongsian Selebriti Jadi Inspirasi
Sesi Borak Pa&Ma ini telah dikendalikan oleh pengacara dan pelakon terkenal, Uyaina Arshad. Wakil PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) iaitu Pn. Suhailin Sharul Anuar yang merupakan Penolong Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat PTPTN bersama-sama Syamel dan Ika Nabella menjadi panel jemputan untuk mengupas tentang topik Future Ready With Simpan SSPN.

Menurut Pn. Suhailin, perancangan simpanan pendidikan perlu dibuat sejak anak masih dalam kandungan. Dengan cara itu, ibu ayah dapat bersedia dengan komitmen untuk memastikan mereka membuat simpanan untuk kegunaan pendidikan anak-anak apabila mereka sudah dewasa.
Bukan itu saja, Pn. Suhailin turut berkongsi tentang produk Simpan SSPN yang boleh menjadi pilihan ibu ayah tanpa rasa terbeban dan boleh dibuat secara konsisten.
“Di Simpan SSPN, pendeposit boleh menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat apabila membuka akaun untuk anak-anak. Salah satu produk Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime yang bukan hanya patuh syariah bahkan boleh dibuka dengan bayaran RM20 sahaja tanpa sebarang komitmen. Tambahan pula, Simpan SSPN ini dijamin kerajaan, ada perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit serta pendeposit boleh mendapat pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun,“ jelas Pn. Suhailin.

Menurut Syamel pula, dia dan isteri sentiasa berbincang untuk memastikan mereka dapat menyediakan kemudahan yang terbaik buat anak mereka iaitu Nur Khawla Soleha.
“Saya dan Ernie memang akan selalu berbincang untuk pastikan kami dapat beri yang terbaik untuk Khawla. Bukan saja tentang keperluan Khawla tetapi juga untuk masa depannya seperti pendidikan. Sebab itulah, kami memilih untuk membuka akaun Simpan SSPN untuk Khawla. Sebagai seorang ayah, sebaik saja kelahiran Khawla saya dah pandang jauh. Saya dah mula bayangkan macam mana bila dia dah besar dan ada boyfriend nanti,” kata Syamel.

Ika Nabella berkongsi semasa dirinya hamil, dia mahukan anaknya menjadi seorang menteri. Ketika solat, dia sering berdoa agar impiannya tercapai. Ketika itulah dia sedar, ibu ayah perlu ada perancangan untuk masa depan anak-anak.
“Waktu itu memang saya selalu berdoa anak saya menjadi menteri tapi ayah mertua saya cakap banyak persediaan yang perlu dibuat. Waktu itulah saya mulai sedar yang kalau kita mahukan sesuatu untuk anak, kita perlu buat perancangan dari awal. Sekarang ni, saya hanya mahukan yang terbaik untuk Muhammad Noah Zayn. Alhamdulillah, saya juga sudah membuka akaun Simpan SSPN untuk Noah sejak usianya dua tahun,” cerita Ika.

Penonton ‘Sporting’ Menang Hadiah!
Selain sesi perkongsian dari Pn. Suhailin, Syamel dan Ika, turut diadakan sesi kuiz untuk para penonton yang sama-sama mengikuti Borak Pa&Ma. Setiap panel diminta untuk bertanyakan soalan berkaitan produk Simpan SSPN dan ternyata kesemua penonton sangat ‘sporting’ untuk menjawab.

Mereka turut menerima hadiah istimewa dari Pa&Ma dan Simpan SSPN. Ternyata, perkongsian di dalam sesi Borak Pa&Ma ini banyak memberi manfaat kepada semua yang hadir pada hari tersebut. Untuk ibu ayah yang sedang merancang simpanan untuk masa depan anak-anak, bolehlah membuat pembukaan akaun Simpan SSPN di mana-mana cawangan PTPTN terdekat mahupun melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.