
Doa ibu senjata utama kepada kehidupan anak-anak. Jadi jangan lupa selitkan doa ini setiap hari dan setiap masa agar anak kita sentiasa dilindungi dan berjaya dalam hidupnya.
Doa bagaimana yang menjadi pilihan kita? Senarai perkongsian ini boleh anda jadikan panduan untuk mendoakan anak setiap hari. Jangan terlepas.
Ruginya kalau sebagai ibu, kalian tak gunakan kelebihan ni untuk sentiasa mendoakan anak-anak. Doa ibu itu tiada hijabnya.
Setiap hari tak kira pagi atau malam, ambil peluang berdoa untuk anak-anak kita sejak mereka lahir sampailah ke akhir hayat kita.
1. Doakan anak suka solat dan baca al-Quran.
2. Doakan anak kita halus tutur katanya dan beradab.
3. Doakan anak kita terlindung matanya dari perkara lucah dan terjaga lidahnya dari berkata perkataan yang kotor.
4. Doakan anak kita sentiasa sayang pada adik beradik dan saling melindungi ahli keluarganya.
5. Doakan anak lelaki kita menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan rajin membantu di rumah.
6. Doakan anak kita untuk menjadi anak yang taat, lembut hati dan mudah mendengar kata.
7. Doakan anak perempuan kita supaya boleh melindungi diri, sentiasa menjaga maruah dan pandai berdikari.
8. Doakan anak kita menjadi manusia soleh, solehah yang tenang dan tenteram jiwanya.
9. Doakan anak kita akan saling memaafkan dan saling berdamai antara adik beradik bila berlaku salah silap.
10. Doakan anak kita sentiasa mendoakan kita dalam setiap solatnya setiap hari.
Ulang dan ulang doa anda setiap hari tanpa rasa jemu. Ingat, ada orang yang berjaya luar biasa pada hari ini, bukanlah disebabkan usaha atau amalannya semata tetapi mereka berjaya disebabkan doa ibunya (dengan izin Allah).
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat semua ibu di luar sana.
Tip Mudah Cepatkan Sembuh Luka Berkhatan!

Cuti sekolah ini pasti ada yang mengambil kesempatan nak khatankan anak. Memang tak dinafikan kaedah sekarang buatkan luka pada tempat khatan sembuh dengan cepat, tapi untuk ibu yang pertama kali nak jaga anak berkhatan, tentu ada gusarnya.
Untuk ibu yang pertama kali nak jaga anak berkhatan, Dr Ahmad Luqman Bukhari senaraikan apa yang perlu dibuat untuk menjaga anak lepas berkhatan, terutamanya untuk mama yang pertama kali nak jaga hero.
Pertama kali jaga anak lepas berkhatan?
Ni antara ilmu penjagaan yang penting untuk mak ayah semua praktikkan:
- Perhatikan jika pendarahan tidak berhenti daripada luka berkhatan. Jika berlaku, terus ke fasiliti kesihatan untuk rawatan lanjut.
- Galakkan anak untuk pakai kain sarung atau pakaian yang longgar dulu. Pangkal yang terdedah tu mungkin terasa lebih sensetif dan ngilu pada peringkat awal.
- Pesan kat dia supaya tak lakukan aktiviti lasak. Tunggu dulu hingga luka tu sembuh sepenuhnya.
- Berikan anak makanan yang mengandungi banyak protein seperti ayam dan telur supaya luka lekas sembuh dengan sempurna.
- Ingatkan dia supaya minum air secukupnya. Barulah tak sembelit dan tak terdehidrasi.
- Jika dia mengadu sakit, boleh berikan ubat penahan sakit seperti Paracetamol setiap 6-8 jam.
- Pesan jugak kat anak supaya cuci tangan sebelum nak sentuh luka berkhatan dan pastikan tempat luka tu bersih dan kering.
Penting tau. Kalau tak jaga betul-betul, takut berlaku jangkitan pada luka.
Nak gunakan topical antibiotic seperti Chloramphenicol pun bagus.
Ada apa apa pantang tak doktor? Tak ada. Follow je tips yang saya share ni ye.
Selamat menjaga dan merawat anak teruna kalian.
Kredit: Dr Ahmad Luqman Bukhari
BK Mini Fest 2023 Meriah Dengan Pelbagai Aktiviti & Berjaya Mencungkil Potensi Kanak-Kanak!

Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Tahun ini merupakan kali kedua BK Mini Fest dianjurkan. Kemeriahan dapat disaksikan sepanjang BK Mini Fest 2023 di mana acara ini telah menghimpunkan lebih 2000 orang kanak-kanak!
Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN
Bagi memulakan BK Mini Fest 2023, acara pertama yang diadakan adalah Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN yang melibatkan lima buah sekolah sekitar Shah Alam menghantar wakil untuk perbarisan serta pertandingan Haka. Setiap sekolah melibatkan 50 orang murid yang mewakili badan beruniform pilihan mereka.
Badan beruniform yang terlibat adalah Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dari SK Bandar Anggerik, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) dari SK Bandar Anggerik, Pandu Puteri Tunas dari SK Padang Jawa, Pengakap dari SK Seksyen 19 serta Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dari SK Seksyen 9.
Perbarisan mereka telah diiringi oleh pancaragam SMK Kepong dan kesemua peserta telah memaparkan semangat juang dengan formasi kawad kaki menarik serta gimik tersendiri untuk memikat hati juri. Selesai pertandingan kawad kaki, kesemua pasukan diminta untuk menghantar 10 orang wakil mewakili badan beruniform mereka untuk mempersembahkan Hakka. Ternyata kesemua peserta sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh bagi merebut gelaran juara untuk pertandingan ini.
Tahniah buat badan beruniform BSMM dari SK Seksyen 9 yang telah menjuarai pertandingan perbarisan serta TKRS dari SK Bandar Anggerik yang berjaya merangkul kemenangan bagi kategori Hakka.
Perasmian BK Mini Fest Meriah
Menariknya acara Himpunan Badan Beruniform Mega X PTPTN ini kerana turut diserikan dengan kehadiran Angkasawan Negara, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar yang telah berkongsi tentang tip kejayaan beliau.
Selain itu, kehadiran Dr. Sheikh Muszaphar juga adalah untuk merasmikan BK Mini Fest 2023 bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv Sdn. Bhd, En. Syamil Fahim Mohamed Fahim serta Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, En. Azhar Ahmad.
Dewi Cilik Bintang Kecil Pertama Dinobatkan
Pada sebelah petang 19 Ogos 2023, acara diteruskan dengan pertandingan Dewi Cilik Bintang Kecil 2023. Dari 200 penyertaan yang diterima, akhirnya seramai 10 orang kanak-kanak perempuan berusia 8-12 tahun telah dipilih sebagai finalis Top 10 Dewi Cilik.
Kesemua finalis telah diuji melalui catwalk mereka serta keyakinan mereka. Selain itu, mereka turut melalui cabaran Tiktok di mana mereka perlu menari apabila mendengar lagi viral di aplikasi itu yang dimainkan secara rawak.
Para juri yang bertanggungjawab untuk menobatkan gelaran Dewi Cilik Bintang Kecil 2023 pada hari itu adalah Pn. Norfarhati Abdul Hakim yang merupakan pengasas Mewah Rose dan juga pernah memenangi pertandingan Miss Catwalk 2012 serta Pensyarah Senior dalam jurusan seni fesyen dari UiTM Shah Alam iaitu En. Faizal Hamid.
Selain itu, bekas Dewi Remaja 2019/2020 iaitu Shaza Bae turut menjadi juri untuk pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan buat Nur Farisha Dania yang telah dinobatkan sebagai Dewi Cilik Bintang Kecil yang pertama! Pemenang tempat kedua pula adalah Nur Zara Aamily Binti Nazri manakala Syazwina Bt Mohd Taib meraih tempat ketiga pertandingan ini.
Juga sekalung tahniah diucapkan kepada Putri Diana Ellysa yang dipilih sebagai Dewi Aktif dan Putri Nur Nariesya Eizeanies yang diberikan gelaran Dewi Foto Terbaik.
Pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN
Acara pada hari Ahad pula dimulakan dengan pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN yang mendapat sambutan memberangsangkan. Seramai 200 orang kanak-kanak untuk dua kategori (Kategori A: 5-7 tahun dan Kategori B: 8-12 tahun) telah menyertai pertandingan ini.
Tambah menarik kerana kesemua peserta yang hadir bukan sahaja mempertaruhkan bakat mewarna bahkan mereka juga memperagakan pakaian kemederkaan yang unik. Sepanjang masa anak-anak mewarna ibu bapa pula dapat mendengar perkongsian menarik tentang ilmu simpanan dari Pn. Wan Zawiah Wan Abu Bakar (Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN) serta selebriti popular Yana Samsudin.
20 Finalis BK Fantastic X Karihome Tonjol Bakat
Kanak-kanak milenial mempunyai potensi yang sangat besar.Oleh itu, Bintang Kecil telah menganjurkan BK Fantastic X Karihome yang mendapat sehingga 500 penyertaan kanak-kanak dari serata Malaysia. Akhirnya 20 orang telah terpilih untuk ke peringkat akhir.
Pelbagai jenis bakat yang dipertaruhkan seperti nyanyian, tarian, bermain alat muzik, sukan dan banyak lagi. Dengan persediaan rapi serta keyakinan tinggi, kesemua 20 persembahan para peserta telah memukau hadirin yang ada.
Tiga orang juri telah diberikan kepercayaan untuk memilih pemenang. Selain Miss Jessie yang mewakili Karihome, dua lagi juri lain adalah Dr. Haji Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pakar Motivasi) serta penyanyi, komposer dan pelakon terkenal iaitu Mark Adam turut bertanggungjawab untuk mengadili persembahan setiap peserta.
Tahniah diucapkan buat juara BK Fantastic X Karihome iaitu penari dari Kumpulan Putera Arts Talent Production, pemenang tempat kedua Mika Adam Mikael yang bermain violin serta Nurdania Batrisya menduduki tempat ketiga dengan persembahan nyanyian.
Putaran Mega BK Mini Fest 2023 Tawar Hadiah Menarik
Salah satu daya tarikan untuk BK Mini Fest 2023 adalah acara Putaran Mega BK Mini Fest yang memberi peluang kepada para pengunjung untuk memenangi pelbagai hadiah menarik. Kepada pembeli barangan Karihome atau pembukaan akaun Simpan SSPN bernilai RM20 ke atas, berpeluang untuk membuat putaran roda.
Sekiranya mereka menerima tiket emas untuk ke Putaran Mega BK Mini Fest, mereka berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan seperi komputer riba, baucar percutian, beg berjenama mewah, baucar membeli-belah dan banyak lagi. Tahniah kepada Pn. Nor Hafida kerana berjaya memenangi hadiah utama yang berupa komputer riba tajaan Acer!
Aktiviti Untuk Ibu Di Mini Stage
Bukan sahaja aktiviti di pentas utama, BK Mini Fest turut memberi ruang kepada para ibu untuk ‘me-time’ di pentas mini. Pada hari Sabtu telah diadakan acara Lindungi Anak Anda! bersama tiga orang panel jemputan iaitu Kaunselor Laktasi Pn. Noorfazila Abdul Rahman, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Dr. Maiza Tusimin serta Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga & Organisasi, Dr. Hajah Azuraida Shahadan.
Selain itu pada hari Ahad pula telah diadakan Mama Zumba Sweat It Out! bersama Zin Belle dan 30 orang para ibu yang telah berzumba beramai-ramai di pintu masuk utama Plaza Shah Alam. Selepas berzumba, mereka kemudiannya mendengar perkongsian tentang diet dari Pegawai Dietetik bertauliah, Pn. Laila Fadhilah Omar dari SALAM Shah Alam Specialist Hospital.
Banyak Tarikan Lain
Selain pelbagai acara menarik di pentas utama dan pentas mini, terdapat banyak aktiviti lain yang ada di Plaza Shah Alam selama dua hari BK Mini Fest 2023 berlangsung.
Booth seperti zoo mini dari Farm In The City, lukisan muka, inai, gula-gula kapas serta kolam bola dari Poolkidz, booth KUEH yang turut menaja makanan di setiap aktiviti Mini Stage dan banyak lagi turut mendapat sambutan dari pengunjung yang hadir.
Sememangnya acara dua hari ini telah merapatkan hubungan kekeluargaan serta mencungkil potensi kanak-kanak yang datang. Diharapan penganjuran acara BK Mini Fest 2023 dapat memberi manfaat kepada kesemua yang hadir memberikan sokongan.
JOM SAKSIKAN VIDEO HIGHLIGHT BK MINI FEST 2023
Kenapa Pelangi Tak Ada Warna Hitam?

Pernah tak korang tengok pelangi lepas hujan? Cantik betul, kan! Warna dia ada merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu. Tapi pernah tak korang terfikir, kenapa pelangi tak ada warna hitam? Artikel ni akan bongkar rahsia sains di sebalik warna pelangi yang selalu buat kita terpesona.
Selepas Hujan, Datanglah Pelangi
Pelangi muncul bila cahaya matahari bertemu dengan titisan air hujan di udara. Air tu bertindak macam cermin kecil yang memecahkan cahaya matahari kepada banyak warna indah.
Matahari sebenarnya mengandungi semua warna cahaya. Tapi bila ia “terbelah” melalui titisan air hujan, muncullah tujuh warna cantik yang membentuk pelangi. Namun, warna hitam tidak termasuk sebab ia bukan sebahagian daripada cahaya pelangi.
Kenapa Pelangi Tak Ada Warna Hitam?
Warna hitam sebenarnya bukan cahaya, tapi ketiadaan cahaya. Maksudnya, kalau tiada cahaya langsung, barulah kita nampak hitam. Pelangi pula terjadi kerana cahaya matahari yang terang, jadi warna hitam memang tak boleh muncul sebab pelangi terbentuk daripada cahaya, bukan kegelapan!
Bayangkan kalau pelangi ada warna hitam, mesti nampak pelik macam garis kosong di langit. Sebab tu, pelangi hanya menampilkan warna yang datang daripada cahaya, bukan dari kegelapan.
Macam Warna Cat Juga!
Kalau kamu campur semua warna cat, hasilnya akan jadi warna gelap atau hitam. Tapi kalau campur semua warna cahaya, hasilnya ialah putih! Ini sebab warna hitam bukan sebahagian daripada cahaya, tapi hasil campuran warna bahan seperti cat atau pensel warna kita.
Jadi, sebab utama kenapa pelangi tak ada warna hitam ialah kerana pelangi terbentuk daripada cahaya matahari yang terang. Warna hitam pula ialah ketiadaan cahaya, jadi ia takkan pernah wujud dalam pelangi sebenar.
Pelajaran Dari Pelangi
Pelangi ajar kita satu perkara penting — walaupun setiap warna berbeza, bila bergabung, jadilah sesuatu yang indah dan menggembirakan semua orang. Macam kita juga! Tak kira warna kulit, latar belakang, atau perangai, bila kita bekerjasama, dunia jadi lebih ceria dan penuh makna.
Fakta Ajaib Tentang Pelangi
- Warna pelangi sentiasa dalam urutan yang sama di seluruh dunia.
- Kamu cuma boleh nampak pelangi jika berada pada sudut tertentu berbanding cahaya matahari.
- Kadang-kadang ada pelangi berganda, satu terang dan satu lagi samar.
Rahsia Sebenar Kenapa Pelangi Tak Ada Warna Hitam
Kesimpulannya, pelangi tak ada warna hitam sebab ia lahir daripada cahaya, dan warna hitam pula ialah kegelapan tanpa cahaya. Jadi, bila nampak pelangi selepas hujan, senyum dan ingat, semua warna itu tanda keindahan alam ciptaan Tuhan yang menggembirakan hati kita.