
Korang suka sangat makan telur dengan kicap kan? Simple tapi punyalah sedap. Lauk berasaskan telur macam ni sebenarnya sangat bagus untuk korang. Telur bukan saja jadi kegemaran anak-anak tetapi pelbagai peringkat usia. Tapi ada juga ibu bapa yang risau jika anak terlalu bergantung dengan telur semata-mata.
Sebenarnya jika diikutkan protein yang tinggi dalam telur sangat bermanfaat untuk membantu perkembangan anak.

Menurut perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad, telur sebagai sarapan pagi sangat-sangat digalakkan untuk kanak-kanak.
Telur adalah sumber makanan yang kaya dengan protein penting dan berkualiti. Ia membekalkan asid amino yang tidak dapat dihasilkan dalam tubuh.
Selain itu, ia membekalkan beberapa vitamin dan mineral, terutama vitamin A (bagus untuk mata anak-anak kita), vitamin D (bagus untuk tumbesaran dan menguatkan tulang anak-anak kita), choline (bagus untuk meNingkatkan kecerdikan minda anak-anak kita dan menguatkan otot-otot jantung), dan selenium (bagus untuk kelenjar tiroid berfungsi dengan baik).
Jika anak-anak kita tiada masalah alahan, telur adalah sarapan yang baik. Boleh diberikan bersama roti, nasi, atau mee.

Berikan sehari sebiji, sama ada diberikan dalam bentuk telur rebus, telur goreng atau telur separuh masak.
Jangan berlebihan. Galakkan juga pengambilan lemak sihat seperti minyak zaitun dalam pemakanan mereka.
Khasiat Telur untuk Anak
Telur ialah makanan super untuk tumbesaran si kecil kerana mengandungi pelbagai nutrien penting. Kandungan choline membantu perkembangan otak, fungsi memori dan tumpuan anak. Folat pula berperanan menghasilkan serta mengekalkan sel darah merah, manakala zat besi membantu menghantar oksigen ke seluruh sel badan.
Nutrien seperti lutein dan zeaxanthin melindungi mata anak daripada sinaran UV dan mengekalkan penglihatan yang baik. Niacin menyokong sistem saraf agar berfungsi dengan normal dan membantu tubuh melepaskan tenaga. Lemak Omega-3 pula membantu memperbaiki tahap kolesterol dalam darah.

Selain itu, protein dalam telur penting untuk menguatkan otot dan tisu badan. Kandungan vitamin A, B12, D dan E masing-masing berperanan melindungi dari penyakit, menjaga jantung, menguatkan tulang serta bertindak sebagai antioksidan. Akhir sekali, zink membantu menguatkan sistem imun supaya anak lebih sihat dan aktif.
Choline: Untuk perkembangan otak, fungsi dan memori
Folat: Menghasilkan dan mengekalkan sel darah merah
Zat besi: Menghantar oksigen pada sel
Lutein dan Zeaxanthin: Mengekalkan penglihatan yang baik dan menjaga mata dari sinaran UV berbahaya.
Niacin: Sistem saraf berfungsi dengan normal dan bantu melepaskan tenaga.
Lemak Omega-3: Memperbaiki kolesterol darah
Protein: Menguatkan badan
Vitamin A: Melindungi dari kanser
Vitamin B12: Melindungi jantung
Riboflavin: Membantu tisu badan kekal sihat
Vitamin D: Menguatkan tulang dan gigi
Vitamin E: Bertindak sebagai antioksidan
Zink: Menguatkan system imunasi.












