
Membuat keputusan untuk menghantar anak belajar jauh dari sisi mak ayah bukan mudah. Lagi-lagi bila memikirkan kes-kes di media social yang bertebaran, melibatkan anak kecil membuatkan hati mak ayah tidak pernah tenang.
Mulalah mak ayah memikirkan pelbagai perkara negatif. Tak salah berfikir untuk keselamatan anak namun sebagai mak ayah apa kata kita persiapkan dulu anak-anak dengan perkara ini, seperti yang dikongsikan oleh Dr Taufiq Razif.
1. Ajar anak untuk tegas & berani SAY NO pada orang lain. Anak yang tak berani cakap TIDAK ni yang bahaya sebab dia akan ikut je apa orang lain suruh buat.
2. Didik anak untuk selalu cari kawan yang sama jantina jika nak mengadu masalah.
3. Ajar anak untuk selalu baca doa sebelum keluar rumah
بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Tiada daya dan upaya kecuali dengan (pertolongan) Allah
4. Ajar anak untuk jauhi ikhtilat iaitu pergaulan bebas dengan lawan jantina lagi lagi yang bukan mahram
5. Ajar anak untuk ‘choosy’ dalam memilih sahabat. Berkawan biar seribu tetapi bersahabatlah dengan orang yang ikhlas menyayangi dan menjagamu
6. Ajar anak untuk jaga pakaian dia. Kadang pemilihan pakaian yang salah boleh ‘trigger’ orang yang ada masalah pada mental dan jiwanya
7. Didik anak untuk tak lupakan solat 5 waktu walau apa pun ujian yang melanda hidupnya. Selama mana dia masih solat 5 waktu, insyaAllah dia akan selamat.
Semoga yang baik-baik buat anak-anak kita yang sedang membesar, lagi-lagi yang berjauhan dari mak ayah.
Lapan Perkara Anak Sulung Nak Daripada Ibu Ayah!

Anak sulung sememangnya cukup istimewa di hati kita selamanya. Penghuni rahim yang pertama bagi seorang ibu. Biarpun anak sulung segalanya namun anak ini sering diabaikan.
Perkongsian Penulis Keibubapaan, Hanis Athirah Rusli mengenai anak sulung ini mak ayah kena buka mata.
Sebagai anak sulung juga, mama akui mama silap dan sebenarnya inilah lapan perkara yang anak sulung perlukan dari ibu dan ayah.
Dengar dan faham dirinya
Kita selalu meminta anak sulung mengalah dengan turunkan EGO, DIAM, DENGAR dan PENDAM. Lama kelamaan mereka rasa sukar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Mereka menjadi reda, akur dan terpaksa banyak berkorban. Dalam masa sama kita lupa mereka masih lagi kecil dan perlukan perhatian dari kita.
Berikan perhatian
Percayalah anak-anak tak mahu pun percutian ke tempat yang mewah-mewah, pakaian yang berjenama, mainan yang mahal-mahal. Sebab peringkat umur ini, mereka lebih utamakan keperluan berbanding kehendak diri mereka. Mereka inginkan perhatian daripada kita, masa dan ruang untuk kita luangkan masa dengannya.
Belaian kasih sayang
Anak-anak tak dapat tahu apa isi hati kita. Betapa sayangnya kita terhadap mereka. Tapi anak boleh lihat sebagaimana kita melayan mereka dan cara itulah mereka interpretasi kasih sayang kita terhadap mereka. Tak semestinya anak bila besar tak boleh dimanjakan lagi. Cuma ikut batasan dan tidak keterlaluan. Tak salah ajak anak sulung letak kepala atas riba, gosok rambutnya. Berikan pelukan kasih sayang dan ciuman seorang ibu padanya setiap hari supaya anak rasa disayangi.
Berhenti membandingkan diri
Setiap anak ni unik, ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Raikan dan jangan banding-banding. Terima personaliti dirinya, tunjukkan contoh yang baik supaya anak meniru sikap yang baik kita tonjolkan kepadanya.
Luang masa berbual
Anak sulung sangat perlukan kita untuk meluahkan apa yang terbuku dihatinya tanpa kehadiran adik-adiknya yang lain. Anak sulung sangat perlukan kita terutama di waktu sukar yang dialaminya. Tapi kita mak ayah langsung tidak memahami, malah terus menghakimi mereka, tanpa peduli kitalah sepatutnya menjadi orang yang paling penting untuk berikan bahu untuk mereka mengadu, pelukan hangat tanda memahami dan ciuman tanda menyayangi.
Adil dan tak pilih kasih Satu perkara yang tak boleh dipertikaikan kepada golongan yang bergelar ibu ialah kasih sayang mereka. Mereka akan berhabis-habisan mengatakan mereka sayangkan semua anak dan kasih sayang yang diberikan sama kerana keluar dari rahim yang sama. Tapi pernah tak kita terfikir adakalanya kita sebagai ibu boleh juga tidak sengaja berlaku pilih kasih dalam memberi kasih sayang atau perhatian terhadap anak-anak?
Percayakan dirinya
Sesekali tak salah minta pendapat atau beri peluang anak sulung untuk menyatakan idea yang ada dalam sesuatu hal. Kurangkan kritik usaha mereka jika tak berjaya kerana akan membuatkan anak sulung tiada keyakinan diri dan takut untuk mencuba benda baharu. Berikan galakan dan dorongan padanya. Paling penting percayakan kebolehannya.
Hargai kewujudan dirinya
Anak sulung nak sangat merasa dihargai titik peluh dan pengorbanannya terutama dalam menjaga adik-adiknya. Ungkapkan terima kasih dan berikan dorongan kepadanya. Kita yang telah diberi anugerah memelihara anak ini, tunaikan amanat yang diberikan sebaik-baiknya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Sayangi dirinya penghuni pertama rahim kita.
Selaku anak sulung, perkara ini juga yang saya perlukan masa kecil dulu. Tambah, bila jadi mak lebih daripada seorang anak, ada kalanya tersilap lebih layanan dan perhatian kepada yang kecil berbanding yang sulung. Namun langsung tak berbeza sayang di hati.
Tapi perlu diperbaiki supaya tak makan hati.
Kredit: Hanis Athirah Rusli
Tip Bawa Anak Tunai Umrah, Tackle Cara Ni!

Berpeluang menunaikan ibadah umrah bersama anak-anak sememangnya pengalaman yang paling dinantikan oleh semua mak ayah.
Namun ia tidaklah semudah yang disangka. Banyak persiapan dan kesabaran yang perlu ada sepanjang berada di sana.
Bagi mak ayah yang bercadang untuk membawa anak untuk menunaikan umrah dalam masa terdekat ini, tip dan perkongsian seorang bapa, Muaz Aziz menerusi Facebooknya ini boleh anda jadikan panduan.
Nota persediaan sebelum tunai umrah dengan anak anak.
1. Pastikan anak-anak tahu bila hari terbang ke Haramain. Buat countdown supaya anak-anak bersedia.
2. Sebelum tarikh umrah biasakan anak-anak dengan masjid, biasakan anak-anak dengan aktiviti sebelum dan selepas solat.
3. Bawa mainan kegemaran anak-anak sekali pergi umrah (saiz kecil), jangan biarkan dia mengamuk di masjid. Mengganggu jemaah lain.
4. Susun aktiviti sepanjang di Haramain, bukan hanya aktiviti dalam masjid. Susun aktiviti berkelah di luar, masuk pasar raya, beli buah tangan untuk anak-anak.
5. Bawa beg sekadarnya, jumlah beg yang kita boleh urus. Jika banyak sangat beg bimbang tak terurus tambahan bawa anak-anak.
Setiap anak berikan satu beg sandang untuk dia bawa barang kesukaannya. Abdul Bari memang ke mana sahaja di dalam beg sandang dia ada satu ketul kereta kesukaan dia. Cukuplah buat dia gembira.
6. Tukar duit Riyal secukupnya dan sediakan satu kad kecemasan untuk kegunaan di sana. Kegunaan untuk makan, basuh baju, teksi, jajan anak-anak.
7. Tetapkan mindset untuk jaga mulut dan jaga adab sebaiknya. Apa yang berlaku beritahu anak-anak semua tu asbab kita nak dapat pahala.
8. Beritahu anak-anak keistimewaan zamzam, biar sepanjang umrah anak-anak dengan air zamzam sahaja. Air zamzam banyak di Mekah dan Madinah, pastikan di dalam tong zamzam. Water dispenser itu air drinking water.
9. Datang ke masjid seawal satu jam sebelum azan, untuk sembahyang di dalam bangunan masjid. Dataran luar masjid jadikan pilihan ketiga dan keempat.
10. Sediakan small goodies (gula-gula) letak dalam beg anak-anak. Suruh dia berikan pada kanak-kanak lain di sana untuk anak-anak merasai sendiri keseronokan berkongsi dan sedekah.
11. Beritahu pada anak-anak, jangan merungut rasa makanan di sana. Cukup dengan senyap jika tidak kena dengan tekak. Nanti ayah carikan yang lain. Kalau duit tak cukup Ummi payung.
12. Ajak anak-anak solat jenazah setiap kali habis waktu solat. Ceritakan kelebihannya. Di Malaysia sangat jarang anak-anak kita nak dapat peluang solat jenazah.
13. Ambil peluang duduk niat iktikaf di masjid dengan anak-anak. Buat aktiviti di dalam masjid sama ada baca Al-Quran bersama-sama, bawa buku lukisan anak-anak atau ajak berbual tentang kebesaran Allah dan sirah rasul supaya dia tidak bosan.
Boleh juga minta anak-anak tulis (tulisan tangan) atas buku senarai doa yang dia nak doa pada Allah, ajar doa yang khusus (specific). Minta dia ulang-ulang. Macam Najihah dia minta Allah Islamkan labubu.
14. Dalam gembira kena tegas dengan anak-anak supaya tidak mengganggu jemaah yang lain.
15. Setiap kali sebelum tidur, ajak anak-anak berdoa bersama-sama supaya Allah mudahkan terjaga satu jam sebelum Subuh dan dapat solat berjemaah di masjid.
16. Puji tingkah laku anak-anak di sana, supaya dia lebih seronok ikut aktiviti dengan ibu ayah.
17. Libatkan anak-anak dalam program sambil sedekah dan lain-lain.
18. Tambah keterujaan anak-anak dengan ganjaran aiskrim dan manisan sesudah selesai Isyak setiap hari.
6 JENIS PERMAINAN YANG BAGUS UNTUK MINDA ANAK ANDA

Kanak-kanak boleh berkembang sebagai pelajar yang lebih aktif apabila mereka berseronok dalam persekitaran permainan yang kondusif untuk pembelajaran.
Permainan otak terbaik ialah permainan yang boleh memberi tumpuan kepada bidang tertentu perkembangan anak anda.
Aktiviti permainan untuk kanak kanak ini memberi kesan positif kepada kemahiran motor, ingatan-ingatan lisan, pengecaman dan pengesanan corak, serta lain-lain lagi.
Ini antara yang paling mudah dan terbaik untuk perkembangan minda kanak-kanak :
Susun Suai Gambar (Jigsaw Puzzle)
Bermain puzzle merupakan antara permainan klasik kanak-kanak sejak dahulu lagi. Permainan ini sesuai untuk meningkatkan kemahiran motor halus, pengesanan corak, pengecaman imej dan penyelesaian masalah.
Kanak-kanak juga boleh belajar tentang kerjasama untuk menyelesaikan tugasan, serta kemahiran penting yang berkaitan dengan kepuasan tertunda setelah menyelesaikan puzzle.
Bercerita Dengan Satu Perkataan
Anda boleh mengajak semua anak-anak anda atau kanak-kanak lain untuk bermain permainan ini. Berikan perkataan tertentu kepada setiap kanak-kanak dan minta mereka untuk membuat cerita ringkas dengan menggunakan perkataan tersebut.
Aktiviti ini boleh membantu mencetuskan kemahiran penyelesaian masalah kreatif dalam diri kanak-kanak dan meningkatkan pemahaman mereka tentang bahasa.
Bermain Tanah Liat
Bermain tanah liat juga amat baik untuk perkembangan minda anak anda, lebih-lebih lagi tanah liat dengan pelbagai warna. Bagi kanak-kanak yang masih kecil, tanah liat berwarna-warni sangat sesuai untuk mengajarkan mereka menentukan warna yang betul.
Selain itu, membentuk tanah liat dengan menggunakan tangan mereka sendiri dapat merangsang motor halus selain mengembangkan bakat kreatif anak anda.
Blok & Mainan Binaan
Pemainan blok dipercayai dapat merangsang pertumbuhan otak dalam semua aspek perkembangan. Malah ada kajian membuktikan kanak-kanak yang bermain blok secara kerap ketika berusia 3, 4 dan 5 tahun akan lebih baik dalam pelajaran matematik, khususnya algebra apabila berada di sekolah menengah.
Terdapat banyak pilihan blok dan set pembinaan yang menyeronokkan untuk dipertimbangkan, termasuklah blok kayu dan lego.
Mainan Budak #Pretend play
Pretend play atau role play, merupakan permainan dramatik yang mempunyai manfaat kognitif, sosial dan emosi yang terbaik.
Ini kerana melalui permainan seperti ini, contohnya bermain masak-masak, doktor atau guru, anak akan mula menerokai apa yang disukai, diminati dan menjelajahi dunia di sekeliling mereka. Permainan ini juga memberi peluang kepada anak untuk belajar sesuatu perkara baharu berkaitan kehidupan.
Kanak-kanak sedang membina kemahiran sosial dan emosi, menyokong kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, belajar membaca isyarat sosial, berkongsi, bergilir-gilir dan banyak lagi apabila mereka terlibat dalam permainan dramatik.
Mainan yang menyokong permainan ini termasuk perabot saiz kanak-kanak, pakaian dan solekan, anak patung dan pakaiannya, makanan plastik, mesin tunai, alat permainan pengangkutan dan sebarang barangan kreatif membolehkan anak ‘berlakon’ (pretend).
Kit Seni & Kraf
Seni dan kraf merupakan antara permainan yang digemari kanak-kanak. Berikan anak kertas, pensel warna, krayon dan gunting yang selamat untuk mereka.
Lihat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka apabila berjaya menghasilkan potongan bentuk unik. Berikan sokongan dan percayalah ia akan terus meningkatkan motivasi mereka untuk lebih berimaginasi dan menjadi kreatif.
Berikan putik kapas atau bebola kapas untuk dicelup dalam warna air dan lihat bagaimana mereka menghasilkan lukisan seperti Leonardo da Vinci junior.
Namun anda perlu memantau kerana anak mungkin ‘tergoda’ untuk menconteng dinding! Untuk menghindari perkara ini anda boleh menampal kertas besar pada dinding dengan menggunakan pita pelekat.