
Benarlah aura si comel Muhammad Aniq Redzuan atau Bang Aji ini bukan biasa-biasa. Setiap kali melihat wajah dan keletah comelnya di media sosial hati tercuit rasa sayang. Apa lagi kala bertemu dengannya secara berdepan.
Pelawaan Bintang Kecil & Pa&Ma sebagai Cover Digital 2025 disambut baik oleh keluarga khusus bagi meninggalkan memori dizaman kecil buat anak mereka.

Bapanya, Mohd Redzuan Zainol berkongsi kisah istimewa anak kecil ini sehingga disayangi malah disenangi ramai orang.
Muhammad Aniq yang dilahirkan pada 10 Ogos 2021 ini benar-benar mampu membuatkan ramai cair. Malah Bang Aji yang kini menginjak usia empat tahun rupanya seorang anak yang cukup disenangi oleh keluarga.
Kisah Bayi Comel Seberat 2.6kg
Berkongsi kisah Bang Aji di waktu kecil, ujar bapanya, Bang Aji satu-satunya anaknya yang paling kecil dengan berat 2.6kg sahaja ketika dilahirkan.
Malah kongsi bapanya lagi, Bang Aji yang dilahirkan waktu PKP ketika itu meninggalkan banyak memori buatnya dan isteri.
“Berbanding abang dan dua kakaknya, berat Bang Aji boleh saya katakan paling kecil dengan 2.6kg sahaja ketika dilahirkan.
“Sama macam bayi lain, Bang Aji membesar macam biasa cuma dia memang suka minum susu.
“Saya masih ingat lagi waktu Bang Aji lahir, waktu tu zaman PKP jadi nak tak nak semua benda kena buat sendiri termasukkan mencukur rambutnya waktu bayi.
“Disebabkan bidan tak boleh datang ke rumah, saya buat sendiri, saya pegang kepala dan cukur rambut Bang Aji sendiri,” kongsi bapanya lagi.

Pemilik Karakter Kelakar
Disebalik perwatakan Bang Aji yang begitu bersahaja, rupanya anak kecil kesayangan ramai ini memiliki karakter yang cukup kelakar bila berada di rumah.
Bahkan kata bapanya, Bang Aji juga sering membuatkan mereka sekeluarga terhibur dengan gelagat comelnya. Ada sahaja yang dilakukan yang tidak terjangkau dek akal.
“Setiap benda yang dia buat di rumah, dari kecil lagi memang kelakar.
“Boleh saya katakan setiap pergerakan Bang Aji memang kelakar malah dia paling ramah berbanding abangnya,”ujarnya lagi.

Bang Aji Pandai Bergaya
Sentuhan kreatif berpengalaman dan penuh magis dari jurugambar @newbornbytakara membuahkan hasil cukup magis bila mana setiap aksi dan keletah comel Bang Aji dipotretkan sebaiknya oleh jurukamera berpengalaman ini dengan cukup sempurna.
Paling membanggakan, Bang Aji yang sudah terbiasa dengan kamera ini mampu bekerjasama dan memberikan pose yang cukup menarik untuk dipotretkan.
Bang Aji muncul dengan gaya yang cukup matang dan bersahaja. Cukup dengan hanya tersenyum manis dan memberikan sedikit gaya, aura Bang Aji sudah berjaya dirakam dengan cukup sempurna. Memang hebat!
Kata bapanya lagi, jika diminta untuk muncul dikamera, Bang Aji tidak lokek malah boleh memberi kerjasama dengan baik ketika merakam aksinya menerusi video-video mereka di media sosial.

Mula Dikenali Ramai
Tambah bapanya lagi, dia dan keluarga yang pada mulanya agak terkejut dengan penerimaan wargamaya terhadap anaknya namun kini sudah mula terbiasa.
Malah dia sendiri tidak menyangka penangan video pertamanya bersama anak keempatnya itu mendapat perhatian ramai.
“Video yang viral tu sebenarnya saja saya rekod dan tak sangka view video nyanyian mendapat perhatian ramai.
“Bila view tinggi, saya post lagi video Bang Aji dan semuanya tinggi. Bermula dari saat itu saya mula merakam dan post video Bang Aji di media social.
“Jujurkan saya sendiri jarang bermain media social dan pada mulanya kami sekeluarga agak terkejut dengan sambutan ramai pada Bang Aji tapi kami mula membiasakan diri.
“Saya tak nafikan Bang Aji ada aura dan daya tarikan untuk orang lain nak tengok dan suka Bang Aji. Dulu zaman tak ada Tik Tok tapi lain sekarang dengan kuasa Tik Tok yang begitu besar.
“Sekarang ini jujurnya kalau nak keluar berjalan terutama ke mall, saya biasanya pakaikan dia dengan topi tapi biasanya orang tetap kenal dia.
“Saya dan isteri tak ada masalah pun cuma kadang kala Bang Aji sendiri kurang selesa apatah lagi kalau disentuh orang ramai,” katanya lagi.
Akui bapanya lagi, tempias populari Bang Aji turut dirasai ahli keluarga lain.
“Kadang-kadang ada kawan-kawan anak lain yang suka datang hendak tengok Bang Aji dirumah. Begitu juga dengan kawan-kawan neneknya yang sentiasa menjadi peminat setia Bang Aji,” konsinya lagi.

Pastikan Bang Aji Jalani Hidup Normal
Bagi memastikan anak bongsunya ini tidak terlepas momen berharga di waktu kecilnya, sebagai bapa dia sentiasa memastikan Bang Aji ada ruang untuk dirinya sendiri terutama ketika bermain.
“Biasanya kalau saya nak ke mana-mana, saya akan bawa team saya sendiri untuk pastikan Bang Aji terjaga.
“Contohnya kalau dia nak main di event, saya bawa ramai supaya masing-masing boleh kawal Bang Aji dan tidak menghalang apa yang Bang Aji suka.
“Boleh saya katakan bila berada dalam situasi macam ini tidaklah menjadi satu halangan buat kami, cuma Bang Aji sendiri kalau nak kemana-mana mesti dengan saya. Apa-apa dia cari ayah dulu,” ujarnya lagi.
Si comel Muhammad Aniq ini rupanya bakal memasuki alam persekolahan bermula awal tahun hadapan. Semoga Bang Aji terus sihat dan memasuki alam persekolahan dengan baik dan cemerlang.
Doa Buat Bang Aji
Menutup kisah penuh inspirasi ini, Bang Aji kini bersedia memasuki alam persekolahan awal tahun hadapan. Semoga si comel penuh aura ini terus sihat, membesar dengan bahagia dan berjaya dalam apa jua yang dilakukan.
Memang benar, aura Bang Aji tak boleh lawan – pesonanya buat semua yang melihat terus cair!




