Tidur cukup tetapi tetap rasa letih dan lesu sepanjang hari. Apa sebabnya hal ini terjadi pada kita, terutama pada mak ayah yang seharian bekerja.
Menurut perkongsian Dr Serena In, Ketua Jabatan dan Ahli Psikologi Klinikal di Fakulti Perubatan IMU University, hal ini boleh dikaitkan dengan Sindrom Kelesuan Kronik (CFS).
“Data mengenai CFS di Malaysia sangat sedikit, bukan kerana ia tidak wujud di sini tetapi kerana kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat umum. Disebabkan itu, tidak ramai orang yang tahu bagaimana untuk mendapatkan rawatan. Ini menyebabkan ia kurang dilaporkan dan kurang difahami,” kata Dr Serena In berkongsi.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali menderita kelesuan berpanjangan yang tidak dapat dijelaskan dan tidak bertambah baik dengan berehat, berikut apa yang anda perlu tahu.
Kemungkinan tanda-tanda CFS
Secara perubatan ia dikenali sebagai Ensefalomielitis Mialgik (ME) dan pakar tidak dapat mengenal pasti apakah punca CFS.
Ia kadangkala boleh berlaku selepas jangkitan virus seperti COVID-19, walaupun tidak dikaitkan dengan sebarang jangkitan tertentu.
Ads
Faktor-faktor lain yang berkaitan – walaupun tidak semestinya bersifat penyebab – termasuklah penyakit keradangan seperti arthritis, keadaan psikologi seperti kemurungan, dan perubahan hormon seperti menopaus.
.
Gejala ini boleh datang dan pergi dan sangat berbeza kepada setiap individu. Kebanyakan pesakit melaporkan gejala-gejala seperti berikut:
* Kelesuan yang tidak hilang selepas berehat atau tidur
* Kesukaran untuk memberi tumpuan
* Kelemahan otot
Ads
* Sensitif melampau kepada bau-bauan, bahan kimia, cahaya atau bunyi-bunyian
* Masalah penghadaman seperti sindrom usus merengsa
* Kesakitan sendi dan otot tanpa melakukan senaman, bengkak atau kemerahan
CFS hanya boleh didiagnosis berdasarkan gabungan simptom, di samping satu siri ujian untuk menolak kemungkinan punca lain.
Ads
Malah menurut kata Dr Serena lagi, belajar untuk memahami diri sendiri dan periksa keperluan tubuh dengan rehat secukupnya terlebih dahulu.
“Atasi keperluan asas terlebih dahulu. Dapatkan rehat yang cukup dan makan makanan seimbang. Jika asasnya betul, anda pasti jadi lebih baik dalam beberapa minggu.
“Tetapi, jika anda masih tidak berasa lega selepas mencubanya, anda mungkin memerlukan nasihat perubatan,” tambahnya lagi.
Tiada rawatan atau penawar khusus bagi CFS. Namun cara menguruskan rasa letih dan lesu ini boleh memainkan peranan penting untuk melegakan gejala, di samping menyesuaikan gaya hidup.
Selain itu, Dr Serena menyarankan pesakit berjumpa ahli psikologi klinikal atau kaunselor untuk mendapatkan sokongan dalam memproses perubahan besar dalam hidup mereka.
Jadi mulakan hari yang sihat, bantu diri untuk kembali cergas seperti selalu!
Membuat keputusan untuk menghantar anak belajar jauh dari sisi mak ayah bukan mudah. Lagi-lagi bila memikirkan kes-kes di media social yang bertebaran, melibatkan anak kecil membuatkan hati mak ayah tidak pernah tenang.
Mulalah mak ayah memikirkan pelbagai perkara negatif. Tak salah berfikir untuk keselamatan anak namun sebagai mak ayah apa kata kita persiapkan dulu anak-anak dengan perkara ini, seperti yang dikongsikan oleh Dr Taufiq Razif.
1. Ajar anak untuk tegas & berani SAY NO pada orang lain. Anak yang tak berani cakap TIDAK ni yang bahaya sebab dia akan ikut je apa orang lain suruh buat.
2. Didik anak untuk selalu cari kawan yang sama jantina jika nak mengadu masalah.
3. Ajar anak untuk selalu baca doa sebelum keluar rumah
بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Tiada daya dan upaya kecuali dengan (pertolongan) Allah
4. Ajar anak untuk jauhi ikhtilat iaitu pergaulan bebas dengan lawan jantina lagi lagi yang bukan mahram
5. Ajar anak untuk ‘choosy’ dalam memilih sahabat. Berkawan biar seribu tetapi bersahabatlah dengan orang yang ikhlas menyayangi dan menjagamu
6. Ajar anak untuk jaga pakaian dia. Kadang pemilihan pakaian yang salah boleh ‘trigger’ orang yang ada masalah pada mental dan jiwanya
7. Didik anak untuk tak lupakan solat 5 waktu walau apa pun ujian yang melanda hidupnya. Selama mana dia masih solat 5 waktu, insyaAllah dia akan selamat.
Semoga yang baik-baik buat anak-anak kita yang sedang membesar, lagi-lagi yang berjauhan dari mak ayah.
Selepas peperiksaan pentaksiran hujung tahun, lawatan sekolah adalah aktiviti paling dinantikan oleh murid sekolah rendah. Inilah masanya mereka dapat bersama kawan-kawan, menaiki bas, dan melawat tempat menarik di Malaysia sambil belajar perkara baharu.
Tetapi persoalannya, ke mana tempat paling sesuai untuk bawa anak-anak ini? Bukan sekadar berseronok, yang paling penting ialah menambah ilmu dan pengalaman. Berikut ialah 8 tempat lawatan menarik di Malaysia untuk murid sekolah rendah yang penuh nilai pendidikan serta menyeronokkan.
1. Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur
Pusat Sains Negara (PSN) merupakan destinasi terbaik untuk murid meneroka dunia sains secara menyeronokkan. Dengan lebih 1,000 pameran interaktif, murid dapat mencuba pelbagai eksperimen berkaitan tenaga, angkasa lepas, fizik dan biologi.
Selain itu, PSN turut menganjurkan bengkel sains mini dan demonstrasi khas yang membantu murid memahami konsep pembelajaran secara visual dan praktikal. Ia menjadikan pembelajaran lebih menarik berbanding hanya membaca buku teks.
2. Zoo Negara, Ampang
Zoo Negara ialah lokasi klasik untuk lawatan sekolah kerana memberikan pendedahan kepada dunia haiwan. Dengan lebih 400 spesies dari seluruh dunia termasuk panda, harimau dan gajah, murid dapat belajar tentang kepelbagaian biologi dan kepentingan menjaga alam sekitar.
Lawatan ke Zoo Negara juga menyokong pembelajaran mata pelajaran Sains dan Pendidikan Moral sambil menanam rasa cinta terhadap hidupan liar di Malaysia.
3. Taman Botani Putrajaya
Taman Botani Putrajaya sangat sesuai untuk aktiviti luar bilik darjah berasaskan alam semula jadi. Murid boleh mengenal pelbagai tumbuhan tropika, herba dan pokok hiasan sambil beriadah di kawasan hijau yang luas dan bersih.
Guru boleh merancang aktiviti seperti ‘leaf hunt’, lukisan tumbuhan atau kuiz alam sekitar supaya sesi pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan.
4. Balai Bomba dan Penyelamat
Balai Bomba dan Penyelamat memberikan pengalaman unik kepada murid kerana mereka dapat melihat sendiri peranan dan tanggungjawab anggota bomba.
Biasanya, pihak bomba akan mengadakan demonstrasi memadam api, menyelamat mangsa dan tunjuk cara menggunakan alat pemadam api. Murid juga berpeluang memakai pakaian bomba serta mencuba peralatan khas. Aktiviti ini meningkatkan kesedaran keselamatan dan disiplin diri.
5. Kilang Coklat Beryl’s, Seri Kembangan
Kilang Coklat Beryl’s bukan sahaja destinasi yang sedap dilawati tetapi juga penuh ilmu! Murid dapat belajar tentang proses pembuatan coklat – dari biji koko hingga menjadi produk siap.
Lawatan ini memperkenalkan konsep keusahawanan dan industri makanan kepada murid, selain memberi peluang mereka membeli hasil coklat tempatan yang terkenal di seluruh dunia.
6. Muzium Negara, Kuala Lumpur
Muzium Negara ialah tempat wajib untuk memahami sejarah dan budaya Malaysia. Murid boleh melihat artifak lama, pakaian tradisional, model rumah, dan pameran zaman penjajahan.
Dengan empat galeri utama (Prasejarah, Kerajaan Melayu, Penjajahan dan Malaysia Moden), lawatan ini membantu murid menghargai warisan negara sambil belajar dengan cara visual dan menyeronokkan.
7. Aquaria KLCC
Aquaria KLCC menawarkan pengalaman dunia bawah laut yang menakjubkan di tengah bandar. Murid dapat melihat lebih 5,000 spesies hidupan laut termasuk jerung, pari dan ikan tropika.
Terowong bawah laut sepanjang 90 meter membolehkan murid merasai pengalaman seolah-olah berada di dasar laut sebenar. Lawatan ini membuka minda tentang ekosistem marin dan kepentingan menjaga kebersihan lautan.
8. Farm in the City, Seri Kembangan
Farm in the City ialah ladang interaktif yang sangat sesuai untuk kanak-kanak sekolah rendah. Murid boleh memberi makan haiwan seperti arnab, kambing, kura-kura dan burung jinak.
Mereka juga belajar tentang pertanian bandar, kitar semula dan penjagaan haiwan. Suasana ladang yang bersih dan mesra kanak-kanak menjadikan lawatan ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Kesimpulan
Kesemua tempat lawatan menarik di Malaysia untuk murid sekolah rendah ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga sarat dengan ilmu dan pengalaman berharga. Ibu bapa serta guru boleh menjadikan senarai ini panduan untuk merancang lawatan yang mendidik dan menggembirakan anak-anak.
Bukan sekadar bersembang kosong, berinteraksi dengan anak adalah salah satu cara paling efisyen dan membuatkan anak lagi cepat bercakap.
Disebabkan itulah pentingnya penglibatan ibubapa dan orang dewasa dalam merangsang bahasa dan komunikasi kanak-kanak. Puan Aisyah Kassim, yang merupakan Patologis Pertuturan-Bahasa berkongsi tip untuk ibu bapa membantu anak-anak yang lambat bercakap.
Berikut beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibubapa untuk merangsang perkembangan bahasa dan komunikasi mereka.
Bertentang Mata Dan Main Bersama
Kanak-kanak belajar melalui aktiviti bermain. Akan tetapi mereka memerlukan teman bermain untuk mereka mempelajari bahasa dan komunikasi. Siapa lagi orang yang paling sesuai untuk menjadi teman mereka selain ibubapa dan adik beradik yang lain. Kedudukan yang terbaik untuk berkomunikasi bertentang mata. Ini memudahkan kanak-kanak melihat dan memahami maksud perkataan yang cuba disampaikan oleh orang dewasa. Tambah pula, ianya lebih menarik minat anak untuk memberi perhatian pada apa yang anda cakapkan dan sekaligus akan lebih mudah untuk kanak-kanak belajar.
Galakkan Giliran
Samada sedar ataupun tidak, kita bercakap dan berkomunikasi dalam bentuk giliran, iaitu seorang bercakap, seorang mendengar, seorang bertanya, seorang menjawab, seorang memberi arahan, seorang lagi melakukan arahan. Oleh itu, untuk kanak-kanak bercakap dan berkomunikasi dengan baik, mereka perlu mempelajari kemahiran giliran. Pada awalnya kanak-kanak mempelajari giliran dalam bermain dan seterusnya mereka menggunakan kemahiran tersebut untuk berbual pula.
Contoh permainan yang menggalakkan giliran adalah seperti bermain “peek a boo”, bergilir memasang lego, bergilir-gilir mengetuk gendang dan banyak lagi. Asasnya di sini adalah kanak-kanak perlu faham bahawa mereka perlu menunggu, melihat dan memberi respon yang bersesuaian dengan reaksi orang lain.
Gunakan Isyarat Tangan (gesture)
Bagi kanak-kanak, kesemua bahasa adalah asing bagi mereka. Sebarang isyarat akan membantu mereka memahami bahasa dengan lebih baik. Bayangkan sekiranya seseorang menyebut “besar” tanpa isyarat tangan dan sebutan “besar” dengan isyarat tangan. Sudah semestinya dengan isyarat akan membolehkan kita faham perkataan tersebut dengan lebih baik.
Samalah juga apabila kanak-kanak ingin mempelajari bahasa. Kita boleh membantu mereka untuk memahami perkataan dengan menambahkan isyarat tangan kepada perkataan-perkataan untuk menggambarkan maksud perkataan tersebut dengan lebih baik.
Haluan Dan Minat Anak
Cara yang efektif untuk kanak-kanak mempelajari bahasa dengan baik adalah kita mengikut haluan dan minat mereka. Caranya adalah dengan memerhatikan minat anak, mendengar apa yang disebut atau dihasilkannya sambil menunggu apa yang ingin disampaikan oleh anak. Kemudian barulah kita cuba memberikan respon bagi menarik minat mereka untuk berinteraksi dengan kita.
Ceritakan Perasaan & Pengalaman
Persekitaran, perasaan dan pengalaman yang dilalui oleh anak boleh ditukarkan ke dalam bentuk perkataan untuk mereka sebut dan gunakan dalam kehidupan harian. Ibubapa boleh menceritakan apa yang dilihat, dipegang atau dirasai oleh kanak-kanak untuk memberikan input bahasa yang bersesuaian. Sebagai contoh kanak-kanak bermain bola dan terjatuh.
Anda boleh menceritakan aksi yang dilakukan oleh kanak-kanak seperti ‘baling bola’ ‘tangkap bola’, ‘bola jatuh’, ‘sakit’ dan lain-lain perkataan yang bersesuaian pada situasi tersebut. Pembelajaran secara langsung dari pengalaman adalah lebih berkesan berbanding pembelajaran dengan hanya melihat gambar atau mendengar perkataan sahaja.
Pelbagaikan Perkataan & Ayat
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Rowe (2012), kanak-kanak 1-2 tahun perlu didedahkan dengan kuantiti perkataan yang banyak untuk membolehkan mereka mempelajari perkataan yang lebih kompleks apabila mencecah usia 3 tahun. Terdapat pelbagai jenis perkataan yang kita gunakan seperti kata nama (nama orang, objek dan tempat), kata kerja (perbuatan), kata sifat (saiz, warna, suhu, bentuk), kedudukan, perasaan dan macam-macam lagi. Ini penting bagi membolehkan kanak-kanak menyambungkan ayat mereka sendiri.
Panjangkan Ujaran Anak
Kanak-kanak pada usia 1 tahun biasanya bercakap menggunakan perkataan tunggal. Apabila mereka mencecah usia 2 tahun, mereka akan mula menyambungkan ayat 2 perkataan dan seterusnya 3 perkataan pada usia 2 tahun 6 bulan. Apabila berusia 3 tahun, kanak-kanak sudah boleh menggabungkan 4 dan lebih perkataan dalam ayat.
Bagi kanak-kanak yang lambat bercakap, mereka biasanya sukar untuk menyambungkan ayat. Oleh itu adalah penting untuk kita membantu mereka dengan memberi contoh dan model bagaimana untuk menyambung ayat. Cara yang mudah adalah dengan memanjangkan bunyi atau perkataan yang disebutkan oleh anak. Sebagai contoh:
Anak : Miau.. Ibu : Miauu .. kucing
Anak : kucing Ibu : Aah, kucing comel
Kuncinya di sini adalah ibubapa menambahkan perkataan pada apa yang disebutkan oleh anak untuk menjadikannya lebih panjang. Tapi ingat, ibubapa tidak perlu memaksa anak untuk menyebutkan semula ayat anda sebutkan. Cukuplah dengan anda menyebut dan mengulang untuk mereka dengar dan faham.
Sentiasalah mengulangi satu-satu perkataan itu bagi membantu kanak-kanak mengingati perkataan yang mereka pelajari. Gunakan perkataan yang diajar secara berulang-ulang dalam situasi yang berbeza untuk membolehkan kanak-kanak membuat generalisasi dan menggunakan perkataan tersebut dengan betul dan bermakna.
Kanak-kanak bercakap dan berkomunikasi adalah dengan niat, kehendak dan keperluan yang pelbagai. Dalam mengajar kanak-kanak bercakap dan berkomunikasi, ketersediaan peluang bagi mereka untuk belajar dan mempraktikkan apa yang mereka pelajari adalah penting kerana pembelajaran tanpa praktikal yang berulang-ulang akan membuatkan maklumat tersebut hilang fungsinya dan lama-kelamaan akan hilang dan dilupakan oleh kanak-kanak.
Jarang-jarang berkongsi tentang kisah anak daranya di laman sosialnya, kemunculan puteri tunggal kesayangan penyanyi dan penyampai radio Zayan, Mawi mencuri perhatian ramai.