
Alisya Zehra, budak comel berusia 7 tahun ini memang lain daripada yang lain. Walaupun kecil, bakat dia besar gila! Bayangkan, pada usia yang begitu muda, dia dah berjaya mengumpul lebih daripada 60 pingat daripada pelbagai pertandingan catur. Memang luar biasa.
Macam Mana Alisya Boleh Hebat Sangat Main Catur?
Semuanya bermula sejak umur 4 tahun. Setiap kali abang dia, Aiman, main catur, Alisya Zehra mesti akan datang dan “kacau”. Dari sekadar tengok-tengok, tiba-tiba minat itu berkembang jadi bakat yang semakin menyerlah. Bila umur 5 tahun, dia dah mula dapat pingat pertama. Lepas tu, setiap pertandingan jadi macam medan latihan untuk dia asah strategi dan idea baru.

Bintang Cilik Yang Semakin Bersinar
Sekarang, paling power, Alisya ialah Juara Catur Kebangsaan U8G. Dan khabarnya pada April lalu, Alisya juga turut bertanding untuk melawan pemain terbaik dari seluruh dunia. Memang kelas antarabangsa!
Jurulatih abang dia, Encik Ismail Ahmad, adalah orang pertama yang nampak bakat besar Alisya. Sebab itu ibu dan ayah Alisya terus hantar dia ke kelas catur peribadi untuk asah bakat luar biasa yang dia ada.
Dah Sertai Lebih 70 Pertandingan
Walaupun baru 7 tahun, Alisya Zehra dah sertai lebih 70 pertandingan. Antara pertandingan besar yang dia pernah masuk termasuk:
- Annual Russian House Open Chess Tournament
- Pearl Point Shopping Mall Chess Tournament
- 18th IGB Malaysian Chess Festival
Kebanyakan masa, dia menang kategori Bawah 7 Tahun atau Bawah 12 Tahun. Tak hairanlah nama dia semakin terkenal dalam komuniti catur di Malaysia.
Rahsia Kehebatan, Latihan & Sokongan Keluarga
Ibu dan ayah Alisya sangat menyokong perjalanan dia. Hampir setiap minggu, mereka bawa dia ke pertandingan. Memang penat, tapi penuh semangat. Untuk persiapan mewakili pertandingan, Alisya lakukan latihan intensif setiap Ahad dari pukul 9 pagi sampai 4 petang.
Bukan itu sahaja. Setiap hari, Alisya buat sekurang-kurangnya 100 puzzle catur. Dia juga main secara dalam talian untuk tambah pengalaman. Disiplin dia memang luar biasa untuk seorang budak berusia 7 tahun.
Impian & Harapan Seorang Bintang Catur
Alisya ada misi besar tahun ini iaitu dia nak capai 100 pingat! Dan lagi satu, dia nak jadi Women Grand Master pertama di Malaysia. Itu satu gelaran tertinggi dalam dunia catur wanita, dan dengan semangat serta bakat dia, memang tak mustahil.
Ibu dan ayah Alisya berharap satu hari nanti dia dapat harumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Kita pun sama-sama doakan dia berjaya.
Inspirasi Untuk Semua
Kisah Alisya Zehra membuktikan bahawa bila ada minat yang mendalam, latihan yang konsisten dan sokongan keluarga, kita boleh capai apa sahaja. Semangat dia menjadi inspirasi kepada ramai, terutama kanak-kanak lain yang juga ada bakat dalam bidang tersendiri. Dia bukan sekadar pemain catur, tapi contoh nyata bahawa usia bukan halangan untuk berjaya.
Semoga perjalanan Alisya terus berkembang dan namanya terus bersinar sebagai bintang catur masa depan negara.




