Seorang guru tadika berdepan detik cemas apabila anak perempuannya yang tidur di dalam kereta turut dilarikan pencuri dalam kejadian di Setia Alam di sini semalam.
Kanak-kanak perempuan bersama kereta jenis Toyota Vios bagaimanapun telah dijumpai semula kira-kira 50 minit kemudian di kawasan perumahan pangsapuri.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6. 55 pagi ketika guru tadika berkenaan menghantar anak keduanya di sebuah pusat asuhan kanak-kanak.
Ads
Katanya, anak sulungnya yang sedang tidur ditinggalkan dalam keretanya dengan enjin masih hidup dan pintu tidak berkunci.
“Setelah selesai menghantar anak, mangsa telah menyedari keretanya telah tiada dipercayai dicuri bersama seorang lagi anaknya yang masih di dalam kenderaan tersebut.
“Usaha mengesan kereta itu giat dilakukan sebelum ditemui dengan bantuan orang awam kira-kira pukul 7.45 pagi.
Ads
Kredit Foto: Sinar Harian
“Anak mangsa telah dijumpai semula bersama kereta yang dicuri berdekatan kawasan perumahan jenis pangsapuri yang jaraknya dua km dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki dipercayai ingin mencuri kenderaan tersebut tanpa menyedari terdapat kanak-kanak perempuan di dalam kereta itu.
Ads
Ujarnya, suspek yang terkejut mendengar kanak-kanak itu menangis terus memberhentikan kereta tersebut sebelum melarikan diri.
“Suspek juga bertindak mengambil beg tangan milik mangsa yang mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM2,000. Pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Korang pernah dengar tak pasal UPSR? Haa, ujian yang biasanya diambil oleh murid Tahun 6 tu. Sekarang ni, ada cadangan supaya UPSR diadakan semula. Korang setuju ke tak? Atau terus rasa cuak bila dengar perkataan “peperiksaan”?
Sebenarnya, ujian macam UPSR ni ada juga kebaikannya untuk korang.
Baru-baru ni, Penasihat DAP, Lim Guan Eng mencadangkan supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dihidupkan semula. Katanya, UPSR boleh jadi cara untuk tengok sejauh mana murid belajar dan faham pelajaran selepas enam tahun di sekolah rendah.
Macam cermin la. Bila tengok cermin, kita boleh tahu rambut kemas ke tak. UPSR pun sama, boleh bantu cikgu, mak ayah dan juga murid sendiri tahu tahap pembelajaran masing-masing.
Menurut Lim Guan Eng, peperiksaan ni sebenarnya penting dalam sistem pendidikan. Ia jadi satu ukuran untuk tengok prestasi dan usaha pelajar sepanjang tahun belajar. Bukan nak menakutkan, tapi nak bantu kenal pasti apa yang murid dah kuasai dan apa yang masih perlu diperbaiki.
Beliau juga kata, Malaysia perlu kuatkan pendidikan dalam bidang STEM, iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Kalau asas di sekolah rendah kuat, barulah senang nak belajar benda lebih susah bila besar nanti.
Memang normal rasa gementar bila dengar peperiksaan. Tapi UPSR bukan bermaksud korang kena jadi sempurna. Ia cuma satu cabaran kecil untuk uji usaha dan kesungguhan korang selama ni.
Kalau rajin dengar cikgu, buat kerja sekolah, dan belajar sikit-sikit setiap hari, insya-Allah boleh je hadapi UPSR dengan tenang.
Akhir kata, UPSR bukan musuh tapi ia cuma satu ujian untuk bantu korang jadi lebih bersedia dan yakin dengan diri sendiri. Yang penting, belajar dengan gembira dan jangan putus asa. Korang boleh buat!
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Selepas peperiksaan pentaksiran hujung tahun, lawatan sekolah adalah aktiviti paling dinantikan oleh murid sekolah rendah. Inilah masanya mereka dapat bersama kawan-kawan, menaiki bas, dan melawat tempat menarik di Malaysia sambil belajar perkara baharu.
Tetapi persoalannya, ke mana tempat paling sesuai untuk bawa anak-anak ini? Bukan sekadar berseronok, yang paling penting ialah menambah ilmu dan pengalaman. Berikut ialah 8 tempat lawatan menarik di Malaysia untuk murid sekolah rendah yang penuh nilai pendidikan serta menyeronokkan.
Pusat Sains Negara (PSN) merupakan destinasi terbaik untuk murid meneroka dunia sains secara menyeronokkan. Dengan lebih 1,000 pameran interaktif, murid dapat mencuba pelbagai eksperimen berkaitan tenaga, angkasa lepas, fizik dan biologi.
Selain itu, PSN turut menganjurkan bengkel sains mini dan demonstrasi khas yang membantu murid memahami konsep pembelajaran secara visual dan praktikal. Ia menjadikan pembelajaran lebih menarik berbanding hanya membaca buku teks.
Zoo Negara ialah lokasi klasik untuk lawatan sekolah kerana memberikan pendedahan kepada dunia haiwan. Dengan lebih 400 spesies dari seluruh dunia termasuk panda, harimau dan gajah, murid dapat belajar tentang kepelbagaian biologi dan kepentingan menjaga alam sekitar.
Lawatan ke Zoo Negara juga menyokong pembelajaran mata pelajaran Sains dan Pendidikan Moral sambil menanam rasa cinta terhadap hidupan liar di Malaysia.
Taman Botani Putrajaya sangat sesuai untuk aktiviti luar bilik darjah berasaskan alam semula jadi. Murid boleh mengenal pelbagai tumbuhan tropika, herba dan pokok hiasan sambil beriadah di kawasan hijau yang luas dan bersih.
Guru boleh merancang aktiviti seperti ‘leaf hunt’, lukisan tumbuhan atau kuiz alam sekitar supaya sesi pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan.
Balai Bomba dan Penyelamat memberikan pengalaman unik kepada murid kerana mereka dapat melihat sendiri peranan dan tanggungjawab anggota bomba.
Biasanya, pihak bomba akan mengadakan demonstrasi memadam api, menyelamat mangsa dan tunjuk cara menggunakan alat pemadam api. Murid juga berpeluang memakai pakaian bomba serta mencuba peralatan khas. Aktiviti ini meningkatkan kesedaran keselamatan dan disiplin diri.
Kilang Coklat Beryl’s bukan sahaja destinasi yang sedap dilawati tetapi juga penuh ilmu! Murid dapat belajar tentang proses pembuatan coklat – dari biji koko hingga menjadi produk siap.
Lawatan ini memperkenalkan konsep keusahawanan dan industri makanan kepada murid, selain memberi peluang mereka membeli hasil coklat tempatan yang terkenal di seluruh dunia.
Muzium Negara ialah tempat wajib untuk memahami sejarah dan budaya Malaysia. Murid boleh melihat artifak lama, pakaian tradisional, model rumah, dan pameran zaman penjajahan.
Dengan empat galeri utama (Prasejarah, Kerajaan Melayu, Penjajahan dan Malaysia Moden), lawatan ini membantu murid menghargai warisan negara sambil belajar dengan cara visual dan menyeronokkan.
Aquaria KLCC menawarkan pengalaman dunia bawah laut yang menakjubkan di tengah bandar. Murid dapat melihat lebih 5,000 spesies hidupan laut termasuk jerung, pari dan ikan tropika.
Terowong bawah laut sepanjang 90 meter membolehkan murid merasai pengalaman seolah-olah berada di dasar laut sebenar. Lawatan ini membuka minda tentang ekosistem marin dan kepentingan menjaga kebersihan lautan.
Farm in the City ialah ladang interaktif yang sangat sesuai untuk kanak-kanak sekolah rendah. Murid boleh memberi makan haiwan seperti arnab, kambing, kura-kura dan burung jinak.
Mereka juga belajar tentang pertanian bandar, kitar semula dan penjagaan haiwan. Suasana ladang yang bersih dan mesra kanak-kanak menjadikan lawatan ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Kesemua tempat lawatan menarik di Malaysia untuk murid sekolah rendah ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga sarat dengan ilmu dan pengalaman berharga. Ibu bapa serta guru boleh menjadikan senarai ini panduan untuk merancang lawatan yang mendidik dan menggembirakan anak-anak.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Banyak sangat tempat yang boleh diterokai di Malaysia ini, berikut adalah tempat paling menarik di Malaysia yang terbaik untuk dilawati bersama anak-anak.
HUSSIN FAUZI FARM
Taman mini yang berkonsepkan sebuah zoo ini sangat ideal untuk percutian bersama keluarga terutamanya apabila anda membawa anak-anak. Di taman ini pengunjung boleh bermain dan berinteraksi dengan pelbagai jenis haiwan seperti arnab, rusa, kambing dan macam-macam lagi. Pengunjung juga berpeluang untuk melakukan aktiviti seperti menunggang kuda, memanah, memberi makan haiwan dan sebagainya.
MUZIUM COKLAT
Siapa je yang tak suka coklat kan terutamanya kanak-kanak dan wanita. Untuk mengetahui lebih banyak perihal coklat, anda disarankan untuk berkunjung ke Muzium Coklat ini. Muzium coklat ini merupakan muzium pertama di Asia Tenggara yang berkonsepkan sebegini. Walaupun namanya muzium, namun di sini juga terdapat beberapa aktiviti lain yang anda boleh lakukan selain melihat pameran interaktif berkaitan coklat. Ada lebih daripada 100 jenama coklat yang terkenal di jual di muzium ini.
PAYA INDAH WETLANDS
Paya Indah Wetlands ini terdapat ratusan spesies burung dan mamalia untuk tatapan pengunjung. Selain melihat binatang, pengunjung juga boleh bermain basikal, berkayak dan meredah hutan. Jika anda meminati fotografi, anda boleh mengambil gambar landskap berlatar belakangkan alam semula jadi dan haiwan yang ada di sini.
Jangan lepaskan peluang juga untuk memberi makan kepada haiwan seperti buaya, badak air, rusa dan sebagainya pada waktu yang ditetapkan.
AIR RIDER INDOOR SKYDIVING
Bagi yang gemar akan aktiviti lasak dan mencabar, anda boleh berkunjung ke sini bersama anak-anak untuk memberi pengalaman kepada mereka bagaimana rasanya terbang di udara. Ianya pasti merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh anak-anak.
Untuk ke sini, anda perlu membuat tempahan seminggu sebelum dan beli pakej yang diinginkan secara dalam talian. Walaupun harga pakej-pakej yang ditawarkan agak mahal, namun untuk pengalaman sekali seumur hidup, ia pasti sangat berbaloi !
KILANG ROTI GARDENIA
Kilang roti nombor 1 ini boleh dijadikan sebagai lokasi percutian sambil belajar buat seisi keluarga. Di kilang ini pengunjung boleh belajar sejarah pembuatan roti, melihat cara-cara melihat roti dibuat dan mengetahui serba serbi mengenai dunia roti. Pengalaman ini pasti merupakan pengalaman yang menarik lebih-lebih lagi bagi penggemar roti.
Menariknya, setiap pengunjung yang datang akan diberikan cenderahati dan roti yang dihasilkan di sini dan yang paling penting masuk adalah percuma.
HUTAN REKREASI SUNGAI TEKATA
Jika anda ingin berinteraksi dengan alam sambil bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga, Hutan Rekreasi Sungai Tekala ini adalah pilihan yang ideal. Lokasi hutan ini sangat mudah diakses dan pengunjung tidak perlu mendaki untuk ke kawasan tempat perkelahan atau sungai. Ini menjadikannya sesuai untuk percutian bersama keluarga. Jangan lupa untuk membawa makanan sendiri supaya boleh dinikmati setelah puas bermandi-manda.
PANTAI MORIB
Pantai Morib ini merupakan salah satu pantai yang terkenal di Selangor. Di pantai ini juga terdapat tempat penginapan untuk dijadikan destinasi bermalam. Contohnya seperti Villea Morib, OYO 89895 Senses Budget Hotel dan Gold Coast Morib International Resort.
Kemudahan yang ada di sekitar pantai ini juga sangat lengkap. Ada tandas awam, taman permainan kanak-kanak, gerai makan, dan pelbagai lagi. Siap ada menara tinjau lagi untuk membolehkan pengunjung menikmati keindahan air laut Selat Melaka yang terbentang luas.
Walaubagaimanapun, pantai ini bukanlah lokasi yang tepat untuk bermandi-manda. Sekiranya anda ingin membawa anak-anak bermandi-mandi dan berseronok, anda boleh menginap di Gold Coast Morib International Resort. Di resort ini terdapat taman tema air yang sangat menarik untuk percutian bersama keluarga. Pantai Morib ini juga adalah salah tempat menarik di Selangor untuk family day, team building ataupun trip percutian bersama syarikat.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!