Pernah tak korang tengok pelangi lepas hujan? Cantik betul, kan! Warna dia ada merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu. Tapi pernah tak korang terfikir, kenapa pelangi tak ada warna hitam? Artikel ni akan bongkar rahsia sains di sebalik warna pelangi yang selalu buat kita terpesona.
Selepas Hujan, Datanglah Pelangi
Pelangi muncul bila cahaya matahari bertemu dengan titisan air hujan di udara. Air tu bertindak macam cermin kecil yang memecahkan cahaya matahari kepada banyak warna indah.
Matahari sebenarnya mengandungi semua warna cahaya. Tapi bila ia “terbelah” melalui titisan air hujan, muncullah tujuh warna cantik yang membentuk pelangi. Namun, warna hitam tidak termasuk sebab ia bukan sebahagian daripada cahaya pelangi.
Ads
Kenapa Pelangi Tak Ada Warna Hitam?
Warna hitam sebenarnya bukan cahaya, tapi ketiadaan cahaya. Maksudnya, kalau tiada cahaya langsung, barulah kita nampak hitam. Pelangi pula terjadi kerana cahaya matahari yang terang, jadi warna hitam memang tak boleh muncul sebab pelangi terbentuk daripada cahaya, bukan kegelapan!
Bayangkan kalau pelangi ada warna hitam, mesti nampak pelik macam garis kosong di langit. Sebab tu, pelangi hanya menampilkan warna yang datang daripada cahaya, bukan dari kegelapan.
Ads
Macam Warna Cat Juga!
Kalau kamu campur semua warna cat, hasilnya akan jadi warna gelap atau hitam. Tapi kalau campur semua warna cahaya, hasilnya ialah putih! Ini sebab warna hitam bukan sebahagian daripada cahaya, tapi hasil campuran warna bahan seperti cat atau pensel warna kita.
Ads
Jadi, sebab utama kenapa pelangi tak ada warna hitam ialah kerana pelangi terbentuk daripada cahaya matahari yang terang. Warna hitam pula ialah ketiadaan cahaya, jadi ia takkan pernah wujud dalam pelangi sebenar.
Pelangi ajar kita satu perkara penting — walaupun setiap warna berbeza, bila bergabung, jadilah sesuatu yang indah dan menggembirakan semua orang. Macam kita juga! Tak kira warna kulit, latar belakang, atau perangai, bila kita bekerjasama, dunia jadi lebih ceria dan penuh makna.
Fakta Ajaib Tentang Pelangi
Warna pelangi sentiasa dalam urutan yang sama di seluruh dunia.
Kamu cuma boleh nampak pelangi jika berada pada sudut tertentu berbanding cahaya matahari.
Kadang-kadang ada pelangi berganda, satu terang dan satu lagi samar.
Rahsia Sebenar Kenapa Pelangi Tak Ada Warna Hitam
Kesimpulannya, pelangi tak ada warna hitam sebab ia lahir daripada cahaya, dan warna hitam pula ialah kegelapan tanpa cahaya. Jadi, bila nampak pelangi selepas hujan, senyum dan ingat, semua warna itu tanda keindahan alam ciptaan Tuhan yang menggembirakan hati kita.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Sejak aku jumpa nota muzik tu, aku tak senang duduk. Aiman pun sama. Malam tu, kami berdua duduk dekat taman permainan depan sekolah, cuba ingat balik melodi yang selalu kami dengar.
“Macam ni kan bunyi dia…” kata Aiman, menekan-nekan papan kekunci khayalan atas lututnya. Ting… ting… ting… Bunyi tu kedengaran dalam kepala aku. Serta-merta bulu roma naik.
“Rahim,” kata Aiman perlahan, “kau rasa kalau kita main sampai habis, betul ke dia akan… tenang?” Aku diam. Tapi entah kenapa, aku rasa ya.
Keesokan harinya, waktu rehat, kami bawa telefon bimbit kecil Aiman ke bilik stor. Cikgu semua tengah di bilik guru. Sunyi. Kami buka pintu, masuk perlahan-lahan.
Piano lama tu masih di tempat yang sama. Debunya tebal, tapi papan kekuncinya masih elok. Aku lap sedikit dengan sapu tangan dan tekan satu nada. Ting…
Aiman buka rakaman video. “Okay, kita cuba main lagu tu ikut nota semalam.” Kami ikut satu-satu, perlahan tapi betul-betul ikut corak muzik di kertas kuning itu.
Tiba-tiba, masa kami tekan nota terakhir, piano tu berbunyi kuat sendiri! TINGGGGGG!
Angin kuat masuk dari tingkap walaupun cuaca tenang di luar. Lampu berkelip-kelip. Kami menjerit dan jatuhkan telefon.
Dalam kelam kabut tu, aku nampak bayang budak perempuan berdiri di belakang piano. Rambutnya panjang, seragam sekolahnya lusuh. Tapi dia tersenyum lembut sambil tunduk, macam tengah ucap terima kasih.
Lepas tu, semua senyap. Bila kami pandang semula, piano tu dah tertutup rapat. Tak ada bayang sesiapa.
Esoknya, Cikgu Anis datang dengan senyuman pelik. “Kamu dua orang ada masuk stor semalam, ya?” Kami pandang sesama sendiri. Dia sambung, “Dulu, sebelum bilik tu terbakar, ada seorang pelajar perempuan pandai main piano. Tapi dia tak sempat buat persembahan terakhir sebelum sekolah tutup. Lagu dia… memang tak pernah siap.”
Aku dan Aiman terdiam. Sejak hari tu, setiap kali lalu depan bilik muzik lama, kami rasa tenang, tak seram lagi. Kadang-kadang bila angin bertiup lembut, kami dengar bunyi piano tu sekali lagi. Tapi kali ni, lagu tu akhirnya habis dengan indah.
Sejak kejadian itu, aku dan Aiman selalu tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku. Piano lama itu bukan sekadar alat muzik yang ditinggalkan dalam stor; rasanya seperti ia menyimpan emosi, kenangan, dan cerita yang tak sempat diceritakan sesiapa. Setiap kali aku melintas kawasan sekolah yang sunyi waktu petang, aku selalu terfikir bagaimana sebuah melodi yang tak selesai boleh mengikat roh seseorang begitu lama.
Walaupun kami tak pernah nampak kelibat budak perempuan itu lagi, bayang senyumannya tetap melekat dalam ingatan aku. Ada sesuatu yang damai dalam cara dia tunduk, bukan menakutkan, tapi lebih kepada rasa lega. Seolah-olah beban yang selama ini mengikatnya akhirnya hilang. Kadang-kadang aku terfikir, mungkin kami tak sengaja, tapi memang ditakdirkan untuk jumpa nota muzik itu dan lengkapkan lagunya.
Aiman pula selalu cakap yang dia rasa pengalaman dengan piano lama itu mengubah cara dia tengok dunia. Benda-benda pelik yang berlaku malam tu buat kami sedar bahawa ada perkara yang tak dapat dijelaskan dengan logik semata-mata. Tapi satu hal yang pasti, melodi itu, walaupun misteri, membawa penamat yang tenang, bukan huru-hara.
Sejak hari itu, setiap kali angin lembut bertiup dari arah bilik muzik lama, perasaan damai itu kembali. Dan tanpa perlu kata-kata, aku tahu piano lama itu akhirnya berehat… sama seperti roh yang dulu menunggu lagunya disempurnakan.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Rezeki tak pernah salah alamat. Tular di media sosial seorang kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai adik Arman diperlekehkan oleh netizen gara-gara tidak memakai kasut sukan original daripada salah satu jenama terkenal.
Difahamkan kasut sukan tersebut adalah pemberian hadiah daripada ibu adik Arman yang dikatakan tidak mampu untuk membelikan kasut original buat anaknya. Pun begitu anak kecil ini amat menghargai pemberian ibunya.
Dek keprihatinan itu, stesen radio terkenal, Era FM menghadiahkan kasut sukan baharu buat adik Arman yang telah berjaya menarik perhatian warganet.
Arman dan keluarga terlebih dahulu di bawa ke konti radio dan ditemubual bersama ibunya.
“Saya rasa macam sedih sebab itu hadiah dari mak.
“Saya rasa macam sebak, walaupun copy original tapi ibu beli bukan murah,” kata adik Arman berkongsi ketika di konti radio.
Menerusi temubual itu, akui ibunya, anak kecilnya itu kelihatan murung selepas membaca komen-komen yang tidak sepatutnya ditinggalkan diruangan komen.
“Waktu dia baca tu, dia terus jadi murung dan terus tidur.
“Saya beli online campur postage tak sampai RM80,” katanya berkongsi.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Era.je di laman Instagram, penyampai radio Nabil Ahmad, Azad dan Radin Amir telah membawa adik Arman dan sekeluarga di sebuah kedai kasut.
Tidak hanya Arman bahkan adik dan abangnya serta kedua ibu bapanya juga turut dibelikan kasut baru. Memang rezeki.
Rata-rata wargamaya memuji Tindakan anak kecil ini malah amat berterima kasih atas keprihatinan stesen radio berkenaan yang prihatin.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Korang suka filem apa? Filem animasi bukan sekadar hiburan untuk si kecil, tetapi juga cara yang menyeronokkan untuk mendidik, mengajar nilai murni dan menyalakan imaginasi mereka.
Dalam artikel ini, kami kongsikan beberapa filem animasi terbaik yang menjadi kegemaran kanak-kanak di Malaysia termasuk karya tempatan yang penuh warna, budaya dan mesej positif. Ada tak masuk dalam filem kegemaran korang?
Filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria membawa penonton kembali ke dunia futuristik Cyberaya dengan kisah baharu yang penuh aksi dan emosi. Dalam sekuel ini, Ali berdepan misi yang lebih mencabar sambil mempelajari erti keberanian dan tanggungjawab sebenar sebagai ejen muda. Hasil produksi WAU Animation ini menampilkan kualiti animasi yang setanding filem antarabangsa dengan jalan cerita yang sarat nilai kekeluargaan dan semangat juang. Sejak ditayangkan pada 2025, filem ini mencatat kutipan melebihi RM40 juta, menjadikannya filem animasi tempatan paling berjaya setakat ini.
Dongeng Sang Kancil pula menghidupkan semula kisah rakyat klasik yang dekat di hati rakyat Malaysia. Diterbitkan oleh Les’ Copaque Production, filem ini menggabungkan animasi 3D dan 2D untuk menonjolkan keindahan alam serta watak Sang Kancil yang bijak dan penuh nilai murni.
Ceritanya bukan sekadar hiburan, tetapi turut menyampaikan mesej tentang kecerdikan, kejujuran dan kepentingan menjaga alam sekitar. Tayangan pada hujung 2024 ini bukan hanya menarik minat kanak-kanak, tetapi juga mengimbau nostalgia generasi dewasa yang membesar dengan kisah Sang Kancil.
Mechamato Movie adalah filem animasi Malaysia yang ditayangkan pada 2022, yang telah mencecah kutipan terakhir sebanyak RM 35.88 juta selama 14 minggu ditayangkan dan menjadi antara filem Malaysia yang paling lama ditayangkan di pawagam.
Mengisahkan Amato, seorang remaja biasa yang secara tidak sengaja memperoleh sebuah robot bernama Mecha, yang mempunyai keupayaan luar biasa. Bersama Mecha, Amato terlibat dalam pengembaraan untuk melindungi bandar mereka dari ancaman jahat yang ingin menguasai dunia.
Ejen Ali: The Movie mengisahkan Ali, seorang remaja biasa yang secara tidak sengaja menjadi ejen rahsia setelah mengaktifkan sebuah peranti canggih dari organisasi keselamatan negara, MATA.
Dalam filem ini, Ali bersama rakan-rakannya menghadapi ancaman besar apabila musuh lama MATA, Bakar, melancarkan rancangan untuk mencuri teknologi penting. Ali perlu memanfaatkan kemahiran baru dan teknologi canggih untuk menyelamatkan negara dan menghentikan rancangan jahat tersebut. Dengan aksi mendebarkan dan pengembaraan yang menarik, filem ini menonjolkan tema keberanian, tanggungjawab, dan persahabatan sambil memaparkan elemen teknologi dan keselamatan. Filem animasi telah mencecah kutipan sebanyak RM 20 juta pada 14 hari tayangan.
Filem ini juga telah mengejutkan industri filem di Malaysia dengan kutipan RM 30 juta pada hari ke-43 dan menjadi filem keluaran tempatan ketiga tertinggi dari segi kutipan dalam sejarah tayangan filem Malaysia.
Boboiboy Movie 2 mengungguli carta Top 10 Pilihan Penonton Golden Screen Cinemas, di mana BoBoiBoy Movie 2 menduduki tangga ke-6 serta mendapat kutipan sebanyak RM 30 juta dalam masa 70 hari di Malaysia, Brunei, Singapura dan Vietnam.
Ikuti pengembaraan Boboiboy dan rakan-rakannya yang menghadapi ancaman dari musuh baru, Sfera. Sfera, seorang penjahat dari planet lain, datang ke bumi untuk mendapatkan kuasa misteri yang terkandung dalam kristal kuno.
Boboiboy dan pasukannya perlu bersatu untuk melindungi kristal dan menghentikan Sfera sebelum dia menguasai kuasa yang dapat merosakkan bumi. Filem ini dipenuhi dengan aksi, komedi, dan elemen fantasi yang menarik, sambil menekankan nilai persahabatan dan keberanian dalam menghadapi cabaran besar.
Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengisahkan pengembaraan Upin, Ipin, dan rakan-rakan mereka apabila secara tidak sengaja menemui sebuah keris mistik yang membawa mereka ke kerajaan Inderaloka. Di dunia fantasi ini, mereka bertemu dengan watak-watak dongeng terkenal seperti Mat Jenin, Bawang Merah Bawang Putih, dan Pak Belalang.
Bersama-sama, mereka perlu bekerjasama untuk mengembalikan keamanan kepada kerajaan tersebut yang sedang diancam oleh kuasa jahat. Filem ini penuh dengan aksi, humor, dan elemen budaya tempatan, menggabungkan tema keberanian, persahabatan, dan kesatuan dalam menghadapi ancaman besar.
Filem ini telah menjadi kegemaran kanak-kanak dan tidak lupa juga orang dewasa. Kutipan bagi filem telah mendapat sebanyak RM 26 juta dan lagu-lagu daripada filem telah menjadi hit. Salah satunya, “Buai Laju-laju” yang dinyanyikan oleh Ernie Zakri.
Boboiboy: The Movie telah dipromosikan di Tokyo Anime Award Festival 2016 dan sedang dalam perbincangan untuk tayangan di Kazakhstan. Terdapat juga rancangan untuk membawa filem ini ke Thailand, Vietnam, dan Kemboja. Filem ini ditayangkan di 115 pawagam di Malaysia, 100 di Indonesia, serta dua pawagam di Brunei dan Singapura.
Di Indonesia, ia ditayangkan di CGV Blitz, Cinemaxx, dan Platinum. Selepas kejayaan di Malaysia dan Indonesia, filem ini dijadualkan ditayangkan di 100 pawagam di Korea Selatan pada suku pertama 2017. Kutipan di Malaysia bagi filem juga telah meraih RM 20 juta.Yang mengisahkan Boboiboy dan rakan-rakannya yang menghadapi ancaman besar dari penjahat bernama Bora Ra, seorang pemburu makhluk asing yang ingin mendapatkan kuasa Ochobot, robot kecil yang menjadi sahabat Boboiboy.
Bora Ra berusaha untuk menguasai Ochobot kerana kuasa luar biasanya. Boboiboy dan pasukannya perlu melindungi Ochobot sambil berjuang melawan Bora Ra dan tenteranya. Sepanjang pengembaraan ini, mereka menghadapi pelbagai cabaran, dengan aksi mendebarkan serta mesej tentang persahabatan, keberanian, dan kerjasama untuk mengatasi musuh yang lebih kuat.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!