
Bila dengar perkataan peperiksaan, ada yang terus rasa berdebar, ada juga yang mula fikir nombor dan markah. Korang takut ke kena ambil UPSR dan PT3 semula? Tapi sebenarnya, peperiksaan bukan sekadar angka di atas kertas tau. Ia ada kaitan dengan perasaan, harapan dan masa depan kita semua.
Terbaharu, Kementerian Pendidikan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi mengkaji keperluan pelaksanaan semula kedua-dua peperiksaan tersebut.
Kenapa UPSR dan PT3 Dibincangkan Semula?
Lepas beberapa tahun dimansuhkan, isu berkaitan UPSR dan PT3 kini kembali dibincangkan.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, terdapat sebahagian ibu bapa yang berpendapat peperiksaan penting sebagai satu kaedah penilaian yang lebih seragam. Melalui peperiksaan, ibu bapa dapat melihat prestasi anak-anak secara lebih jelas dan teratur.
Antara perkara yang sering bermain di fikiran mak ayah ialah sama ada anak benar-benar faham pelajaran, subjek mana yang perlu diperbaiki dan tahap kesediaan anak untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Bukan Sekadar Markah, Emosi Murid Juga Diambil Kira
Walaupun perbincangan tentang peperiksaan semakin hangat, pihak kementerian menegaskan bahawa kajian ini bukan hanya tertumpu kepada markah semata-mata. Aspek tekanan, kesihatan emosi dan kesejahteraan murid turut menjadi keutamaan.
Tekanan melampau boleh memberi kesan jangka panjang kepada murid. Sebab itu, sebarang keputusan yang bakal dibuat akan mengambil kira kesediaan sekolah, kemampuan guru serta keadaan emosi pelajar supaya proses pembelajaran kekal sihat dan seimbang.
Apa Itu UPSR dan PT3 Sebenarnya?
UPSR
UPSR merupakan peperiksaan untuk murid sekolah rendah yang menilai kemahiran asas pembelajaran. Suatu ketika dahulu, keputusan peperiksaan ini juga digunakan sebagai salah satu syarat kemasukan ke sekolah berasrama penuh.
PT3
PT3 pula ialah peperiksaan untuk pelajar Tingkatan Tiga. Ia menilai pembelajaran dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga sebelum pelajar memasuki Tingkatan Empat dan aliran seterusnya.
Kedua-dua peperiksaan ini dimansuhkan dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang memberi fokus kepada perkembangan menyeluruh murid, termasuk sahsiah dan kemahiran insaniah.
Apa Yang Paling Penting Untuk Masa Depan Pendidikan?
Sama ada UPSR dan PT3 akan kembali atau tidak, keputusan muktamad masih belum dibuat. Apa yang lebih penting ialah keseimbangan antara pencapaian akademik dan kesejahteraan emosi murid.
Pendidikan bukan sekadar mengejar markah, tetapi membentuk keyakinan diri, minat belajar dan keupayaan menghadapi cabaran masa depan. Dengan sokongan guru dan ibu bapa, murid boleh terus belajar dalam suasana yang lebih positif.
Kesimpulan
Perbincangan tentang UPSR dan PT3 membuka ruang untuk semua pihak berfikir tentang hala tuju sistem pendidikan negara. Apa jua keputusan yang bakal dibuat, harapannya ialah satu sistem yang adil, seimbang dan tidak membebankan murid.
Jadi, tak perlu takut dulu. Teruskan belajar dengan seronok, buat yang terbaik dan percaya pada diri sendiri. Semua pihak sentiasa mahukan yang terbaik untuk generasi akan datang.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!







