
Korang tahu tak, anak kepada angkasawan negara kita, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, baru-baru ini terbang jauh ke Universiti Oxford, United Kingdom?
Nama dia Sophea Natasha, atau mesra dipanggil Tasha. Walaupun baru berusia 12 tahun, Tasha terpilih menyertai program kepimpinan selama seminggu di universiti terkenal itu. Bukan sambung belajar ya, tapi pengalaman istimewa yang sangat bermakna.
Wah, hebatnya Tasha!

Pertemuan Singkat Di KLIA Sarat Makna
Menerusi satu perkongsian menyentuh hati di Instagram, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi detik pertemuan ringkas bersama anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Apa yang buatkan ramai tersentuh, beliau baru sahaja tiba dari Sukan SEA di Thailand sebagai pengurus skuad taekwondo negara. Tanpa berehat, beliau terus bergegas ke Pintu C22 semata-mata untuk bertemu Tasha sebelum anaknya berlepas.
Walaupun masa yang ada sangat singkat, momen itu cukup bermakna buat seorang ayah yang penuh rasa rindu dan kasih sayang. Dalam kesibukan menjalankan tugas negara, keluarga tetap menjadi keutamaan.
“Hari ini Tasha berlepas ke Universiti Oxford, United Kingdom untuk menyertai program kepimpinan selama seminggu. Syukur, sempat juga berjumpa di lapangan terbang,” tulis beliau ringkas tetapi penuh emosi.

Doa Ayah Iringi Langkah Anak
Sebagai seorang ayah, Dr Sheikh Muszaphar tidak lupa mengiringi langkah anaknya dengan doa yang mendalam. Beliau berharap pengalaman berada di salah sebuah universiti terbaik dunia itu menjadi pembakar semangat buat Tasha.
“Semoga Oxford menjadi sumber inspirasi buatnya agar suatu hari nanti belajar di sana, berani memasang impian yang tinggi, terbang setinggi-tingginya menuju kecemerlangan dan kejayaan di dunia serta di akhirat. Aamiin,” luahnya penuh harapan.
Inspirasi Untuk Semua Kanak-kanak
Kisah Tasha ini memberi inspirasi kepada semua kanak-kanak bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta pengalaman hebat. Dengan usaha, disiplin dan sokongan keluarga, impian besar boleh mula dibina sejak kecil.
Siapa tahu, suatu hari nanti korang pula yang menjejakkan kaki ke universiti hebat dan membawa nama Malaysia ke seluruh dunia.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!







