
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang murid lelaki tahun lima yang mengalami kecederaan akibat dipukul guru lelaki dalam satu kejadian di sebuah sekolah rendah di sini, bulan lalu.
Ia susulan seorang ibu yang tampil mendakwa anak lelakinya yang berusia 11 tahun cedera akibat ditampar dan ditumbuk oleh seorang guru lelaki sehingga mengalami gegaran koklea.

Syahmina Mohd Azim menyatakan, tindakan seorang cikgu memukul Amirul Akil sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman telinga, telah memadamkan harapan anaknya untuk terpilih menjadi wakil ke SUKMA dan Sukan SEA dalam acara akuatik renang.
Kekecewaan itu turut dirasai jurulatih renang yang meletakkan harapan tinggi pada Amirul Akil untuk mengharumkan nama Malaysia.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat ibu tersebut, anaknya yang hampir terjatuh tidak sengaja tersentuh belakang badan cikgu berkenaan yang sedang mengambil barang.

Akibat salah faham, Amirul Akil telah ditampar sebanyak dua kali sehingga mengalami kesakitan dan lebam di bahagian telinga, selain ditumbuk di bahagian belakang kepala.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, laporan kejadian itu telah diterima daripada seorang ibu mangsa yang berusia 40 tahun pada 10 Disember 2024.
“Pengadu mendakwa anaknya telah mendapat kecederaan akibat dipukul oleh guru lelaki berusia 30 tahun namun dia menarik semula laporan pada 11 Disember 2024 kerana enggan memanjangkan kes tersebut.

“Baru-baru ini pengadu sekali tampil membuat satu laporan memohon polis meneruskan siasatan dan mahu tindakan lanjut diambil ke atas guru tersebut,” katanya.
Menurut beliau, siasat telah dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan selanjutnya.
Sumber: Sinar Harian & Syahmina Mohd Azim
Asah Kreativiti Permainan STEM, Latih Awal Dari Rumah!

Dalam dunia yang semakin digital hari ini, kanak-kanak tidak hanya perlu pandai membaca dan mengira mereka juga perlu bijak berfikir secara logik, kreatif dan menyelesaikan masalah.
Sebab itu, permainan berasaskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) kini menjadi pilihan utama ramai ibu bapa yang mahu anak belajar sambil bermain.
Permainan STEM bukan sekadar mainan biasa. Ia direka khas untuk merangsang pemikiran kritikal, kreativiti dan daya ingin tahu anak, sesuai untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun.

Belajar Tanpa Tekanan, Bermain Dengan Tujuan
Anak-anak dalam lingkungan umur ini penuh dengan rasa ingin tahu. Mereka suka mencuba, bereksperimen dan melihat apa yang berlaku bila sesuatu dilakukan. Melalui permainan STEM, mereka belajar dengan cara semula jadi iaitu berfikir sambil bermain.
Contohnya, set binaan blok magnetik bukan hanya menyeronokkan, tapi membantu mereka memahami konsep imbangan dan struktur. Bila anak membina jambatan atau menara menggunakan blok, mereka sedang meneroka asas kejuruteraan tanpa mereka sedar!
Dunia Eksperimen Mini di Rumah
Satu lagi contoh yang semakin popular ialah kit eksperimen sains mini. Dari membuat gunung berapi meletus menggunakan soda bikarbonat, hingga membina “litar elektrik mudah” dengan bateri dan mentol kecil semuanya mengajar prinsip sains dengan cara yang menyeronokkan.
Ibu bapa tidak perlu risau kebanyakan kit STEM moden direka selamat dan mudah dikendalikan di rumah. Malah, aktiviti ini boleh dijadikan sesi bonding keluarga yang menarik. Anak seronok bereksperimen, ibu bapa pula gembira melihat mereka belajar sesuatu yang baru.
Teknologi & Robotik Untuk Generasi Baharu
Bagi kanak-kanak 9 tahun ke atas, permainan seperti robotik kit atau coding kit semakin mendapat perhatian. Dengan panduan visual dan aplikasi mudah alih, anak-anak boleh membina robot kecil, menggerakkannya, malah memprogramkan arahan ringkas sendiri!
Ia bukan sahaja melatih logik dan kesabaran, tapi juga memperkenalkan mereka kepada dunia teknologi masa depan. Siapa tahu, mungkin dari permainan inilah lahirnya jurutera, pereka aplikasi atau saintis masa depan negara?

Permainan Bijak, Minda Cemerlang
Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang didedahkan kepada aktiviti berasaskan STEM dari usia muda lebih yakin dan lebih cepat beradaptasi dengan teknologi apabila meningkat remaja. Permainan jenis ini juga membantu meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dan kerja berpasukan, dua kemahiran penting untuk dunia moden.
Apa yang penting, jangan jadikan belajar sesuatu yang membosankan. Biarkan anak meneroka, gagal, cuba lagi dan berjaya dengan cara mereka sendiri. Dari situ, mereka belajar nilai ketekunan dan kepuasan mencipta sesuatu.
Cadangan Permainan STEM Sesuai Untuk Anak Anda
Berikut beberapa idea permainan STEM yang boleh dijadikan pilihan untuk anak usia 7–12 tahun:
* Blok binaan magnetik – bantu kembangkan kreativiti dan kefahaman struktur.
* Kit eksperimen sains mini – galakkan rasa ingin tahu dan pemerhatian.
* Set robotik dan coding asas – perkenalkan anak kepada dunia teknologi.
* Permainan reka bentuk 3D – ajar konsep seni + kejuruteraan.
* Puzzle geografi atau sains alam – seronok sambil belajar tentang dunia.
Dalam dunia yang penuh dengan skrin dan gajet, permainan STEM ialah cara terbaik untuk mengimbangkan hiburan dan pembelajaran. Ia bukan sekadar melatih otak, tetapi juga membuka peluang kepada anak untuk melihat dunia dengan cara yang lebih kreatif dan saintifik.
SK Pandamaran Jaya Juara Program CSR “From Children to Children, Inspirasi Untuk Semua!

Sekolah Kebangsaan Pandamaran Jaya membuktikan keunggulannya apabila dinobatkan sebagai juara Program CSR From Children to Children 2025, Sustainable Action Conference anjuran Control Union Malaysia dengan kerjasama MDBC Innovation & Sustainability Awards.
Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan, tetapi bukti nyata bahawa pendidikan kelestarian mampu membentuk generasi muda yang peka terhadap alam sekitar dan berdaya saing tinggi.

Kemenangan Berganda yang Membanggakan
Dalam program berprestij ini, SK Pandamaran Jaya telah diumumkan sebagai juara Program CSR From Children to Children 2025 dan akan melaksanakan program CSR tersebut di sekolah-sekolah terpilih iaitu SK (A) Bukit Kemandol, SK Kampung Busut Asli, SK (A) Bukit Cheding, SK Seri Cheding dan SK (A) Tun Abdul Razak.
Lebih membanggakan lagi, projek Tenaga Solar SK Pandamaran Jaya turut diiktiraf sebagai finalis dan menerima hadiah bernilai RM10,000.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Nor Yahati binti Awang, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam Sekitar), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES).
Semangat Warga Sekolah yang Tidak Pernah Luntur
Guru Besar SK Pandamaran Jaya, Encik Mohd Zuraidi Komari, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan tidak terhingga kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan inisiatif ini terutama kepada,
- Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, PPD Klang, PGBM Klang, barisan pentadbir, PIBG, komuniti setempat serta rakan strategik yang sentiasa memberikan sokongan moral dan material.
- Semua guru dan murid yang tidak kenal penat lelah dalam menjayakan projek komuniti ini.
- Warga sekolah serta rakan-rakan di seluruh negara yang telah mengundi dan mendoakan kejayaan mereka.
Generasi Hijau Pembawa Harapan
Kemenangan Program CSR From Children to Children 2025 ini menjadi simbol semangat #JalanTerus warga SKPJ membuktikan bahawa anak-anak kecil juga mampu membawa perubahan besar untuk bumi yang lebih hijau dan lestari.
Dengan usaha bersama dan iltizam tinggi, SK Pandamaran Jaya bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, tetapi turut menjadi inspirasi kepada semua institusi pendidikan untuk terus mendidik generasi prihatin dan berjiwa lestari.
Bang Aji, Influencer Cilik Buat Ramai Cair!

Benarlah aura si comel Muhammad Aniq Redzuan atau Bang Aji ini bukan biasa-biasa. Setiap kali melihat wajah dan keletah comelnya di media sosial hati tercuit rasa sayang. Apa lagi kala bertemu dengannya secara berdepan.
Pelawaan Bintang Kecil & Pa&Ma sebagai Cover Digital 2025 disambut baik oleh keluarga khusus bagi meninggalkan memori dizaman kecil buat anak mereka.

Bapanya, Mohd Redzuan Zainol berkongsi kisah istimewa anak kecil ini sehingga disayangi malah disenangi ramai orang.
Muhammad Aniq yang dilahirkan pada 10 Ogos 2021 ini benar-benar mampu membuatkan ramai cair. Malah Bang Aji yang kini menginjak usia empat tahun rupanya seorang anak yang cukup disenangi oleh keluarga.
Kisah Bayi Comel Seberat 2.6kg
Berkongsi kisah Bang Aji di waktu kecil, ujar bapanya, Bang Aji satu-satunya anaknya yang paling kecil dengan berat 2.6kg sahaja ketika dilahirkan.
Malah kongsi bapanya lagi, Bang Aji yang dilahirkan waktu PKP ketika itu meninggalkan banyak memori buatnya dan isteri.
“Berbanding abang dan dua kakaknya, berat Bang Aji boleh saya katakan paling kecil dengan 2.6kg sahaja ketika dilahirkan.
“Sama macam bayi lain, Bang Aji membesar macam biasa cuma dia memang suka minum susu.
“Saya masih ingat lagi waktu Bang Aji lahir, waktu tu zaman PKP jadi nak tak nak semua benda kena buat sendiri termasukkan mencukur rambutnya waktu bayi.
“Disebabkan bidan tak boleh datang ke rumah, saya buat sendiri, saya pegang kepala dan cukur rambut Bang Aji sendiri,” kongsi bapanya lagi.

Pemilik Karakter Kelakar
Disebalik perwatakan Bang Aji yang begitu bersahaja, rupanya anak kecil kesayangan ramai ini memiliki karakter yang cukup kelakar bila berada di rumah.
Bahkan kata bapanya, Bang Aji juga sering membuatkan mereka sekeluarga terhibur dengan gelagat comelnya. Ada sahaja yang dilakukan yang tidak terjangkau dek akal.
“Setiap benda yang dia buat di rumah, dari kecil lagi memang kelakar.
“Boleh saya katakan setiap pergerakan Bang Aji memang kelakar malah dia paling ramah berbanding abangnya,”ujarnya lagi.

Bang Aji Pandai Bergaya
Sentuhan kreatif berpengalaman dan penuh magis dari jurugambar @newbornbytakara membuahkan hasil cukup magis bila mana setiap aksi dan keletah comel Bang Aji dipotretkan sebaiknya oleh jurukamera berpengalaman ini dengan cukup sempurna.
Paling membanggakan, Bang Aji yang sudah terbiasa dengan kamera ini mampu bekerjasama dan memberikan pose yang cukup menarik untuk dipotretkan.
Bang Aji muncul dengan gaya yang cukup matang dan bersahaja. Cukup dengan hanya tersenyum manis dan memberikan sedikit gaya, aura Bang Aji sudah berjaya dirakam dengan cukup sempurna. Memang hebat!
Kata bapanya lagi, jika diminta untuk muncul dikamera, Bang Aji tidak lokek malah boleh memberi kerjasama dengan baik ketika merakam aksinya menerusi video-video mereka di media sosial.

Mula Dikenali Ramai
Tambah bapanya lagi, dia dan keluarga yang pada mulanya agak terkejut dengan penerimaan wargamaya terhadap anaknya namun kini sudah mula terbiasa.
Malah dia sendiri tidak menyangka penangan video pertamanya bersama anak keempatnya itu mendapat perhatian ramai.
“Video yang viral tu sebenarnya saja saya rekod dan tak sangka view video nyanyian mendapat perhatian ramai.
“Bila view tinggi, saya post lagi video Bang Aji dan semuanya tinggi. Bermula dari saat itu saya mula merakam dan post video Bang Aji di media social.
“Jujurkan saya sendiri jarang bermain media social dan pada mulanya kami sekeluarga agak terkejut dengan sambutan ramai pada Bang Aji tapi kami mula membiasakan diri.
“Saya tak nafikan Bang Aji ada aura dan daya tarikan untuk orang lain nak tengok dan suka Bang Aji. Dulu zaman tak ada Tik Tok tapi lain sekarang dengan kuasa Tik Tok yang begitu besar.
“Sekarang ini jujurnya kalau nak keluar berjalan terutama ke mall, saya biasanya pakaikan dia dengan topi tapi biasanya orang tetap kenal dia.
“Saya dan isteri tak ada masalah pun cuma kadang kala Bang Aji sendiri kurang selesa apatah lagi kalau disentuh orang ramai,” katanya lagi.
Akui bapanya lagi, tempias populari Bang Aji turut dirasai ahli keluarga lain.
“Kadang-kadang ada kawan-kawan anak lain yang suka datang hendak tengok Bang Aji dirumah. Begitu juga dengan kawan-kawan neneknya yang sentiasa menjadi peminat setia Bang Aji,” konsinya lagi.

Pastikan Bang Aji Jalani Hidup Normal
Bagi memastikan anak bongsunya ini tidak terlepas momen berharga di waktu kecilnya, sebagai bapa dia sentiasa memastikan Bang Aji ada ruang untuk dirinya sendiri terutama ketika bermain.
“Biasanya kalau saya nak ke mana-mana, saya akan bawa team saya sendiri untuk pastikan Bang Aji terjaga.
“Contohnya kalau dia nak main di event, saya bawa ramai supaya masing-masing boleh kawal Bang Aji dan tidak menghalang apa yang Bang Aji suka.
“Boleh saya katakan bila berada dalam situasi macam ini tidaklah menjadi satu halangan buat kami, cuma Bang Aji sendiri kalau nak kemana-mana mesti dengan saya. Apa-apa dia cari ayah dulu,” ujarnya lagi.
Si comel Muhammad Aniq ini rupanya bakal memasuki alam persekolahan bermula awal tahun hadapan. Semoga Bang Aji terus sihat dan memasuki alam persekolahan dengan baik dan cemerlang.
Doa Buat Bang Aji
Menutup kisah penuh inspirasi ini, Bang Aji kini bersedia memasuki alam persekolahan awal tahun hadapan. Semoga si comel penuh aura ini terus sihat, membesar dengan bahagia dan berjaya dalam apa jua yang dilakukan.
Memang benar, aura Bang Aji tak boleh lawan – pesonanya buat semua yang melihat terus cair!





