Di sebuah padang yang luas, tinggal dua sahabat, Semut dan Belalang. Setiap hari, Semut bekerja keras mengumpul makanan untuk persediaan musim sejuk.
Dia rajin mengangkut biji-bijian, daun, dan makanan lain ke sarangnya. Belalang, sebaliknya, tidak suka bekerja. Dia hanya bermain muzik dan bersenang-senang di bawah cahaya matahari.
“Hai Semut, kenapa kau bekerja keras sangat? Musim sejuk masih lama lagi! Marilah berseronok denganku,” ajak Belalang sambil bermain biolanya.
Semut tersenyum, tapi terus bekerja. “Belalang, kau harus bersiap sedia sebelum musim sejuk tiba. Jika tidak, kau akan kelaparan nanti. Aku perlu pastikan sarangku penuh dengan makanan,” kata Semut sambil membawa sebutir gandum.
Belalang tidak mendengarkan nasihat Semut. Setiap hari, dia bersantai dan bermain muzik, menikmati hidup tanpa sebarang rasa risau. Hari demi hari, Semut semakin sibuk menyimpan bekalan makanan, manakala Belalang terus berseronok.
Akhirnya, musim sejuk tiba. Angin bertiup kencang, dan salji mula turun menutupi padang yang dulunya hijau. Semut berada di dalam sarangnya yang hangat dan penuh dengan makanan. Dia tidak risau tentang apa-apa kerana persiapannya sudah sempurna.
Namun, Belalang tidak begitu beruntung. Dia kedinginan dan kelaparan kerana tidak mengumpul makanan sewaktu musim panas. Tiada tempat untuk berlindung, tiada makanan untuk dimakan. Belalang berasa sangat menyesal kerana tidak mendengarkan nasihat Semut.
Dengan tubuh yang lemah dan menggigil, Belalang pergi ke sarang Semut. Dia mengetuk pintu sarang dan berkata, “Semut, tolong aku. Aku kelaparan dan kesejukan. Bolehkah kau berkongsi makanan dengan aku?”
Semut, walaupun tahu Belalang telah mengabaikan nasihatnya, tetap berhati mulia. “Masuklah, Belalang. Aku akan berkongsi makanan dengamu, tetapi ingatlah pelajaran ini. Musim panas adalah masa untuk bersiap sedia, bukan hanya untuk berseronok.”
Belalang tersentuh dengan kebaikan Semut dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya lagi. Sejak dari hari itu, Belalang belajar tentang pentingnya kerja keras dan persiapan, serta menghargai setiap saat yang dimilikinya.
Tamat.
Cerita ini mengajar kanak-kanak tentang kepentingan kerja keras, persediaan untuk masa depan yang dianggap remeh akan tetapi dengan persediaan awal akan membantu dalam kehidupan, dan nilai memberi bantuan kepada orang yang memerlukan, walaupun mereka pernah melakukan kesilapan.