
Apa…dah baligh? Ni kisah benar tau korang. Seorang ibu berkongsi kisah anak perempuannya yang baru berusia tujuh tahun tapi mula menunjukkan tanda-tanda perubahan fizikal. Perubahan macam ni selalunya bila umur korang dah sembilan tahun ke atas tapi tidak pada adik ini.
Kata ibunya, dia mula sedar bau badan anaknya mula berubah. Tak lama lepas itu, bahagian dada anaknya pula kelihatan sedikit membesar. Pada mulanya, ibu itu menganggap ia sekadar tumbesaran biasa kerana ada kanak-kanak yang memang berkembang lebih cepat berbanding rakan sebaya.

Perubahan Fizikal Yang Berlaku Dengan Sangat Cepat
Tapi kan korang, perubahan itu berlaku dalam tempoh yang singkat dan makin ketara. Serius pelik! Dalam masa beberapa bulan sahaja, ibu dan ayah kepada kanak-kanak itu mula berasa pelik dan risau.
Lama-kelamaan, mak dan ayah adik itu perasan badan anak mereka berubah tak sama macam kawan-kawan lain yang sebaya. Bila tengok betul-betul, mereka rasa ada sesuatu yang tak kena.
Sebab risau dan sayangkan anak, mak dan ayah pun bawa adik itu jumpa doktor pakar. Lepas doktor buat pemeriksaan, semua jadi terkejut. Doktor beritahu adik itu mengalami akil baligh pramatang, maksudnya hormon dalam badan dia mula bekerja terlalu awal walaupun umur masih kecil.
Apakah Itu Akil Baligh Pramatang?
Menurut penjelasan doktor, akil baligh pramatang berlaku apabila tubuh kanak-kanak mula menghasilkan hormon estrogen atau testosteron lebih awal. Keadaan ini menyebabkan perubahan fizikal seperti pembesaran payudara, pertumbuhan bulu halus di ketiak dan peningkatan ketinggian secara mendadak.
Dalam tempoh setahun sahaja, anak perempuan tersebut menunjukkan pertumbuhan yang sangat cepat. Ketinggiannya meningkat dengan ketara, dan bulu halus mula tumbuh di bahagian tertentu. Ibu bapanya makin risau kerana bimbang anak mereka akan mengalami haid walaupun masih kecil.

Cabaran Emosi Ibu Bapa dan Anak
Kata ibu adik itu, mereka sebenarnya terkejut dan sedih sebab belum bersedia dari segi perasaan. Bayangkan, umur masih kecil tapi badan dah berubah, mestilah susah nak terima. Adik itu pun tentu rasa pelik dan takut sebab dia sendiri belum faham apa yang sedang berlaku. Kalau tak dijaga betul-betul, perasaan adik boleh jadi sedih dan keliru.
Sebab sayangkan anak, mak dan ayah adik itu ikut nasihat doktor. Mereka setuju buat rawatan khas supaya proses akil baligh itu jadi perlahan. Rawatan ini dibuat supaya adik boleh membesar dengan lebih tenang, seimbang dan sesuai dengan umur dia.
Pengajaran Untuk Semua Ibu Bapa
Kisah ini sebenarnya nak ingatkan semua mak ayah dan juga kita sebagai budak-budak. Kalau tiba-tiba badan kita berubah lebih cepat daripada kawan lain, jangan rasa pelik atau malu.
Terus je cerita pada mak ayah. Bila beritahu awal-awal, mak ayah boleh tolong jaga kesihatan kita dengan lebih baik.
Sumber: TikTok Ragamgempita
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!







