Anak yang berusia 6 tahun berada dalam fasa penting perkembangan mereka. Pada usia ini, mereka semakin berdikari, lebih banyak bertanya, dan mula membina keyakinan diri. Sebagai ibu bapa, memahami perkembangan mereka dapat membantu menyokong pertumbuhan fizikal, emosi, dan akademik anak dengan lebih baik.
1. Perkembangan Fizikal
– Lebih aktif dan bertenaga, suka berlari dan melompat
-Mula menunjukkan kemahiran motor halus seperti menulis dengan lebih kemas
-Boleh mengurus diri sendiri seperti memakai baju dan mengikat tali kasut
2. Perkembangan Emosi & Sosial
-Mula memahami perasaan sendiri dan orang lain
-Suka berkawan dan bermain dalam kumpulan
– Kadang-kadang mudah merajuk atau kecewa bila tidak dapat apa yang diinginkan
Ads
3. Perkembangan Kognitif & Akademik
– Boleh mengenal huruf dan membaca ayat mudah
-Mula memahami konsep asas matematik seperti tambah dan tolak
– Suka bertanya dan mempunyai imaginasi yang tinggi
4. Cara Ibu Bapa Boleh Membantu
-Galakkan Aktiviti Fizikal – Biarkan mereka bermain di luar untuk perkembangan motor kasar
-Bacakan Buku – Membantu meningkatkan kemahiran membaca dan minat terhadap ilmu
– Berikan Cabaran Mudah – Seperti teka-teki atau permainan logik untuk mengasah pemikiran
-Ajar Cara Mengurus Emosi – Bantu mereka memahami perasaan dengan berbual dan memberi sokongan
Setiap kanak-kanak berkembang dengan cara yang berbeza. Yang penting, beri mereka ruang untuk belajar, mencuba, dan berkembang dalam persekitaran yang penuh kasih sayang.
Ads
Ads
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Selalu kita dengar, makan telur goreng ni tak baik untuk kesihatan sebab guna minyak banyak, kan? Tapi sebenarnya, menurut perkongsian daripada Dr. Zubaidi Hj Ahmad, pandangan ini kurang tepat.
Betul, makan telur goreng tak akan merosakkan kesihatan rakyat Malaysia selagi cara memasak dilakukan dengan betul. Jom kita tengok kenapa telur ni masih makanan terbaik walaupun digoreng!
Sumber Protein Murah dan Berkhasiat
Pertama sekali, telur merupakan salah satu makanan paling murah dan mudah didapati yang kaya dengan protein. Bayangkan, satu biji telur rebus je dah ada 7 gram protein dan hanya 85 kalori! Selain itu, telur juga penuh dengan vitamin penting macam vitamin A, D, E, B1, B3, B6, B9, dan B12, serta mineral seperti kalsium dan folat. Dengan semua kebaikan ni, tak hairanlah telur jadi pilihan ramai.
Minyak Sihat Guna dengan Cara Betul
Kalau goreng telur dengan minyak kelapa atau minyak sawit, ia tak bermakna terus tak sihat.
Malah, dua jenis minyak ni sebenarnya baik jika digunakan dengan cara betul – pastikan jangan guna minyak yang sama lebih daripada 3 kali.
Cara saya sendiri, saya guna satu sudu minyak kelapa atau minyak sawit baru untuk goreng telur.- Dr Zubaidi
Minyak bukan je buat makanan jadi lebih sedap, tapi ia juga membantu badan serap vitamin A, D, E, dan K dengan lebih baik. Malah, ia juga elak pembentukan batu karang dalam hempedu dan bantu kita rasa kenyang lebih lama.
Khasiat Telur Kuning
Ramai takut makan telur kuning sebab risau kolesterol tinggi. Tapi yang kita tak tahu, telur kuning tu kaya dengan omega-3 yang bantu kurangkan inflamasi dalam badan. Omega-3 ni penting sangat untuk jantung dan otak kita! Tambahan pula, kuning telur mengandungi selenium yang bantu tingkatkan daya tahan badan dan kawal hormon tiroid.
Kolesterol Baik dari Telur
Ramai yang ingat semua kolesterol tak baik, tapi sebenarnya ada kolesterol yang baik untuk badan, iaitu HDL (High-density Lipoprotein). Kolesterol jenis ni bantu kawal hormon dan sangat penting untuk otak serta sistem saraf kita. Dengan makan telur, kita boleh tingkatkan HDL dan ini kurangkan risiko penyakit jantung.
Mitos Telur dan Penyakit Jantung
Ada juga yang risau makan telur boleh sebabkan penyakit jantung sebab kolesterol tinggi. Tapi sebenarnya, telur bantu ubah kolesterol LDL (kolesterol jahat) kepada HDL (kolesterol baik). Kolesterol LDL yang jahat ada zarah kecil yang boleh sekat saluran darah, tapi telur bantu tingkatkan zarah besar dalam darah, yang lebih selamat dan takkan sebabkan penyumbatan.
Makan telur goreng tak salah, asalkan cara masaknya betul dan kita guna minyak yang sihat seperti minyak kelapa atau minyak sawit. Jangan takut nak makan telur sebab ia penuh khasiat yang baik untuk kesihatan kita. Yang penting, kawal kuantiti dan cara penyediaan. Dah tiba masanya kita buang salah tanggapan yang telur goreng ni boleh rosakkan kesihatan.
Jom amalkan makan telur dalam diet seharian untuk badan yang lebih sihat dan bertenaga!
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Hujan lebat berterusan membawa khabar duka kepada penduduk Kampung Bukit Apit, Ajil, Kuala Berang Terengganu apabila kejadian tanah runtuh hari ini meragut nyawa dua beradik.
Mangsa, Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya Siti Fatimah, 13, ditemukan tidak bernyawa oleh pasukan penyelamat, masing-masing pada jam 6.32 petang dan 6.59 petang. Kejadian tragis itu turut melibatkan abang mereka, Uzair, 17, yang ditemukan selamat lebih awal pada jam 5.17 petang.
Tanah runtuh yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu mengejutkan penduduk kampung, yang tidak menyangka musim hujan kali ini akan membawa malapetaka sebegini.
“Saya dengar suara meminta tolong, tapi saya tak dapat buat apa-apa sebab tak tahu mereka ada di mana,” kata Danial Arabi, 36, jiran kepada keluarga mangsa, yang menjadi saksi pertama selepas kejadian.
Menurut Danial, keadaan ketika itu sangat mencemaskan. Hujan lebat dan tanah yang terus bergerak membuatkan usaha menyelamat menjadi sukar.
“Semuanya berlaku terlalu pantas. Kami tak pernah sangka kawasan rumah mereka yang nampak selamat ini boleh terkena tanah runtuh,” tambahnya dengan nada sebak.
Tragedi ini menimbulkan kesedihan mendalam buat seluruh penduduk kampung, yang rata-rata tidak menyangka bencana tanah runtuh boleh terjadi di kawasan mereka. Musim hujan yang biasanya dinanti-nantikan untuk menyuburkan tanah, kali ini menjadi penyebab kehilangan dua nyawa muda yang masih punya banyak impian.
Pasukan penyelamat kini masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca tanah runtuh. Penduduk sekitar dinasihatkan untuk terus berhati-hati, terutama dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Duka yang sukar dilupakan ini meninggalkan parut mendalam, bukan hanya buat keluarga mangsa tetapi juga komuniti kecil Kampung Bukit Apit yang terkejut dengan insiden itu.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga.
Sumber: Harian Metro & Bernama
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Pada usia baru empat tahun, Jeimithra Vasagam telah mencipta rekod luar biasa yang sukar ditandingi. Dalam masa hanya 1 minit dan 35 saat, anak kecil ini berjaya mengenal pasti kesemua 118 elemen dalam jadual berkala—satu pencapaian yang mengagumkan dan jarang berlaku untuk kanak-kanak seusianya.
Sebelum ini, Jeimithra telah memegang rekod mengenal pasti bendera negara dengan pantas, dan kini dia memilih cabaran jadual berkala sebagai langkah seterusnya. Dengan hanya enam minggu latihan, kebolehan luar biasa ini terus menyerlahkan kehebatan daya ingatannya yang luar biasa.
Memetik laporan Harian Metro, pencapaian anak kecil itu membolehkannya memperoleh lima pengiktirafan termasuk daripada Malaysia Book of Records, India Book of Records, Worldwide Book of Records, India Book of Records serta Asia Book of Records
Ibunya, Dr Mathi Vathani berkata, pencapaian Jeimithra itu bukanlah secara kebetulan, memandangkan beliau sudah merangka gabungan sempurna antara murid, keseronokan dan pembelajaran untuk anak perempuannya itu.
“Dia belajar jadual berkala ini sejurus sebelum tidur yang juga masa paling aktif. Saya hanya memastikan dia belajar lima elemen setiap hari. Jika perkataan itu sukar, saya mengajarnya tiga atau dua elemen setiap hari.”
“Pada masa lain, dia menghabiskan masanya di tadika, apabila dia kembali, dia akan berehat, bermain, mempunyai setengah jam untuk latihan piano, belajar selama lima hingga sepuluh minit di meja berkala ini dan tidur awal,” kata ibu berusia 30 tahun itu.
Vathani berkata, perkara penting ditekankan kepada anak-anaknya ialah waktu tidur yang awal, dengan kebiasaannya mereka akan tidur pada jam 9 malam.
“Buat mereka tidur awal kerana ia perkara yang selalu ditekankan pakar pediatrik saya. Semakin mereka tidur awal, semakin meningkat daya ingatan mereka.
Beliau menjelaskan bahawa pencapaian luar biasa anak perempuannya itu diraih tanpa bergantung pada gajet, kerana beliau sendiri sangat tegas dalam mengehadkan penggunaannya.
“Pertama sekali, gajet memberi kesan buruk kepada mata mereka, dan itu adalah perkara yang sangat penting. Kedua, saya perhatikan banyak ibu bapa dan anak-anak masing-masing sibuk dengan telefon mereka, hingga mereka kehilangan peluang untuk meneroka dunia seperti yang kita lakukan semasa kecil.
“Skrin menghalang kreativiti dan penerokaan dunia sebenar. Sebaliknya, kami mengisi masanya dengan aktiviti luar seperti bermain, selain menonton kartun klasik seperti Scooby-Doo dan Tom & Jerry.
“Kami mahu dia memberi tumpuan kepada pembelajaran, tetapi dalam masa yang sama tidak mahu dia terlepas saat-saat berharga zaman kanak-kanak yang penuh keseronokan seperti kami dahulu,” katanya.
Tambahnya, beliau juga menitikberatkan aspek pemakanan dalam membantu anaknya membina daya fokus yang tinggi. Anak perempuannya diberikan makanan kaya dengan protein dan kalsium untuk menyokong tumbesaran dan kecerdasan otak.
Beliau turut mengelakkan sepenuhnya makanan manis dan diproses, memastikan Jeimithra tidak mengambil gula-gula atau coklat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan anaknya menjadi terlalu hiperaktif dan membantu mengekalkan tahap fokus yang optimum.
Di luar pencapaian akademik yang membanggakan, Jeimithra juga menunjukkan minat terhadap muzik, terutamanya bermain piano. Ibunya percaya aktiviti ini membantu merangsang kedua-dua belah otaknya dan meningkatkan kebolehan kognitifnya secara menyeluruh.
Selain itu, Vathani mendedahkan mereka kini memperkenalkan Jeimithra kepada permainan catur dengan menunjukkan video orang bermain catur sebagai langkah awal.
“Saya tidak mahu dia rasa terasing, jadi saya fikir catur adalah pilihan yang baik untuk meningkatkan daya ingatannya. Kami juga merancang untuk melibatkannya dalam pertandingan catur pada tahun depan,” katanya.
Apabila ditanya tentang cita-citanya, Jeimithra dengan penuh keyakinan menjawab bahawa dia bercita-cita untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat besar pada masa hadapan.