Penyanyi Wany Hasrita tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila anak didiknya, Qal Daienesh, tersingkir pada minggu keempat The Chosen One 2024 yang berlangsung Jumaat lalu. Dalam pandangannya, keputusan itu terasa tidak adil, kerana Wany percaya Qal telah menunjukkan banyak peningkatan sejak awal pertandingan.

“Sebagai coach, sudah tentu saya merasa sedih. Kami sudah merancang pelbagai strategi untuk minggu hadapan, tetapi inilah hakikat pertandingan, ada yang terpaksa pergi. Ini juga adalah pengalaman pertama saya di rancangan televisyen, jadi saya menghormati keputusan tersebut.”

Namun, Wany berpendapat Qal tidak seharusnya tersingkir, kerana dia telah berusaha keras untuk memperbaiki persembahan.

Ads

“Kami telah mencuba mempelbagaikan genre nyanyian, dan saya menghargai pandangan Datuk Awie. Dalam dunia nyanyian, perubahan memerlukan masa. Mungkin Qal belum sepenuhnya mengubah gaya nyanyiannya, tetapi kami telah berusaha sebaik mungkin.”

Walaupun Qal telah tersingkir, Wany tetap memberikan semangat untuknya meneruskan perjalanan dalam dunia muzik.

“Jangan berhenti menyanyi! Awak mempunyai pakej yang lengkap dan suara yang jarang ditemui. Setiap penyanyi memiliki keistimewaan, dan Qal punya keunikan tersendiri.”

Ads

Wany juga menyatakan keterbukaannya untuk berkolaborasi dengan Qal jika ada peluang.

“Jika ada rezeki untuk menghasilkan lagu atau berduet, saya sangat berbesar hati. Keistimewaan Qal sukar dicari di zaman sekarang.”

Ads

The Chosen One 2024 menampilkan Dato’ Awie sebagai juri tetap bersama Jaclyn Victor, penyanyi bertaraf antarabangsa. Rancangan ini juga menyaksikan kehadiran coach-coach ternama seperti Tomok, Aepul Roza, Amir Jahari, Sufian Suhaimi, Suki Low, Adira Suhaimi, Wany Hasrita, serta pasangan kembar berbakat Firdaus dan Fahimi Rahmat.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan The Chosen One 2024 setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Ria (saluran 104)!