Kes viral yang melibatkan dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun yang termakan racun sepatutnya kita jadikan pengajaran buat semua. Jangan pandang mudah bila menyimpan racun berbahaya ini di rumah.
Menurut perkongsian Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, simpanlah ditempat tersorok dan jauh dari penglihatan umum terutama kanak-kanak. Ini panduan yang dikongsikan beliau.
Inna lillahiwa inna ilaihi rajiun. Sedihnya baca berita tentang kritikal dua beradik di Kulim yang berusia 2 dan 3 tahun tu.
Adik-beradik ni jumpa bungkusan keropok yang digantung pada tiang sebuah pagar, jadi mereka pun ambil dan makan. Tak lama lepas tu, mereka dijumpai dalam keadaan muntah-muntah dan berbuih mulut, lalu segera dikejarkan ke hospital.
Selepas disiasat, rupa-rupanya keropok tu telah dicampur dengan racun tikus dengan niat untuk meracun monyet.
Kenapalah letak umpan berupa makanan ringan untuk haiwan perosak? Kenapa pula diletak di tempat awam macam tu?
Budak-budak manalah faham bahaya. Mereka nampak jajan(keropok), sudah pastilah mereka ambil dan makan.
Nak meracun makhluk perosak, perlulah utamakan keselamatan. Bukan keselamatan diri sahaja, bahkan persekitaran kita.
Persekitaran tu termasuk manusia, haiwan dan tumbuhan selain makhluk perosak yang menjadi sasaran.
Ini antara garis panduan penting yang perlu diikuti untuk menghindari kemalangan yang tidak diingini:
■ Penyimpanan yang Selamat:
Racun harus disimpan dalam bekas berkunci dan diluar capaian kanak-kanak. Label pada bekas ini harus jelas dan mudah dibaca.
■ Penggunaan yang Bertanggungjawab:
Gunakan racun mengikut arahan pada label. Jangan ubah suai atau gunakannya dengan cara yang tidak disarankan oleh pengeluar.
■ Kawasan Terhad:
Jangan letak racun di kawasan umum atau tempat yang mudah diakses oleh orang ramai, terutama kanak-kanak.
■ Pemantauan dan Pembersihan:
Selepas gunakan racun, kawasan tersebut harus dipantau dengan rapi. Pembersihan segera harus dilakukan selepas penggunaan.
■ Pemberitahuan dan Notis:
Individu yang tinggal di kawasan berhampiran harus diberi notis tentang penggunaan racun sebagai langkah berjaga-jaga.
Gunakan racun dengan beretika. Utamakan keselamatan. Semoga kita dapat hindari tragedi seperti ini di masa akan datang.
Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kesihatan & Keselamatan
Hari-Hari Minta Telur, Memang Bagus!
Anak mana yang tak suka makan telur. Tanpa ayam goreng, nasi berlaukkan telur pun anak melompat suka. Boleh bertambah makan nasi.
Telur bukan saja jadi kegemaran anak-anak tetapi pelbagai peringkat usia. Tapi ada juga ibu bapa yang risau jika anak terlalu bergantung dengan telur semata-mata.
Sebenarnya jika diikutkan protein yang tinggi dalam telur sangat bermanfaat untuk membantu perkembangan anak.
Menurut perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad, telur sebagai sarapan pagi sangat-sangat digalakkan untuk kanak-kanak.
Telur adalah sumber makanan yang kaya dengan protein penting dan berkualiti. Ia membekalkan asid amino yang tidak dapat dihasilkan dalam tubuh.
Selain itu, ia membekalkan beberapa vitamin dan mineral, terutama vitamin A (bagus untuk mata anak-anak kita), vitamin D (bagus untuk tumbesaran dan menguatkan tulang anak-anak kita), choline (bagus untuk meNingkatkan kecerdikan minda anak-anak kita dan menguatkan otot-otot jantung), dan selenium (bagus untuk kelenjar tiroid berfungsi dengan baik).
Jika anak-anak kita tiada masalah alahan, telur adalah sarapan yang baik. Boleh diberikan bersama roti, nasi, atau mee.
Berikan sehari sebiji, sama ada diberikan dalam bentuk telur rebus, telur goreng atau telur separuh masak.
Jangan berlebihan. Galakkan juga pengambilan lemak sihat seperti minyak zaitun dalam pemakanan mereka.
Khasiat telur untuk anak:
Choline: Untuk perkembangan otak, fungsi dan memori
Folat: Menghasilkan dan mengekalkan sel darah merah
Zat besi: Menghantar oksigen pada sel
Lutein dan Zeaxanthin: Mengekalkan penglihatan yang baik dan menjaga mata dari sinaran UV berbahaya.
Niacin: Sistem saraf berfungsi dengan normal dan bantu melepaskan tenaga.
Lemak Omega-3: Memperbaiki kolesterol darah
Protein: Menguatkan badan
Vitamin A: Melindungi dari kanser
Vitamin B12: Melindungi jantung
Riboflavin: Membantu tisu badan kekal sihat
Vitamin D: Menguatkan tulang dan gigi
Vitamin E: Bertindak sebagai antioksidan
Zink: Menguatkan system imunasi.
TEMPAT-TEMPAT BERHANTU DI MALAYSIA
Untuk mereka yang meminati paranormal atau hal mistik pastinya tahu di Malaysia ada banyak kisah seram yang melibatkan bangunan-bangunan yang sehingga kini masih gah berdiri. Terdapat beberapa rumah dan tempat yang dikatakan berhantu dan memiliki kisah mistik tersendiri.
Malah ada yang berkunjung ke situ untuk aktiviti paranormal pernah dirasuk, diserang histeria, melihat penampakan menyeramkan malah tidak kurang juga yang ‘diikut’ entiti seram itu hingga ke dalam kereta atau rumah sendiri. Ada juga sesetengah kisah dari kawasan atau tempat ini diangkat menjadi filem bergenre seram.
VILLA NABILA
Villa Nabila yang terletak di Johor Bahru adalah sebuah rumah agam dengan rekaan binaan mewah dan unik. Dikatakan pemiliknya meninggal dunia akibat kemalangan dan meninggalkan seorang anak perempuan bernama Nabila. Nabila yang menjadi pewaris tunggal harta dan kekayaan dimiliki ibu ayahnya dikatakan dibunuh pembantu rumahnya dan ditanam di salah satu dinding rumah berkenaan. Jika mahu berkunjung ke sini, eloklah anda berteman kerana ada yang pernah melihat penampakan budak perempuan kecil berpakaian putih di sini. Filem Villa Nabila yang ditayangkan pada 2015 juga mengambil inspirasi daripada kisah villa ini.
RUMAH MONA FENDY
Sebut saja Mona Fandey meremang rasa bulu roma ! Teringat kisah pembunuhan berprofil tinggi seorang ahli politik yang badannya dikerat 18 dan ditanam di sekitar rumah di Raub, Pahang ini. Mona Fandey dihukum gantung bersama suami dan pembantunya pada 2001 selepas didapati bersalah membunuh individu berkenaan. Walaupun sudah dipenuhi belukar, rumah hantu separuh siap yang agak jauh ke dalam hutan ini kekal menjadi sebutan dengan kisah mistiknya kerana dipercayai menjadi tempat Mona menjalankan aktiviti berkaitan ilmu hitam. Rumah berkenaan juga sebelum ini menjadi tempat kegiatan khurafat.
LEBUHRAYA KARAK
Sesiapa sahaja yang memandu di Lebuhraya Karak terutamanya pada waktu malam pasti terimbau kisah kereta Volkswagen kuning tidak berpemandu di sini. Ada yang pernah mengalami dikejar kereta berkenaan dan akhirnya kemalangan. Selain itu ada yang pernah terjumpa wanita cantik menahan kereta di sini. Bila ditumpangkan dia tiba-tiba hilang apabila tiba di destinasi. Filem seram Laluan Karak yang ditayangkan pada 2011 juga berkaitan kisah seram di sini.
KELLIE’S CASTLE
Rumah agam yang terletak di Gopeng, Perak ini menyerupai istana. Ia dibina seorang lelaki dari Scotland sebagai tanda cinta kepada isteri dan keluarganya. Namun dia diserang penyakit dan kembali ke Scotland sebelum rumah ini siap sepenuhnya. Dikatakan satu sudut rumah ini iaitu balkoninya sering dikunjungi roh lelaki berkenaan. Setiap kali ke balkoni tiupan angin akan membuatkan bulu roma anda meremang. Ada juga yang pernah nampak budak perempuan kecil berbaju putih berlari-lari di balkoni itu.
HIGHLAND TOWER
Antara rumah hantu di Malaysia yang paling popular, sebut sahaja Highland Tower terus terbayang kondominium mewah di atas bukit yang boleh dilihat dari lebuhraya MRR2. Tanah runtuh yang menyebabkan sebahagian bangunan ini runtuh turut mengorbankan 48 nyawa yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut. Kisah mistik yang dikaitkan dengan rumah ini terlalu banyak tetapi yang paling seram kisah wanita tua mengendong bayi. Jika anda pernah terjumpa jangan tunggu dia berpaling, pasti anda akan mengalami trauma seumur hidup.
AMBER COURT, GENTING HIGHLANDS
Anda akan menjumpai apartmen ini dalam perjalanan mendaki ke puncak Genting Highlands. Dengan cat yang sudah buruk, ditambah lagi dengan contengan dan graffiti di dinding menambahkan lagi rasa seram apabila berada di sini. Berhadapan dengan Hotel First World, rumah hantu atau kediaman seram ini menjadi pilihan ahli paranormal malah pengunjung Genting Highland. Ada juga yang pernah jumpa wanita tiada kepala, bunyi pintu dihempas selain bunyi salakan anjing yang sangat menyeramkan.
BK Mini Fest 2023 Meriah Dengan Pelbagai Aktiviti & Berjaya Mencungkil Potensi Kanak-Kanak!
Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Tahun ini merupakan kali kedua BK Mini Fest dianjurkan. Kemeriahan dapat disaksikan sepanjang BK Mini Fest 2023 di mana acara ini telah menghimpunkan lebih 2000 orang kanak-kanak!
Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN
Bagi memulakan BK Mini Fest 2023, acara pertama yang diadakan adalah Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN yang melibatkan lima buah sekolah sekitar Shah Alam menghantar wakil untuk perbarisan serta pertandingan Haka. Setiap sekolah melibatkan 50 orang murid yang mewakili badan beruniform pilihan mereka.
Badan beruniform yang terlibat adalah Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dari SK Bandar Anggerik, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) dari SK Bandar Anggerik, Pandu Puteri Tunas dari SK Padang Jawa, Pengakap dari SK Seksyen 19 serta Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dari SK Seksyen 9.
Perbarisan mereka telah diiringi oleh pancaragam SMK Kepong dan kesemua peserta telah memaparkan semangat juang dengan formasi kawad kaki menarik serta gimik tersendiri untuk memikat hati juri. Selesai pertandingan kawad kaki, kesemua pasukan diminta untuk menghantar 10 orang wakil mewakili badan beruniform mereka untuk mempersembahkan Hakka. Ternyata kesemua peserta sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh bagi merebut gelaran juara untuk pertandingan ini.
Tahniah buat badan beruniform BSMM dari SK Seksyen 9 yang telah menjuarai pertandingan perbarisan serta TKRS dari SK Bandar Anggerik yang berjaya merangkul kemenangan bagi kategori Hakka.
Perasmian BK Mini Fest Meriah
Menariknya acara Himpunan Badan Beruniform Mega X PTPTN ini kerana turut diserikan dengan kehadiran Angkasawan Negara, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar yang telah berkongsi tentang tip kejayaan beliau.
Selain itu, kehadiran Dr. Sheikh Muszaphar juga adalah untuk merasmikan BK Mini Fest 2023 bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv Sdn. Bhd, En. Syamil Fahim Mohamed Fahim serta Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, En. Azhar Ahmad.
Dewi Cilik Bintang Kecil Pertama Dinobatkan
Pada sebelah petang 19 Ogos 2023, acara diteruskan dengan pertandingan Dewi Cilik Bintang Kecil 2023. Dari 200 penyertaan yang diterima, akhirnya seramai 10 orang kanak-kanak perempuan berusia 8-12 tahun telah dipilih sebagai finalis Top 10 Dewi Cilik.
Kesemua finalis telah diuji melalui catwalk mereka serta keyakinan mereka. Selain itu, mereka turut melalui cabaran Tiktok di mana mereka perlu menari apabila mendengar lagi viral di aplikasi itu yang dimainkan secara rawak.
Para juri yang bertanggungjawab untuk menobatkan gelaran Dewi Cilik Bintang Kecil 2023 pada hari itu adalah Pn. Norfarhati Abdul Hakim yang merupakan pengasas Mewah Rose dan juga pernah memenangi pertandingan Miss Catwalk 2012 serta Pensyarah Senior dalam jurusan seni fesyen dari UiTM Shah Alam iaitu En. Faizal Hamid.
Selain itu, bekas Dewi Remaja 2019/2020 iaitu Shaza Bae turut menjadi juri untuk pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan buat Nur Farisha Dania yang telah dinobatkan sebagai Dewi Cilik Bintang Kecil yang pertama! Pemenang tempat kedua pula adalah Nur Zara Aamily Binti Nazri manakala Syazwina Bt Mohd Taib meraih tempat ketiga pertandingan ini.
Juga sekalung tahniah diucapkan kepada Putri Diana Ellysa yang dipilih sebagai Dewi Aktif dan Putri Nur Nariesya Eizeanies yang diberikan gelaran Dewi Foto Terbaik.
Pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN
Acara pada hari Ahad pula dimulakan dengan pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN yang mendapat sambutan memberangsangkan. Seramai 200 orang kanak-kanak untuk dua kategori (Kategori A: 5-7 tahun dan Kategori B: 8-12 tahun) telah menyertai pertandingan ini.
Tambah menarik kerana kesemua peserta yang hadir bukan sahaja mempertaruhkan bakat mewarna bahkan mereka juga memperagakan pakaian kemederkaan yang unik. Sepanjang masa anak-anak mewarna ibu bapa pula dapat mendengar perkongsian menarik tentang ilmu simpanan dari Pn. Wan Zawiah Wan Abu Bakar (Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN) serta selebriti popular Yana Samsudin.
20 Finalis BK Fantastic X Karihome Tonjol Bakat
Kanak-kanak milenial mempunyai potensi yang sangat besar.Oleh itu, Bintang Kecil telah menganjurkan BK Fantastic X Karihome yang mendapat sehingga 500 penyertaan kanak-kanak dari serata Malaysia. Akhirnya 20 orang telah terpilih untuk ke peringkat akhir.
Pelbagai jenis bakat yang dipertaruhkan seperti nyanyian, tarian, bermain alat muzik, sukan dan banyak lagi. Dengan persediaan rapi serta keyakinan tinggi, kesemua 20 persembahan para peserta telah memukau hadirin yang ada.
Tiga orang juri telah diberikan kepercayaan untuk memilih pemenang. Selain Miss Jessie yang mewakili Karihome, dua lagi juri lain adalah Dr. Haji Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pakar Motivasi) serta penyanyi, komposer dan pelakon terkenal iaitu Mark Adam turut bertanggungjawab untuk mengadili persembahan setiap peserta.
Tahniah diucapkan buat juara BK Fantastic X Karihome iaitu penari dari Kumpulan Putera Arts Talent Production, pemenang tempat kedua Mika Adam Mikael yang bermain violin serta Nurdania Batrisya menduduki tempat ketiga dengan persembahan nyanyian.
Putaran Mega BK Mini Fest 2023 Tawar Hadiah Menarik
Salah satu daya tarikan untuk BK Mini Fest 2023 adalah acara Putaran Mega BK Mini Fest yang memberi peluang kepada para pengunjung untuk memenangi pelbagai hadiah menarik. Kepada pembeli barangan Karihome atau pembukaan akaun Simpan SSPN bernilai RM20 ke atas, berpeluang untuk membuat putaran roda.
Sekiranya mereka menerima tiket emas untuk ke Putaran Mega BK Mini Fest, mereka berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan seperi komputer riba, baucar percutian, beg berjenama mewah, baucar membeli-belah dan banyak lagi. Tahniah kepada Pn. Nor Hafida kerana berjaya memenangi hadiah utama yang berupa komputer riba tajaan Acer!
Aktiviti Untuk Ibu Di Mini Stage
Bukan sahaja aktiviti di pentas utama, BK Mini Fest turut memberi ruang kepada para ibu untuk ‘me-time’ di pentas mini. Pada hari Sabtu telah diadakan acara Lindungi Anak Anda! bersama tiga orang panel jemputan iaitu Kaunselor Laktasi Pn. Noorfazila Abdul Rahman, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Dr. Maiza Tusimin serta Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga & Organisasi, Dr. Hajah Azuraida Shahadan.
Selain itu pada hari Ahad pula telah diadakan Mama Zumba Sweat It Out! bersama Zin Belle dan 30 orang para ibu yang telah berzumba beramai-ramai di pintu masuk utama Plaza Shah Alam. Selepas berzumba, mereka kemudiannya mendengar perkongsian tentang diet dari Pegawai Dietetik bertauliah, Pn. Laila Fadhilah Omar dari SALAM Shah Alam Specialist Hospital.
Banyak Tarikan Lain
Selain pelbagai acara menarik di pentas utama dan pentas mini, terdapat banyak aktiviti lain yang ada di Plaza Shah Alam selama dua hari BK Mini Fest 2023 berlangsung.
Booth seperti zoo mini dari Farm In The City, lukisan muka, inai, gula-gula kapas serta kolam bola dari Poolkidz, booth KUEH yang turut menaja makanan di setiap aktiviti Mini Stage dan banyak lagi turut mendapat sambutan dari pengunjung yang hadir.
Sememangnya acara dua hari ini telah merapatkan hubungan kekeluargaan serta mencungkil potensi kanak-kanak yang datang. Diharapan penganjuran acara BK Mini Fest 2023 dapat memberi manfaat kepada kesemua yang hadir memberikan sokongan.
JOM SAKSIKAN VIDEO HIGHLIGHT BK MINI FEST 2023