
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa sesi persekolahan 2026 akan bermula pada 11 Januari 2026 bagi negeri dalam Kumpulan A, dan 12 Januari 2026 bagi negeri dalam Kumpulan B.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, permulaan sesi persekolahan 2026 ini menandakan kejayaan besar usaha KPM dalam mengembalikan semula kalendar persekolahan kepada bulan Januari seperti sebelum pandemik COVID-19. Perubahan ini dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran operasi semua sekolah di seluruh negara.

Perancangan Rapi KPM Dalam Sesi Persekolahan 2026
Fadhlina menjelaskan bahawa langkah mengembalikan sesi persekolahan ke bulan Januari dilakukan secara tertib dan tidak menjejaskan pengoperasian harian sekolah.
Menurut beliau, kejayaan ini adalah hasil perancangan teliti dan komitmen tinggi daripada seluruh warga pendidikan termasuk guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.
“Kejayaan mengembalikan semula sesi persekolahan kepada bulan Januari dilakukan secara berperingkat dan tertib serta tanpa mengganggu pengoperasian institusi pendidikan.
Ia adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pendidikan di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Komitmen KPM Terhadap Kesejahteraan Warga Sekolah
Tambah beliau lagi, usaha ini menunjukkan tekad KPM untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah. Dengan penetapan semula sesi persekolahan 2026, KPM yakin dapat memastikan perancangan akademik dan pentadbiran berjalan lebih teratur.
Muat Turun Kalendar Akademik Tahun 2026
Kalendar Akademik Tahun 2026 kini boleh dimuat turun melalui portal rasmi KPM di pautan berikut:
https://www.moe.gov.my/surat-siaran-kpm-bil-3-tahun2025-kalendar-akademi.
Dengan langkah ini, KPM sekali lagi menegaskan komitmen untuk menyeimbangkan antara keperluan akademik dan kesejahteraan pelajar dalam pelaksanaan sesi persekolahan 2026.











