
Bilik anak-anak memang sering menjadi cabaran untuk dikekalkan kemas. Tapi tahukah anda, mengajak anak kemas bilik sebenarnya boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan mendidik?
Dengan cara yang betul, aktiviti ini bukan sahaja membantu mereka belajar tanggungjawab tetapi juga membentuk disiplin diri. Jom jadikan kemas bilik sebagai masa berkualiti bersama anak-anak!
Jadikan Aktiviti Sebagai Permainan
Buat pertandingan seperti “Siapa Cepat Siap” atau “Cari dan Susun Mainan.” Anak akan lebih seronok dan teruja.
Gunakan Musik Ceria
Pasang lagu kegemaran anak-anak sambil mengemas. Musik boleh menaikkan mood mereka untuk bergerak.
Berikan Arahan yang Jelas
Bahagikan tugas kepada langkah kecil seperti “Kumpul semua mainan dulu” atau “Lipat baju dan susun dalam almari.”
Berikan Contoh
Anak-anak akan lebih mudah ikut apabila mereka melihat anda memulakan dahulu. Contoh adalah pengajaran terbaik.
Gunakan Alat yang Menarik
Sediakan kotak penyimpanan dengan warna atau corak yang mereka suka untuk memudahkan penyimpanan barang.

Puji dan Beri Ganjaran
Berikan pujian seperti “Bagusnya! Pandai kemas!” atau ganjaran kecil seperti pelekat bintang untuk usaha mereka.
Tetapkan Masa Kemas
Jadikan kemas bilik sebagai rutin, contohnya sebelum tidur atau selepas bermain. Rutin membantu anak membentuk tabiat.
Gunakan Cerita atau Imaginasi
Ceritakan kisah bahawa mainan mereka “perlu tidur di tempatnya” atau “perlu rehat di kotak.” Ini membantu anak memahami pentingnya menyimpan barang.
Libatkan Mereka dalam Susun Atur
Minta anak pilih bagaimana mereka mahu susun barang. Bila mereka rasa ada kawalan, mereka lebih teruja untuk menjaga kekemasan.
Bersabar dan Beri Masa
Jangan paksa atau marah jika mereka lambat memahami. Ajak mereka perlahan-lahan sehingga menjadi kebiasaan.
Ajak anak kemas bilik bukan sekadar tentang kebersihan, tetapi juga tentang membina hubungan yang lebih erat dan nilai yang positif. Dengan pendekatan kreatif dan kesabaran, anda boleh menjadikan ini satu rutin yang dinanti-nantikan oleh anak-anak. Ingat, anak-anak belajar dengan contoh, jadi mulakan dengan diri kita sendiri. Selamat mencuba
Ini 15 Nilai Islam Patut Diamalkan Dalam Mendidik Anak Sejak Kecil

Mendidik anak, sama ada lelaki atau perempuan, bukanlah tugas yang mudah. Setiap anak memerlukan pendekatan yang tepat berdasarkan prinsip Islam, dan ibu bapa perlu memahami teknik psikologi yang sesuai.
Pendekatan didikan ini amat penting untuk memastikan anak-anak membesar dengan panduan yang betul dan mampu menghadapi kehidupan dewasa dengan lebih baik.
Jom ketahui 15 tips penting tentang cara mendidik anak mengikut landasan Islamik yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian!
Kawal diri sebagai ibu-bapa. Elakkan pukul anak dari lutut keatas. Kalau marah sangat, pukul tapak kaki anak.
2.ELAKKAN GUNA TANGAN ATAU ANGGOTA TUBUH YANG LAIN UNTUK MEMUKUL ANAK
Jangan sesekali menampar anak menggunakan tangan kita. Ia akan menjadi lebih buruk di mana anak akan bertambah nakal dan degil. Rotan atau pukul anak di telapak kakinya. Pukul seadanya sahaja, bukan dengan amarah yang meluap-luap. Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak.
3.AJAR ANAK SOLAT
Dalam mendidik anak mengikut cara Islam, solat adalah kunci utama.
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, danpukullah mereka kerana tidak solat ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka” ( H.R. Ahmad & Abu Daud )
“Dan perintahkanlah ahli keluargamu mendirikan solat dan bersabarlahkamu diatas kesukaran-kesukaran yang kamu hadapi kerananya..” ( Toha : 132 )
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamudari api neraka..” ( At-Tahrim : 66 )Kata pengikut-pengikut Asy-Syafie : Hendaklah para wali ( ibu bapaatau penjaga ) memerintahkan anak-anak menghadiri jamaah solat dan menerangkan kepada mereka hukum-hukum agama yang harus merekakerjakan sebagaimana wajib atas wali memberi pendidikan kepadaanak-anak tentang aurat, arak, dusta, mengumpat dan sebagainya.
4.NAMA PANGGILAN YANG BAIK
Beri dan panggil anak dengan nama yang baik-baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. Lebih malu apabila kawan-kawan mereka mengetahui panggilan itu.
5.PELUK ANAK SETIAP HARI
Dalam mendidik anak cara Islam, kasih sayang dari ibu bapa yang ditunjukkan kepada anak sangat bermakna buatnya. Berikan anak anda pelukan setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.
6.PANDANGAN KASIH SAYANG
Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran.
7.BERIKAN PUJIAN PADA ANAK
Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan. Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.
8.AKUI KESILAPAN ANAK
Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.
9.UTAMAKAN KELUARGA BERBANDING PERKARA LAIN
Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga. Anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali. Jadi, hargailah masa bersama semasa proses anak-anak membesar.
10.ELAKKAN MENGELUH KERANA ANAK. UCAPKANLAH ‘ASTAGHFIRULLLAH’
Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban. Dalam mendidik anak cara islam, kesabaran yang tinggi amat penting. Elakkan mengeluh. Ucapkan Astagfirullah.
11.DENGAR BILA ANAK BERCAKAP
Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap. Dengan kata lain, jadilah pendengar yang baik.
12.TENANGKAN ANAK
Adakalanya, anak kita panik dan tidak tahu nak buat apa. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya. Peluk erat-erat dan tunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
13.TUNJUK ANAK BAGAIMANA CARA MENENANGKAN DIRI
Jangan hanya peluk sahaja. Selitkan kata-kata nasihat dan iktibar yang sewajarnya. Kalau bergaduh sesama adik-beradik, leraikan dengan suara yang lembut. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.
14.BUAT AKTIVITI BERSAMA-SAMA ANAK.
Luangkanlah masa bersama anak anda di luar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri. Buat aktiviti yang berfaedah bersama-sama. Ingat, kualiti masa lebih penting daripada kuantiti. Anak akan ingat saat-saat indah mereka bersama ibu-bapa sampai bila-bila.
15.TERIMA ANAK SEADANYA
Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibu bapa yang sempurna. Kadang-kadang tanpa sengaja, kita akan pukul anak dan menyesal kemudiannya. Tiada ibu-bapa yang sempurna. Tujuan kita disini ialah untuk belajar bersama-sama.
Sumber:www.khalifahdidik.com
Nak Bentuk Peribadi Mulia, Ustazah Ini Kongsi 6 Cara Islamik Didik Anak

Pesanan seorang ayah sering menjadi bekalan berharga dalam kehidupan anak-anak, terutama apabila ia disampaikan dengan penuh hikmah dan kasih sayang.
Sebagai dalam coretan ini, dikongsikan oleh Ustazah Aminah Yusof beberapa nasihat mendalam dari Almarhum Ayahanda yang telah membentuk peribadi penulis sejak kecil.
Setiap nasihat bukan sahaja menjadi pedoman untuk kehidupan duniawi, malah juga menjadi panduan menuju akhirat. Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada kita semua untuk menghargai dan mengamalkan ajaran yang baik dalam kehidupan seharian.
Pesan Almarhum Ayahanda yang paling “Deep”

1. Ngaji selepas subuh
Dari sekolah rendah ayah wajibkan kami adik beradik mengaji selepas subuh. Ayah paksa baca paling sikit satu muka walaupun dah lambat nak ke sekolah.
Ada masa tu panjang juga muncung kami adik beradik, takut pengawas ambil nama sebab lambat datang sekolah. Muka mencuka tanda protes, untungnya kami takut nak membantah dengan kata-kata sebab ayah garang.
Rupanya, kesan baca Al-Qur’an selepas subuh banyak bantu kehidupan harian saya, dalam kelas dapat fokus, rasa tenang dan tidak pernah tertekan walaupun kerja sekolah banyak, perhubungan dengan kawan baik dan yang paling saya bersyukur ialah hubungan dengan guru sangat baik.
Saya setuju jika permulaan hari itu dimulakan dengan solat sunat sebelum subuh, solat subuh yang khusyuk, baca Al-Qur’an dan amalkan ma’thurat. Terlalu banyak perkara yang baik-baik berlaku tanpa diduga dalam hidup kita.
2. Ikut tadah kitab kat masjid setiap kali lepas maghrib
Dari kecil ikut ayah ke masjid-masjid sekitar daerah Pasir Mas untuk tadah kitab tauhid, fekah, usul, kadang-kadang belajar juga tafsir dan tajwid. Allahu rindu sungguh zaman-zaman ini.
Kadang-kadang ikut Mak ayah pergi masjid bukan untuk tadah kitab tapi nak tengok jamaah dekat masjid. Itulah sahaja tempat paling seronok sebab dapat jumpa dengan kawan-kawan.
Hebat kesannya bila selalu bertandang ke rumah Allah. Tempat yang penuh rahmat ini membina sahsiah, akhlak dan membantu saya belajar tentang adab terhadap orang tua. Banyak petua-petua orang lama yang saya dapat. Itulah ilmu yang banyak membentuk peribadi dan kelakuan saya.
Melihat orang tua ibarat melihat diri sendiri pada masa akan datang. Tak berani nak menolak hakikat ini.
3. Makan mesti berjamaah
Ayah selalu keluar sehingga sempadan terengganu untuk berdakwah, dua tiga hari musafir baru pulang semula ke rumah.
Saat paling bahagia ialah bila dapat berkumpul dan makan berjamaah. Sangat tertib, dimulakan dengan doa barulah boleh menjamah makanan kemudian diakhiri juga dengan doa.
Ayah banyak mengajar kami adik beradik berkongsi, makanan yang sedikit bila makan sama-sama pasti mencukupi, kadang-kadang ada lagi lebihan. Rezeki murah dan tidak pernah rasa kesempitan.
4. Hormat ayah sampai tak berani cakap kuat-kuat.
Dulu saya tertanya-tanya ayat Al-Qur’an yang mana ayah bacakan untuk kami adik-beradik sehingga tidak berani melawan, cakap kuat-kuat dan membantah setiap suruhannya.
Nampak bengis tetapi dekat dan mesra. Senyum dan ketawanya sangat mahal tapi sekali ia terukir, padam segala ketakutan.
Rupanya amalan bacaan Asma’ Al-Husna bantu ayah lembutkan hati anak-anak.
5. Ajak orang buat baik, in sha Allah hati kita akan terdidik.
Pesan ayah nak jadi baik mestilah rajin ajak orang buat baik. Mungkin dengan asbab ini, Allah hidupkan hati kita untuk melakukan kebaikan.
Jangan tunggu baik dulu baru nak buat baik, kerana kebaikan tidak datang secara percuma.
Gunakan segala peluang yang ada, melalui tulisan, perbuatan, kata-kata, penampilan dan gaya hidup. Macam-macam cara yang kita boleh lakukan. Hakikatnya nak menyeru kebaikan itu tidak susah kerana Allah sentiasa mendorong kita dengan pelbagai kemudahan dan pertolongan dariNYA.
Satu perkara kita kena ingat, menyampaikan kebaikan tidak semestinya orang terus baik, jangan ada unsur paksaan jika berlaku penolakan kerana hati manusia kepunyaan Allah. Kita ikhlas menyampaikan, selebihnya bertawakkallah kepada Allah.
6. Dunia bukan untuk senang-senang dan berseronok kerana ia hanyalah jambatan yang penuh ujian sebelum sampai ke dunia akhirat.
Perjalanan hidup ayah tidaklah mudah, bermalam disurau berteman angin dingin yang menyucuk hingga ke tulang sum-sum, gigitan nyamuk yang berbintat-bintat, suara unggas yang mengisi hening malam. Semua itu ayah lalui dengan tenang dan sabar kerana seluruh jiwa dan raganya diserahkan untuk agama Allah.
Saya malu nak bersenang-senang, bermewah-mewah bila teringat jerih pengorbanan Almarhum ayahanda dalam hidupnya.
Walaupun saya tidak mampu untuk menjadi sekuat dan sekental ayah, saya selalu berdoa untuk menjadi anak yang mampu menyalurkan amal jariah kepadanya.
Ya Allah..
Andai Engkau menerima semua bingkisan, kerja dan amalanku, aku sedekah untuk Almarhum ayahanda Mat Yusoff Bin Ismail, moga terang kuburnya, tenang kuburnya, nyaman kuburnya, menjadi satu taman dari taman-taman syurgaMU.
Amiiin ya Mujeeb.
Tenangkan juga ibu ayah sahabat2 ku, moga beroleh karamah, rahmat dan kasih sayangMU sehingga ke Syurga.
Sumber: Aminah Mat Yusoff
Darjah 1 Tak Tahu Membaca. Alert Nasihat Pakar Pertuturan Ini

Sudah pastinya ibu ayah risau apabila anak tidak boleh membaca apabila memasuki darjah 1, namun untuk atasinya perlu ada tindakan segera pada usia empat tahun. Bukan hanya meneroka persekitaran sahaja.
Menurut Ahli Terapi Pertuturan Bahasa, Ruby Izyan Atika Abu Bakar,realitinya, darjah 1 mesti dah boleh baca. Paling koman, boleh baca CVCV (saya suka baca buku). Tak percaya? Sila tengok buku darjah 1 murid 2017.
Tak kisahlah apa pun kaedah di Jepun, di Finland atau di Australia. Hakikatnya di Malaysia, buku teks dan buku kerja murid memang begitu. KBAT pun dah ada untuk darjah 1.
Pada saat pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia (6 tahun ke bawah), nampaknya semakin ke arah naturalistik, tetapi tahap pendidikan aliran sekolah kebangsaan masih di peringkat exam oriented.
Maka tidak hairanlah apabila banyak tadika yang begitu menekankan aspek pengukukan membaca, menulis, mengira (3M). Bukan yang asas, tetapi pengukuhan.
Bagaimana murid yang baru mengenal huruf berbanding murid yang sudah lancar membaca apabila melangkah ke darjah 1?
Sudah tentu mana-mana ibubapa tidak mahu anaknya tercungap-cungap di darjah 1, sedangkan murid lain majoritinya sudah lancar.
Siapalah kita untuk mengubah dasar negara, apatah lagi sistem pendidikan negara. Maka sebagai ibu, kita hanya boleh mengajar anak kita untuk redah saja sistem ini. Tidak kiralah aliran kerajaan atau swasta, sama saja.
Maka….persoalan seterusnya….adakah mengajar anak membaca pada usia muda, mengganggu psikologi kanak-kanak? Saya ada baca artikel yg viral baru-baru ini tentang isu psikologi ini.
Sehingga dikatakan murid yg membaca lebih awal ni, tidak meneroka…
Ini terpulang kepada kaedah yang anda guna untuk mengajar anak. Jika anda ajar sambil merotan, mencubit, suara meninggi saja….memanglah kaedah ini menekan psikologi kanak-kanak.
Tetapi jika anda guna kaedah bermain sambil belajar, maka tiada masalah. Tetapi, adakah semua ibubapa tahu kaedah bermain sambil belajar? Adakah ibubapa tahu menahan sabar untuk mengajar anak membaca sambil dia terjoget sana sini?
Maka, jika anda seorang yang baran, jangan cuba-cuba untuk ajar anak membaca. Buruk padahnya.
Secara umumnya, perkembangan bahasa pertuturan kanak-kanak berkembang pesat pada usia 0-4 tahun. Perkembangan ini merangkumi daya kognitif berikut:
– tumpuan, ingatan, kefahaman, kod bunyi bahasa, makna, penghasilan, memori, ingatan pendengaran, padanan dan sebagainya.
Ini juga adalah asas untuk kanak-kanak belajar membaca. Sama saja kemahiran kognitifnya, cuma ditambah sedikit lagi iaitu:
– persepsi visual dan eye tracking.
Dengan itu kanak-kanak boleh mengkod huruf yang dilihatnya.
Ramai ibubapa moden yang mengajar anak mengenal huruf sejak bayi. Bayi tu baru pandai duduk, si ibu tunjuk flash cards huruf-huruf.
Saya tidak kata ianya salah. Anda boleh buat jika itu pilihan anda.
Tapi saya tidak memilih jalan itu. Saya tidak pilih short-cut. Sebab psikologi kanak-kanak perlukan masa untuk berkembang. Jadi saya ikut jalan jauh.
Ibaratnya, saya menyiram benih, membajanya dan saya nak pastikan akarnya benar-benar kukuh mencengkam jauh ke dalam tanah.
Maka pada usia bawah 4 tahun (0- 3tahun 11 bulan), saya tidak memperkenalkan asas 3M kepada anak saya. Jika ada, saya hanya menyanyi atau cakap secara tidak langsung. Tiada buku ABC. Tiada flash cards. Tiada huruf magnet. Tiada puzzle huruf.
Apabila genap hari lahirnya 4 tahun, barulah saya keluarkan segala bahan mengajar ABC, 123. Pada masa itu, psikologinya telah bersedia. Kita ajar, dia serap macam span. Malah pada 1 sesi pengajaran, tak sampai 10 minit pun.
Berbalik pada topik asal, saya juga mula mengajar anak membaca pada usia 4 tahun. Saya tidaklah begitu berani untuk mula ajar pada usia 7 tahun. Ya…saya takut. Kerana saya sedar bahawa saya di Malaysia. Saya sedar sistem pendidikan di Malaysia.
Saya tak sanggup memikirkan jika anak tiada asas membaca pada usia 7 tahun….
Saya faham bahawa guru tadika dan pengusaha tadika cuba melakukan yang terbaik demi murid-murid. Saya harap guru-guru tadika juga lebih fleksibel dengan kaedah pengajaran yang digunakan. Janganlah sehingga menekan psikologi kanak-kanak.
Kenapa saya pilih 4 tahun? Bukan 3 tahun? Bukan 5 tahun?
Sebab pada usia 4 tahun, kemahiran urus diri telah kukuh. Boleh ke tandas, mandi sendiri, pakai baju sendiri, makan sendiri. Maka dia lebih bersedia untuk aktiviti motor halus (pegang pensel untuk menulis).
Pada usia 4 tahun, anak sudah boleh duduk di meja kerusi dengan lebih bersedia untuk belajar.
Namun, tidak semestinya pada usia 5 tahun, anak sudah lancar membaca. Kita bukannya lumba lari, siapa sampai dulu dia menang. Kita ajar secara santai, kaedah bermain dan konsisten.
Yang penting pada usia 7 tahun, masuk darjah 1, anak bersedia untuk baca buku teks sekolah tu. Buku-buku Sasbadi yang diberikan pihak sekolah tu.
Siapa saya untuk bercakap pasal ni?
Saya Pn Ruby, ahli terapis pertuturan bahasa. Sebagai seorang yang ada latar belakang linguistik, psikologi, perkembangan bahasa dan neuropsycholinguistik, saya rasa saya juga boleh bersuara dalam isu ini.
Sumber: rubyatika.wordpress.com