Nak anak cerdas, cerdik, dan otak sentiasa sihat? Cuba tengok apa yang Dr. Rizal, Pakar Otak, kongsi ni. Rahsianya mudah je, cukup dengan makan ikan!
Mengikut kajian, protein dari ikan adalah antara yang paling banyak dikaitkan dengan peningkatan fungsi dan rangsangan otak. Ikan laut, terutamanya, kaya dengan Omega-3—nutrien yang sangat disukai otak kita.
Bukan saja ia membantu meningkatkan kecerdasan otak, tapi juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko strok dan penyakit nyanyuk (dementia) bila kita amalkan dalam pemakanan harian.
Omega-3 ni berfungsi dengan meningkatkan aliran darah ke otak, terutama bahagian yang dikenali sebagai Hippocampus—iaitu pusat memori dan pembelajaran. Kesannya? Bila anak-anak kita kerap makan makanan yang kaya dengan Omega-3 sejak kecil, IQ mereka boleh meningkat, fokus lebih tajam, dan daya ingatan mereka pun lebih baik daripada biasa!
Antara ikan yang tinggi kandungan Omega-3 ni termasuklah ikan bilis, ikan kod, ikan sardin, ikan tuna, ikan kembung, ikan tenggiri, ikan siakap, ikan trout, dan ikan belut. Banyak pilihan kan?
Jadi, tak perlu ragu-ragu lagi! Jadikan ikan sebagai sebahagian daripada menu harian anak-anak kita. Bukan je untuk rasa yang sedap, tapi untuk kebaikan otak mereka juga. Boleh amal? Jom kita mula sekarang!
Sumber: FB Dr Rizal
Telur Goreng Tetap Sihat, Ini Rahsia Menggoreng Cara Betul
Selalu kita dengar, makan telur goreng ni tak baik untuk kesihatan sebab guna minyak banyak, kan? Tapi sebenarnya, menurut perkongsian daripada Dr. Zubaidi Hj Ahmad, pandangan ini kurang tepat.
Betul, makan telur goreng tak akan merosakkan kesihatan rakyat Malaysia selagi cara memasak dilakukan dengan betul. Jom kita tengok kenapa telur ni masih makanan terbaik walaupun digoreng!
Sumber Protein Murah dan Berkhasiat
Pertama sekali, telur merupakan salah satu makanan paling murah dan mudah didapati yang kaya dengan protein. Bayangkan, satu biji telur rebus je dah ada 7 gram protein dan hanya 85 kalori! Selain itu, telur juga penuh dengan vitamin penting macam vitamin A, D, E, B1, B3, B6, B9, dan B12, serta mineral seperti kalsium dan folat. Dengan semua kebaikan ni, tak hairanlah telur jadi pilihan ramai.
Minyak Sihat Guna dengan Cara Betul
Kalau goreng telur dengan minyak kelapa atau minyak sawit, ia tak bermakna terus tak sihat.
Malah, dua jenis minyak ni sebenarnya baik jika digunakan dengan cara betul – pastikan jangan guna minyak yang sama lebih daripada 3 kali.
Cara saya sendiri, saya guna satu sudu minyak kelapa atau minyak sawit baru untuk goreng telur.- Dr Zubaidi
Minyak bukan je buat makanan jadi lebih sedap, tapi ia juga membantu badan serap vitamin A, D, E, dan K dengan lebih baik. Malah, ia juga elak pembentukan batu karang dalam hempedu dan bantu kita rasa kenyang lebih lama.
Khasiat Telur Kuning
Ramai takut makan telur kuning sebab risau kolesterol tinggi. Tapi yang kita tak tahu, telur kuning tu kaya dengan omega-3 yang bantu kurangkan inflamasi dalam badan. Omega-3 ni penting sangat untuk jantung dan otak kita! Tambahan pula, kuning telur mengandungi selenium yang bantu tingkatkan daya tahan badan dan kawal hormon tiroid.
Kolesterol Baik dari Telur
Ramai yang ingat semua kolesterol tak baik, tapi sebenarnya ada kolesterol yang baik untuk badan, iaitu HDL (High-density Lipoprotein). Kolesterol jenis ni bantu kawal hormon dan sangat penting untuk otak serta sistem saraf kita. Dengan makan telur, kita boleh tingkatkan HDL dan ini kurangkan risiko penyakit jantung.
Mitos Telur dan Penyakit Jantung
Ada juga yang risau makan telur boleh sebabkan penyakit jantung sebab kolesterol tinggi. Tapi sebenarnya, telur bantu ubah kolesterol LDL (kolesterol jahat) kepada HDL (kolesterol baik). Kolesterol LDL yang jahat ada zarah kecil yang boleh sekat saluran darah, tapi telur bantu tingkatkan zarah besar dalam darah, yang lebih selamat dan takkan sebabkan penyumbatan.
Makan telur goreng tak salah, asalkan cara masaknya betul dan kita guna minyak yang sihat seperti minyak kelapa atau minyak sawit. Jangan takut nak makan telur sebab ia penuh khasiat yang baik untuk kesihatan kita. Yang penting, kawal kuantiti dan cara penyediaan. Dah tiba masanya kita buang salah tanggapan yang telur goreng ni boleh rosakkan kesihatan.
Jom amalkan makan telur dalam diet seharian untuk badan yang lebih sihat dan bertenaga!
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Ini 15 Nilai Islam Patut Diamalkan Dalam Mendidik Anak Sejak Kecil
Mendidik anak, sama ada lelaki atau perempuan, bukanlah tugas yang mudah. Setiap anak memerlukan pendekatan yang tepat berdasarkan prinsip Islam, dan ibu bapa perlu memahami teknik psikologi yang sesuai.
Pendekatan didikan ini amat penting untuk memastikan anak-anak membesar dengan panduan yang betul dan mampu menghadapi kehidupan dewasa dengan lebih baik.
Jom ketahui 15 tips penting tentang cara mendidik anak mengikut landasan Islamik yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian!
Kawal diri sebagai ibu-bapa. Elakkan pukul anak dari lutut keatas. Kalau marah sangat, pukul tapak kaki anak.
2.ELAKKAN GUNA TANGAN ATAU ANGGOTA TUBUH YANG LAIN UNTUK MEMUKUL ANAK
Jangan sesekali menampar anak menggunakan tangan kita. Ia akan menjadi lebih buruk di mana anak akan bertambah nakal dan degil. Rotan atau pukul anak di telapak kakinya. Pukul seadanya sahaja, bukan dengan amarah yang meluap-luap. Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak.
3.AJAR ANAK SOLAT
Dalam mendidik anak mengikut cara Islam, solat adalah kunci utama.
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, danpukullah mereka kerana tidak solat ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka” ( H.R. Ahmad & Abu Daud )
“Dan perintahkanlah ahli keluargamu mendirikan solat dan bersabarlahkamu diatas kesukaran-kesukaran yang kamu hadapi kerananya..” ( Toha : 132 )
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamudari api neraka..” ( At-Tahrim : 66 )Kata pengikut-pengikut Asy-Syafie : Hendaklah para wali ( ibu bapaatau penjaga ) memerintahkan anak-anak menghadiri jamaah solat dan menerangkan kepada mereka hukum-hukum agama yang harus merekakerjakan sebagaimana wajib atas wali memberi pendidikan kepadaanak-anak tentang aurat, arak, dusta, mengumpat dan sebagainya.
4.NAMA PANGGILAN YANG BAIK
Beri dan panggil anak dengan nama yang baik-baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. Lebih malu apabila kawan-kawan mereka mengetahui panggilan itu.
5.PELUK ANAK SETIAP HARI
Dalam mendidik anak cara Islam, kasih sayang dari ibu bapa yang ditunjukkan kepada anak sangat bermakna buatnya. Berikan anak anda pelukan setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.
6.PANDANGAN KASIH SAYANG
Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran.
7.BERIKAN PUJIAN PADA ANAK
Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan. Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.
8.AKUI KESILAPAN ANAK
Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.
9.UTAMAKAN KELUARGA BERBANDING PERKARA LAIN
Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga. Anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali. Jadi, hargailah masa bersama semasa proses anak-anak membesar.
10.ELAKKAN MENGELUH KERANA ANAK. UCAPKANLAH ‘ASTAGHFIRULLLAH’
Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban. Dalam mendidik anak cara islam, kesabaran yang tinggi amat penting. Elakkan mengeluh. Ucapkan Astagfirullah.
11.DENGAR BILA ANAK BERCAKAP
Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap. Dengan kata lain, jadilah pendengar yang baik.
12.TENANGKAN ANAK
Adakalanya, anak kita panik dan tidak tahu nak buat apa. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya. Peluk erat-erat dan tunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
13.TUNJUK ANAK BAGAIMANA CARA MENENANGKAN DIRI
Jangan hanya peluk sahaja. Selitkan kata-kata nasihat dan iktibar yang sewajarnya. Kalau bergaduh sesama adik-beradik, leraikan dengan suara yang lembut. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.
14.BUAT AKTIVITI BERSAMA-SAMA ANAK.
Luangkanlah masa bersama anak anda di luar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri. Buat aktiviti yang berfaedah bersama-sama. Ingat, kualiti masa lebih penting daripada kuantiti. Anak akan ingat saat-saat indah mereka bersama ibu-bapa sampai bila-bila.
15.TERIMA ANAK SEADANYA
Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibu bapa yang sempurna. Kadang-kadang tanpa sengaja, kita akan pukul anak dan menyesal kemudiannya. Tiada ibu-bapa yang sempurna. Tujuan kita disini ialah untuk belajar bersama-sama.
Sumber:www.khalifahdidik.com
Jaga-Jaga! Ini 5 Tabiat Harian Punca Memori Anak Lemah
Mendidik anak menjadi seorang yang pintar dan cerdas adalah impian setiap ibu bapa. Namun, di zaman serba moden ini, ia bukanlah satu tugas yang mudah. Pelbagai cabaran perlu dihadapi, termasuklah pengaruh persekitaran yang semakin mencabar.
Dengan teknologi dan internet yang mudah diakses, kanak-kanak kini lebih cepat terdedah kepada dunia maya berbanding generasi terdahulu.
Ini membuatkan ibu bapa perlu lebih berhati-hati dalam memantau perkembangan anak-anak, terutama dari segi kesihatan mental dan kemampuan kognitif mereka.
Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada kelemahan memori anak-anak, namun ramai ibu bapa tidak menyedari kesannya sehingga terlambat.
Pendedahan berlebihan kepada permainan video, penggunaan media sosial yang tidak terkawal, dan gaya hidup yang kurang aktif boleh mengganggu perkembangan otak anak, sekali gus mempengaruhi prestasi mereka di sekolah dan kehidupan seharian.
Di samping itu, tabiat seperti tidur tidak mencukupi atau tonton TV secara berlebihan turut menjadi faktor yang perlu diberi perhatian.
Bagi ibu bapa yang mahu memahami dengan lebih mendalam mengenai punca memori anak-anak lemah, anda boleh ikuti perkongsian dari Coach Parenting, Mohd Fhais Salim, yang sering membincangkan topik ini di Instagram miliknya.
Dalam perkongsian beliau, banyak tip berguna yang boleh dijadikan panduan untuk membantu anak-anak meningkatkan daya ingatan mereka dan memastikan mereka berkembang dengan sihat, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Mari kita ikuti nasihat beliau untuk lebih faham bagaimana kita sebagai ibu bapa boleh memainkan peranan penting dalam perkembangan anak-anak.
1. Main Game
Tak salah nak main game, tapi jangan berlebihan. Game boleh jadi punca gangguan, belajar pun tak fokus apabila terlalu asyik bermain game.
2. Tidur
Pastikan tidur tepat pada waktunya. Jika tidur lambat, ia akan mengganggu kualiti tidur. Perkembangan otak paling banyak berlaku ketika tidur.
3. Kurang Aktiviti Luar
Jangan lupa buat aktiviti luar seperti melompat, berlari, dan menikmati alam sekitar. Ini sangat penting untuk perkembangan otak anak. Kalau terlalu terperap di rumah, kecergasan mental tidak akan berkembang dengan baik.
4. Terlalu Asyik dengan Media Sosial
Anak-anak di bawah 18 tahun, terutama yang masih bersekolah, tak sepatutnya terlibat dengan media sosial secara berlebihan. Media sosial boleh jadi punca stres dan ketagihan dopamine, yang tak elok untuk perkembangan mental.
5. Tonton TV Berlebihan
Pantau masa anak-anak tengok TV. Jika dibiarkan berlebihan, ia boleh melemahkan memori mereka.
Dia juga berharap para ibu bapa mengambil serius mengenai lima perkara ini untuk kebaikan anak-anak.
Sumber: fhaissalim