Oddah nama yang semakin menjadi sebutan dalam dunia hiburan tanah air. “Nak tunjuk siapa saya”, itulah semangat yang dibawa oleh Auddra Zulkifly, atau lebih dikenali sebagai Oddah, ketika melangkah ke dalam arena hiburan melalui program realiti Talk To My Manager (TTMM).
Oddah kini semakin menyerlah, malah bakat nyanyian dan auranya sebagai penghibur semakin dipersetujui ramai. Tak hairanlah nama Oddah kini mula meniti di bibir peminatnya.
Temubual Eksklusif Bersama Oddah
Terbaru, Bintang Kecil berkesempatan menemubual Oddah menerusi Podcast Bintang Kecil. Anak keempat kepada penyampai radio terkenal, Sharifah Shahirah atau lebih mesra disapa Kak Rara ini cukup petah berkata-kata dan penuh keyakinan.
Kisah Oddah Anak Angkat Tok Ti
Sejak kecil lagi, Oddah atau nama sebenarnya Auddra dikenali sebagai anak angkat kepada penyanyi nombor satu negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Dalam temubual itu, Oddah sempat bercerita tentang pengalaman manisnya bersama Dato’ Siti yang dipanggilnya Mummy Siti.
“Sebenarnya bukanlah anak angkat sangat sebab dulu, masa mama buat cukur jambul Oddah, Mummy Siti datang dan waktu itulah Mummy Siti puji Oddah comel.
Ads
Dan waktu Oddah kecil pun sebenarnya Mummy Siti selalu datang rumah dan asyik kendong Oddah bawa masuk dalam kereta dia,” ujar Oddah bercerita.
Malah kata Oddah lagi, Dato’ Siti pernah memberinya nasihat berharga untuk menempuh dunia seni.
“Dato’ Siti pernah nasihatkan Oddah kena kerja keras bila nak berada ‘on top’ dan paling penting kena belajar dan disiplin kena ada,” tambah Oddah.
Ads
Persahabatan Dalam Program Talk To My Manager
Selain kisah peribadi, Oddah turut bercerita tentang persahabatannya bersama peserta lain dalam Talk To My Manager. Akui Oddah, dia paling rapat dengan Ammar dan Hadie.
“Ada dua je, Ammar dan Hadie. Kami kan trio mood, kadang pening pulak dengan trio mood ni.
“Sebab Ammar dan Hadie ni nampak pendiam tapi sebenarnya sama kepala macam saya.
“Lagipun beza umur Ammar dengan Hadie tak jauh dengan saya, sebab itulah kami boleh ngam,” katanya dengan senyuman.
Ads
Tekanan Di Minggu Keenam
Berkongsi tentang perjalanan menerusi program Talk To My Manager, Oddah tidak menafikan dia dan peserta lain berdepan tekanan yang kuat pada minggu keenam pertandingan itu.
“Minggu keenam tu Oddah pressure sangat, waktu tu rehearsal dan ada satu ketika tu Oddah lari masa tengah borak dengan peserta lain. Oddah lari masuk bilik dan kawan-kawan datang pujuk.
“Rupanya mereka pun hadapi masalah yang sama dengan Oddah. Dari situ kami mula kenal lebih rapat lagi,” ceritanya dengan jujur.
Semangat & Inspirasi
Walau berdepan cabaran, Oddah tetap meneruskan perjuangan dengan semangat tinggi. Inspirasi daripada Dato’ Seri Siti Nurhaliza serta dorongan keluarga menjadikan Oddah antara bintang muda yang wajar diberi perhatian.
Dengan disiplin, usaha, dan bakat yang dimilikinya, ramai menjangkakan Oddah bakal menjadi pelapis baru dalam dunia seni suara Malaysia. Kisahnya membuktikan bahawa nasihat yang baik, semangat dan kerja keras mampu membawa seseorang menuju kejayaan.
Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Tahun ini merupakan kali kedua BK Mini Fest dianjurkan. Kemeriahan dapat disaksikan sepanjang BK Mini Fest 2023 di mana acara ini telah menghimpunkan lebih 2000 orang kanak-kanak!
Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN
Bagi memulakan BK Mini Fest 2023, acara pertama yang diadakan adalah Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN yang melibatkan lima buah sekolah sekitar Shah Alam menghantar wakil untuk perbarisan serta pertandingan Haka. Setiap sekolah melibatkan 50 orang murid yang mewakili badan beruniform pilihan mereka.
Badan beruniform yang terlibat adalah Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dari SK Bandar Anggerik, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) dari SK Bandar Anggerik, Pandu Puteri Tunas dari SK Padang Jawa, Pengakap dari SK Seksyen 19 serta Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dari SK Seksyen 9.
Perbarisan mereka telah diiringi oleh pancaragam SMK Kepong dan kesemua peserta telah memaparkan semangat juang dengan formasi kawad kaki menarik serta gimik tersendiri untuk memikat hati juri. Selesai pertandingan kawad kaki, kesemua pasukan diminta untuk menghantar 10 orang wakil mewakili badan beruniform mereka untuk mempersembahkan Hakka. Ternyata kesemua peserta sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh bagi merebut gelaran juara untuk pertandingan ini.
Tahniah buat badan beruniform BSMM dari SK Seksyen 9 yang telah menjuarai pertandingan perbarisan serta TKRS dari SK Bandar Anggerik yang berjaya merangkul kemenangan bagi kategori Hakka.
Perasmian BK Mini Fest Meriah
Menariknya acara Himpunan Badan Beruniform Mega X PTPTN ini kerana turut diserikan dengan kehadiran Angkasawan Negara, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar yang telah berkongsi tentang tip kejayaan beliau.
Selain itu, kehadiran Dr. Sheikh Muszaphar juga adalah untuk merasmikan BK Mini Fest 2023 bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv Sdn. Bhd, En. Syamil Fahim Mohamed Fahim serta Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, En. Azhar Ahmad.
Dewi Cilik Bintang Kecil Pertama Dinobatkan
Pada sebelah petang 19 Ogos 2023, acara diteruskan dengan pertandingan Dewi Cilik Bintang Kecil 2023. Dari 200 penyertaan yang diterima, akhirnya seramai 10 orang kanak-kanak perempuan berusia 8-12 tahun telah dipilih sebagai finalis Top 10 Dewi Cilik.
Kesemua finalis telah diuji melalui catwalk mereka serta keyakinan mereka. Selain itu, mereka turut melalui cabaran Tiktok di mana mereka perlu menari apabila mendengar lagi viral di aplikasi itu yang dimainkan secara rawak.
Para juri yang bertanggungjawab untuk menobatkan gelaran Dewi Cilik Bintang Kecil 2023 pada hari itu adalah Pn. Norfarhati Abdul Hakim yang merupakan pengasas Mewah Rose dan juga pernah memenangi pertandingan Miss Catwalk 2012 serta Pensyarah Senior dalam jurusan seni fesyen dari UiTM Shah Alam iaitu En. Faizal Hamid.
Selain itu, bekas Dewi Remaja 2019/2020 iaitu Shaza Bae turut menjadi juri untuk pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan buat Nur Farisha Dania yang telah dinobatkan sebagai Dewi Cilik Bintang Kecil yang pertama! Pemenang tempat kedua pula adalah Nur Zara Aamily Binti Nazri manakala Syazwina Bt Mohd Taib meraih tempat ketiga pertandingan ini.
Juga sekalung tahniah diucapkan kepada Putri Diana Ellysa yang dipilih sebagai Dewi Aktif dan Putri Nur Nariesya Eizeanies yang diberikan gelaran Dewi Foto Terbaik.
Pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN
Acara pada hari Ahad pula dimulakan dengan pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN yang mendapat sambutan memberangsangkan. Seramai 200 orang kanak-kanak untuk dua kategori (Kategori A: 5-7 tahun dan Kategori B: 8-12 tahun) telah menyertai pertandingan ini.
Tambah menarik kerana kesemua peserta yang hadir bukan sahaja mempertaruhkan bakat mewarna bahkan mereka juga memperagakan pakaian kemederkaan yang unik. Sepanjang masa anak-anak mewarna ibu bapa pula dapat mendengar perkongsian menarik tentang ilmu simpanan dari Pn. Wan Zawiah Wan Abu Bakar (Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN) serta selebriti popular Yana Samsudin.
20 Finalis BK Fantastic X Karihome Tonjol Bakat
Kanak-kanak milenial mempunyai potensi yang sangat besar.Oleh itu, Bintang Kecil telah menganjurkan BK Fantastic X Karihome yang mendapat sehingga 500 penyertaan kanak-kanak dari serata Malaysia. Akhirnya 20 orang telah terpilih untuk ke peringkat akhir.
Pelbagai jenis bakat yang dipertaruhkan seperti nyanyian, tarian, bermain alat muzik, sukan dan banyak lagi. Dengan persediaan rapi serta keyakinan tinggi, kesemua 20 persembahan para peserta telah memukau hadirin yang ada.
Tiga orang juri telah diberikan kepercayaan untuk memilih pemenang. Selain Miss Jessie yang mewakili Karihome, dua lagi juri lain adalah Dr. Haji Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pakar Motivasi) serta penyanyi, komposer dan pelakon terkenal iaitu Mark Adam turut bertanggungjawab untuk mengadili persembahan setiap peserta.
Tahniah diucapkan buat juara BK Fantastic X Karihome iaitu penari dari Kumpulan Putera Arts Talent Production, pemenang tempat kedua Mika Adam Mikael yang bermain violin serta Nurdania Batrisya menduduki tempat ketiga dengan persembahan nyanyian.
Putaran Mega BK Mini Fest 2023 Tawar Hadiah Menarik
Salah satu daya tarikan untuk BK Mini Fest 2023 adalah acara Putaran Mega BK Mini Fest yang memberi peluang kepada para pengunjung untuk memenangi pelbagai hadiah menarik. Kepada pembeli barangan Karihome atau pembukaan akaun Simpan SSPN bernilai RM20 ke atas, berpeluang untuk membuat putaran roda.
Sekiranya mereka menerima tiket emas untuk ke Putaran Mega BK Mini Fest, mereka berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan seperi komputer riba, baucar percutian, beg berjenama mewah, baucar membeli-belah dan banyak lagi. Tahniah kepada Pn. Nor Hafida kerana berjaya memenangi hadiah utama yang berupa komputer riba tajaan Acer!
Aktiviti Untuk Ibu Di Mini Stage
Bukan sahaja aktiviti di pentas utama, BK Mini Fest turut memberi ruang kepada para ibu untuk ‘me-time’ di pentas mini. Pada hari Sabtu telah diadakan acara Lindungi Anak Anda! bersama tiga orang panel jemputan iaitu Kaunselor Laktasi Pn. Noorfazila Abdul Rahman, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Dr. Maiza Tusimin serta Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga & Organisasi, Dr. Hajah Azuraida Shahadan.
Selain itu pada hari Ahad pula telah diadakan Mama Zumba Sweat It Out! bersama Zin Belle dan 30 orang para ibu yang telah berzumba beramai-ramai di pintu masuk utama Plaza Shah Alam. Selepas berzumba, mereka kemudiannya mendengar perkongsian tentang diet dari Pegawai Dietetik bertauliah, Pn. Laila Fadhilah Omar dari SALAM Shah Alam Specialist Hospital.
Banyak Tarikan Lain
Selain pelbagai acara menarik di pentas utama dan pentas mini, terdapat banyak aktiviti lain yang ada di Plaza Shah Alam selama dua hari BK Mini Fest 2023 berlangsung.
Booth seperti zoo mini dari Farm In The City, lukisan muka, inai, gula-gula kapas serta kolam bola dari Poolkidz, booth KUEH yang turut menaja makanan di setiap aktiviti Mini Stage dan banyak lagi turut mendapat sambutan dari pengunjung yang hadir.
Sememangnya acara dua hari ini telah merapatkan hubungan kekeluargaan serta mencungkil potensi kanak-kanak yang datang. Diharapan penganjuran acara BK Mini Fest 2023 dapat memberi manfaat kepada kesemua yang hadir memberikan sokongan.
Adik-adik tahu tak ‘The Chosen One 2024’ telah kembali lagi?
Astro kembali memperkenalkan bakat-bakat baharu dalam ‘The Chosen One 2024’ yang akan bermula pada 20 September ini. Seramai 16 peserta berbakat dari seluruh Malaysia, berumur 11 hingga 17 tahun, telah dipilih untuk menyertai The Chosen One 2024!
Mereka ini mempunyai latar belakang yang hebat! Antaranya, juara pertandingan nyanyian, bintang media sosial, dan juga bakat baru yang belum pernah bertanding sebelum ini.
Dari 16 peserta ini, hanya 8 duo yang berjaya memikat hati coach selebriti akan dipilih untuk bergandingan dengan mereka. Setiap duo akan bersaing di pentas utama untuk merebut gelaran juara. Siapakah yang akan menjadi bintang seterusnya!
Adik-adik ini akan digandingkan dengan penyanyi terkenal seperti Tomok, Aepul Roza, Amir Jahari, Sufian Suhaimi, Suki Low, Adira Suhaimi, Wany Hasrita dan kembar berbakat Firdaus Rahmat & Fahimi Rahmat sebagai coach untuk merebut gelaran juara. Bukan calang-calang orang barisan coach kali ini!
Musim kedua ini akan jadi lebih hebat dengan Dato’ Awie, legenda rock Malaysia, sebagai juri tetap! Bersama beliau, ada Jaclyn Victor, penyanyi hebat yang dah menang banyak anugerah.
Setiap episod akan dikendalikan oleh hos yang kelakar dan ceria, Jihan Muse, serta personaliti radio ERA, Haziq Hussni. Mereka semua akan memastikan rancangan ini penuh aksi dan keseronokan!
Jangan lupa saksikan ‘The Chosen One 2024’ yang akan bermula pada 20 September ini! Setiap hari Jumaat, jam 9 Malam di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Ria (saluran 104).
Pernah tak tengok bilik sendiri penuh dengan mainan berselerak, baju tak berlipat, dan buku bertaburan? Kalau bilik macam tu, susah nak cari barang dan rasa serabut, kan? Tapi jangan risau! Kemas bilik sebenarnya tak susah pun. Malah, ia boleh jadi seronok macam bermain!
Jom tengok macam mana nak jadi Superhero Cilik yang pandai kemas bilik sendiri!
1. Jadikan Kemas Bilik Sebagai Permainan
Kawan-kawan boleh buat pertandingan dengan diri sendiri. Cuba kira berapa cepat boleh susun mainan atau lipat baju! Kalau semalam ambil masa 10 minit, hari ni cuba 8 minit pula. Wah, dah makin pantas macam Flash!
2. Pasang Lagu Ceria
Sambil kemas, pasang lagu kegemaran. Bila muzik rancak, badan pun rasa nak bergerak! Cuba nyanyi kuat-kuat sambil susun barang. Pasti tak terasa penat.
3. Mulakan Dengan Satu Bahagian Dulu
Jangan kemas semua sekali gus, nanti pening! Mulakan dengan satu tempat, contohnya meja belajar dulu. Lepas tu, baru ke rak mainan atau almari baju. Sedikit demi sedikit, bilik akan jadi cantik!
4. Cari dan Susun
Buat misi rahsia macam ejen khas!
Misi kamu: “Cari semua mainan yang hilang dan pulangkan ke kotak ajaibnya!”
Setiap kali jumpa satu, cakap kuat-kuat, “Misi berjaya!” Seronok kan?
5. Gunakan Kotak Warna-Warni
Kalau nak bilik nampak ceria, gunakan kotak simpanan berwarna-warni. Letak label seperti Mainan, Buku, atau Alat Tulis. Macam ada sistem rahsia sendiri! Bila nak cari barang, terus jumpa.
6. Beri Ganjaran Pada Diri Sendiri
Lepas siap kemas, tepuk tangan untuk diri sendiri! Boleh juga buat carta bintang, setiap kali kemas bilik, tampal satu pelekat bintang di situ. Bila cukup 10 bintang, raikan diri dengan aktiviti kesukaan, seperti tengok kartun atau makan aiskrim.
7. Jadikan Rutin Harian
Setiap hari sebelum tidur, luangkan masa 5 hingga 10 minit untuk kemas bilik. Tak lama pun! Esok pagi, bila bangun dan nampak bilik kemas, mesti hati rasa tenang dan gembira.
8. Gunakan Imaginasi
Bayangkan mainan kamu semua hidup! Bila kamu kemas, kamu sebenarnya tolong mereka balik ke “rumah” masing-masing. Patung tidur dalam kotak, kereta mainan masuk garaj, dan buku-buku berehat di rak. Hebatnya kamu, wira sebenar mereka!
9. Hias Bilik Dengan Kreativiti Sendiri
Letak poster kegemaran atau hasil lukisan kamu sendiri di dinding. Bila bilik nampak cantik hasil tangan sendiri, mesti kamu tak sampai hati nak biarkan bersepah lagi!
10. Bangga Dengan Usaha Sendiri
Ingat ya, bilik itu ruang kamu. Bila kamu jaga dan kemas sendiri, kamu sebenarnya menunjukkan bahawa kamu bertanggungjawab dan hebat! Jadi, teruskan jadi Superhero Kemas Bilik yang bangga dengan biliknya sendiri!
Ingat: Bilik kemas, hati pun ceria. Bila semuanya tersusun, belajar pun lebih seronok, tidur pun lebih lena!
Tahu tak kenapa perut berbunyi bila lapar? Ketahui sebab sebenar di sebalik bunyi “grrrkkk” dalam perut dan cara mudah mengurangkannya dengan pemakanan sihat.