Haiwan terancam Malaysia adalah antara khazanah paling berharga yang perlu kita jaga. Korang mesti kenal dan sayang haiwan-haiwan ni!
Korang tahu tak, Malaysia ni sebenarnya rumah kepada beribu-ribu haiwan yang super menarik. Ada yang besar, ada yang kecil, ada yang comel, ada yang garang sikit. Tapi sayangnya, ada banyak haiwan yang sedang berada dalam bahaya sebab bilangan mereka makin sikit.
Eh, kenapa boleh jadi macam tu? Ini cara paling senang dan best untuk korang faham!
1. Harimau Malaya, Sang Raja Rimba Yang Semakin Hilang
Inilah haiwan kebanggaan negara kita. Corak belang dia cantik sangat, jalan pun nampak gagah. Tapi korang tahu tak? Harimau Malaya sekarang dianggarkan sebanyak 80–120 dengan trend semakin menurun. Sedih kan? Hutan kena tebang, pemburu pun ramai. Jadi harimau kita tak ada tempat nak duduk.
2. Gajah Asia, Si Lembut Hati Yang Besar
Walaupun besar, gajah Asia sebenarnya sangat baik dan penyayang. Tapi hutan makin kecil, jadi gajah pun susah nak cari makanan. Kadang-kadang gajah termasuk kawasan kampung sebab lapar.
Ads
3. Tapir Malaya, Maskot Hitam Putih Comel
Tapir ni warna dia macam bantal oreo jumbo! Comel sangat. Tapi tapir selalu jadi mangsa kemalangan jalan raya sebab tempat tinggal mereka terpisah oleh jalan raya dan bangunan.
4. Orang Utan, Si Bijak Dari Borneo
Orang utan ni terkenal sebab pandai, kuat dan penyayang. Mereka suka duduk kat pokok tinggi. Tapi kalau pokok hilang, mereka pun hilang rumah. Sebab tu orang utan dikira semakin terancam.
5. Badak Sumbu Sumatera, Sudah Pupus Di Malaysia
Ini kisah paling sedih. Badak Sumatera yang dulu hidup di Malaysia sekarang dah pupus di hutan kita. Banyak faktor jadi punca, termasuk pemburuan. Kita tak nak perkara sama berlaku pada haiwan lain.
Ads
6. Penyu Belimbing, Penyu Gergasi Sang Penjelajah Laut
Ini penyu paling besar di dunia. Besar macam kereta kecil tau! Tapi telur mereka banyak dicuri, dan pantai tempat mereka bertelur makin tak selamat. Sebab tu penyu belimbing makin berkurang.
7. Harimau Dahan, Si Gebu Bercorak Awan
Harimau dahan ni tak sebesar harimau Malaya, tapi coraknya memang cantik sangat, macam awan! Mereka pandai panjat pokok. Tapi bila hutan ditebang, mereka hilang tempat tinggal.
8. Beruang Matahari, Beruang Comel Dada Bentuk U
Beruang matahari ni kecil sikit kalau nak banding dengan beruang lain. Bahagian dadanya ada bentuk “U” warna cerah. Tetapi mereka juga kena buru dan hutan pula makin kurang.
9. Kucing Batu & Kucing Merah Borneo, Si Misteri Hutan
Kucing liar Malaysia ni jarang sangat orang dapat tengok. Mereka kecil, laju dan sangat bijak menyorok. Tapi sebab hutan makin terancam, kucing-kucing unik ni pun makin sedikit.
Ads
10. Enggang Badak, Burung Besar Bertanduk Unik
Enggang badak ni burung yang sangat cantik. Paruh dia besar dan berwarna. Mereka suka tinggal di pokok tinggi. Bila hutan ditebang, mereka sukar nak cari tempat bertelur.
Kenapa Kita Kena Jaga Mereka?
Sebab kalau haiwan-haiwan ni hilang, hutan kita tak seimbang. Alam pun boleh jadi tak sihat. Setiap haiwan ada tugas penting. Ada yang kawal serangga, ada yang sebarkan biji pokok, ada yang jaga rantaian makanan.
Dalam dunia ni, semua benda saling berkait. Hilang satu, habis semua pun terjejas.
Korang Pun Boleh Jadi Hero Alam!
Walaupun korang masih sekolah, korang sebenarnya boleh tolong tau. Contohnya:
Buang sampah di tempat betul
Jangan beli produk daripada haiwan liar
Jangan kacau haiwan kalau jumpa
Sokong kempen selamatkan haiwan
Kongsi info dengan kawan sekolah
Kecil-kecil pun boleh jadi hero!
Kesimpulan
Kesimpulannya, jom kita sama-sama jaga haiwan Malaysia. Sebab kalau bukan kita, siapa lagi? Hutan kita cantik, haiwan kita unik, dan Malaysia kita istimewa. Jangan biarkan haiwan terancam Malaysia terus hilang.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Tahun ini merupakan kali kedua BK Mini Fest dianjurkan. Kemeriahan dapat disaksikan sepanjang BK Mini Fest 2023 di mana acara ini telah menghimpunkan lebih 2000 orang kanak-kanak!
Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN
Bagi memulakan BK Mini Fest 2023, acara pertama yang diadakan adalah Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN yang melibatkan lima buah sekolah sekitar Shah Alam menghantar wakil untuk perbarisan serta pertandingan Haka. Setiap sekolah melibatkan 50 orang murid yang mewakili badan beruniform pilihan mereka.
Badan beruniform yang terlibat adalah Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dari SK Bandar Anggerik, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) dari SK Bandar Anggerik, Pandu Puteri Tunas dari SK Padang Jawa, Pengakap dari SK Seksyen 19 serta Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dari SK Seksyen 9.
Perbarisan mereka telah diiringi oleh pancaragam SMK Kepong dan kesemua peserta telah memaparkan semangat juang dengan formasi kawad kaki menarik serta gimik tersendiri untuk memikat hati juri. Selesai pertandingan kawad kaki, kesemua pasukan diminta untuk menghantar 10 orang wakil mewakili badan beruniform mereka untuk mempersembahkan Hakka. Ternyata kesemua peserta sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh bagi merebut gelaran juara untuk pertandingan ini.
Tahniah buat badan beruniform BSMM dari SK Seksyen 9 yang telah menjuarai pertandingan perbarisan serta TKRS dari SK Bandar Anggerik yang berjaya merangkul kemenangan bagi kategori Hakka.
Perasmian BK Mini Fest Meriah
Menariknya acara Himpunan Badan Beruniform Mega X PTPTN ini kerana turut diserikan dengan kehadiran Angkasawan Negara, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar yang telah berkongsi tentang tip kejayaan beliau.
Selain itu, kehadiran Dr. Sheikh Muszaphar juga adalah untuk merasmikan BK Mini Fest 2023 bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv Sdn. Bhd, En. Syamil Fahim Mohamed Fahim serta Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, En. Azhar Ahmad.
Dewi Cilik Bintang Kecil Pertama Dinobatkan
Pada sebelah petang 19 Ogos 2023, acara diteruskan dengan pertandingan Dewi Cilik Bintang Kecil 2023. Dari 200 penyertaan yang diterima, akhirnya seramai 10 orang kanak-kanak perempuan berusia 8-12 tahun telah dipilih sebagai finalis Top 10 Dewi Cilik.
Kesemua finalis telah diuji melalui catwalk mereka serta keyakinan mereka. Selain itu, mereka turut melalui cabaran Tiktok di mana mereka perlu menari apabila mendengar lagi viral di aplikasi itu yang dimainkan secara rawak.
Para juri yang bertanggungjawab untuk menobatkan gelaran Dewi Cilik Bintang Kecil 2023 pada hari itu adalah Pn. Norfarhati Abdul Hakim yang merupakan pengasas Mewah Rose dan juga pernah memenangi pertandingan Miss Catwalk 2012 serta Pensyarah Senior dalam jurusan seni fesyen dari UiTM Shah Alam iaitu En. Faizal Hamid.
Selain itu, bekas Dewi Remaja 2019/2020 iaitu Shaza Bae turut menjadi juri untuk pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan buat Nur Farisha Dania yang telah dinobatkan sebagai Dewi Cilik Bintang Kecil yang pertama! Pemenang tempat kedua pula adalah Nur Zara Aamily Binti Nazri manakala Syazwina Bt Mohd Taib meraih tempat ketiga pertandingan ini.
Juga sekalung tahniah diucapkan kepada Putri Diana Ellysa yang dipilih sebagai Dewi Aktif dan Putri Nur Nariesya Eizeanies yang diberikan gelaran Dewi Foto Terbaik.
Pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN
Acara pada hari Ahad pula dimulakan dengan pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN yang mendapat sambutan memberangsangkan. Seramai 200 orang kanak-kanak untuk dua kategori (Kategori A: 5-7 tahun dan Kategori B: 8-12 tahun) telah menyertai pertandingan ini.
Tambah menarik kerana kesemua peserta yang hadir bukan sahaja mempertaruhkan bakat mewarna bahkan mereka juga memperagakan pakaian kemederkaan yang unik. Sepanjang masa anak-anak mewarna ibu bapa pula dapat mendengar perkongsian menarik tentang ilmu simpanan dari Pn. Wan Zawiah Wan Abu Bakar (Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN) serta selebriti popular Yana Samsudin.
20 Finalis BK Fantastic X Karihome Tonjol Bakat
Kanak-kanak milenial mempunyai potensi yang sangat besar.Oleh itu, Bintang Kecil telah menganjurkan BK Fantastic X Karihome yang mendapat sehingga 500 penyertaan kanak-kanak dari serata Malaysia. Akhirnya 20 orang telah terpilih untuk ke peringkat akhir.
Pelbagai jenis bakat yang dipertaruhkan seperti nyanyian, tarian, bermain alat muzik, sukan dan banyak lagi. Dengan persediaan rapi serta keyakinan tinggi, kesemua 20 persembahan para peserta telah memukau hadirin yang ada.
Tiga orang juri telah diberikan kepercayaan untuk memilih pemenang. Selain Miss Jessie yang mewakili Karihome, dua lagi juri lain adalah Dr. Haji Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pakar Motivasi) serta penyanyi, komposer dan pelakon terkenal iaitu Mark Adam turut bertanggungjawab untuk mengadili persembahan setiap peserta.
Tahniah diucapkan buat juara BK Fantastic X Karihome iaitu penari dari Kumpulan Putera Arts Talent Production, pemenang tempat kedua Mika Adam Mikael yang bermain violin serta Nurdania Batrisya menduduki tempat ketiga dengan persembahan nyanyian.
Putaran Mega BK Mini Fest 2023 Tawar Hadiah Menarik
Salah satu daya tarikan untuk BK Mini Fest 2023 adalah acara Putaran Mega BK Mini Fest yang memberi peluang kepada para pengunjung untuk memenangi pelbagai hadiah menarik. Kepada pembeli barangan Karihome atau pembukaan akaun Simpan SSPN bernilai RM20 ke atas, berpeluang untuk membuat putaran roda.
Sekiranya mereka menerima tiket emas untuk ke Putaran Mega BK Mini Fest, mereka berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan seperi komputer riba, baucar percutian, beg berjenama mewah, baucar membeli-belah dan banyak lagi. Tahniah kepada Pn. Nor Hafida kerana berjaya memenangi hadiah utama yang berupa komputer riba tajaan Acer!
Aktiviti Untuk Ibu Di Mini Stage
Bukan sahaja aktiviti di pentas utama, BK Mini Fest turut memberi ruang kepada para ibu untuk ‘me-time’ di pentas mini. Pada hari Sabtu telah diadakan acara Lindungi Anak Anda! bersama tiga orang panel jemputan iaitu Kaunselor Laktasi Pn. Noorfazila Abdul Rahman, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Dr. Maiza Tusimin serta Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga & Organisasi, Dr. Hajah Azuraida Shahadan.
Selain itu pada hari Ahad pula telah diadakan Mama Zumba Sweat It Out! bersama Zin Belle dan 30 orang para ibu yang telah berzumba beramai-ramai di pintu masuk utama Plaza Shah Alam. Selepas berzumba, mereka kemudiannya mendengar perkongsian tentang diet dari Pegawai Dietetik bertauliah, Pn. Laila Fadhilah Omar dari SALAM Shah Alam Specialist Hospital.
Banyak Tarikan Lain
Selain pelbagai acara menarik di pentas utama dan pentas mini, terdapat banyak aktiviti lain yang ada di Plaza Shah Alam selama dua hari BK Mini Fest 2023 berlangsung.
Booth seperti zoo mini dari Farm In The City, lukisan muka, inai, gula-gula kapas serta kolam bola dari Poolkidz, booth KUEH yang turut menaja makanan di setiap aktiviti Mini Stage dan banyak lagi turut mendapat sambutan dari pengunjung yang hadir.
Sememangnya acara dua hari ini telah merapatkan hubungan kekeluargaan serta mencungkil potensi kanak-kanak yang datang. Diharapan penganjuran acara BK Mini Fest 2023 dapat memberi manfaat kepada kesemua yang hadir memberikan sokongan.
JOM SAKSIKAN VIDEO HIGHLIGHT BK MINI FEST 2023
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Malam tu, sekolah aku sunyi. Hanya tinggal aku dan Aiman sebab kami kena tolong cikgu siapkan hiasan untuk Hari Kantin. Jam dah hampir pukul 7 malam.
“Cepatlah, Rahim. Dah nak Maghrib ni,” kata Aiman sambil gulung tali reben.
“Sekejap je lagi, nak tampal satu ni je,” aku balas.
Tiba-tiba, tok… tok… tok…
Kami berdua berpandangan. Bunyi tu datang dari koridor belakang, tempat bilik stor lama yang dah lama dikunci. Semua murid tahu, stor tu dulu pernah jadi bilik muzik sebelum terbakar sikit sebab litar pintas.
“Aiman, kau dengar tak?”
Aiman angguk perlahan. “Mungkin cikgu pengawas.” Tapi suaranya pun dah serak takut.
Kami jalan perlahan ke arah koridor. Lampu malap, bayang-bayang panjang di lantai. Bila sampai dekat bilik stor, bunyi tu berhenti. Sunyi.
Aku tarik nafas, tolak daun pintu perlahan-lahan. Kreeeek…
Kosong. Cuma debu dan alat muzik lama yang dah berkarat.
Nak berpusing balik, tiba-tiba… ting! Nada piano! Satu nada panjang bergema dari dalam bilik tu.
Kami menjerit serentak dan lari lintang-pukang sampai ke dewan. Nafas kami laju macam baru habis lari 100 meter. Cikgu Siti yang tengah kemas booth makanan terus tegur, “Kenapa ni, kamu berdua?”
Kami cerita semuanya. Tapi cikgu cuma tersenyum.
“Tak payah takut. Bilik tu memang kadang berbunyi sendiri. Mungkin sebab angin… atau mungkin sebab semangat lama yang rindu main muzik.”
Aku dan Aiman terdiam. Sejak hari tu, kami tak pernah berani lalu koridor belakang waktu petang lagi. Tapi setiap kali lalu siang-siang… aku rasa macam ada seseorang tengah main piano perlahan, ikut langkah kami.
ting… ting… ting…
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Alisya Zehra, budak comel berusia 7 tahun ini memang lain daripada yang lain. Walaupun kecil, bakat dia besar gila! Bayangkan, pada usia yang begitu muda, dia dah berjaya mengumpul lebih daripada 60 pingat daripada pelbagai pertandingan catur. Memang luar biasa.
Semuanya bermula sejak umur 4 tahun. Setiap kali abang dia, Aiman, main catur, Alisya Zehra mesti akan datang dan “kacau”. Dari sekadar tengok-tengok, tiba-tiba minat itu berkembang jadi bakat yang semakin menyerlah. Bila umur 5 tahun, dia dah mula dapat pingat pertama. Lepas tu, setiap pertandingan jadi macam medan latihan untuk dia asah strategi dan idea baru.
Sekarang, paling power, Alisya ialah Juara Catur Kebangsaan U8G. Dan khabarnya pada April lalu, Alisya juga turut bertanding untuk melawan pemain terbaik dari seluruh dunia. Memang kelas antarabangsa!
Jurulatih abang dia, Encik Ismail Ahmad, adalah orang pertama yang nampak bakat besar Alisya. Sebab itu ibu dan ayah Alisya terus hantar dia ke kelas catur peribadi untuk asah bakat luar biasa yang dia ada.
Walaupun baru 7 tahun, Alisya Zehra dah sertai lebih 70 pertandingan. Antara pertandingan besar yang dia pernah masuk termasuk:
Kebanyakan masa, dia menang kategori Bawah 7 Tahun atau Bawah 12 Tahun. Tak hairanlah nama dia semakin terkenal dalam komuniti catur di Malaysia.
Ibu dan ayah Alisya sangat menyokong perjalanan dia. Hampir setiap minggu, mereka bawa dia ke pertandingan. Memang penat, tapi penuh semangat. Untuk persiapan mewakili pertandingan, Alisya lakukan latihan intensif setiap Ahad dari pukul 9 pagi sampai 4 petang.
Bukan itu sahaja. Setiap hari, Alisya buat sekurang-kurangnya 100 puzzle catur. Dia juga main secara dalam talian untuk tambah pengalaman. Disiplin dia memang luar biasa untuk seorang budak berusia 7 tahun.
Alisya ada misi besar tahun ini iaitu dia nak capai 100 pingat! Dan lagi satu, dia nak jadi Women Grand Master pertama di Malaysia. Itu satu gelaran tertinggi dalam dunia catur wanita, dan dengan semangat serta bakat dia, memang tak mustahil.
Ibu dan ayah Alisya berharap satu hari nanti dia dapat harumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Kita pun sama-sama doakan dia berjaya.
Kisah Alisya Zehra membuktikan bahawa bila ada minat yang mendalam, latihan yang konsisten dan sokongan keluarga, kita boleh capai apa sahaja. Semangat dia menjadi inspirasi kepada ramai, terutama kanak-kanak lain yang juga ada bakat dalam bidang tersendiri. Dia bukan sekadar pemain catur, tapi contoh nyata bahawa usia bukan halangan untuk berjaya.
Semoga perjalanan Alisya terus berkembang dan namanya terus bersinar sebagai bintang catur masa depan negara.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!