Korang pernah tak pakai kasut yang dah rosak tapi masih kena pakai juga ke sekolah? Itulah yang dialami oleh dua orang murid dari Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan. Kisah mereka jadi perhatian ramai bila satu video tular di media sosial.
Dalam video tu, kelihatan dua orang adik ni terpaksa mengikat kasut sekolah mereka menggunakan getah sebab kasut tu dah tak boleh dipakai dengan elok. Walaupun nampak biasa, sebenarnya situasi tu buat ramai orang rasa sebak.
Kadang-kadang, benda yang kita anggap kecil macam kasut sekolah, sebenarnya sangat besar maknanya untuk sesetengah keluarga.
Bila Orang Dewasa Cepat Bertindak
Bila kisah ni tular, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut tak tunggu lama. Mereka terus ambil tindakan dengan menghadiahkan kasut sekolah baharu kepada dua orang murid berkenaan.
Ads
Tujuan mereka satu saja, supaya adik-adik ni boleh datang ke sekolah dengan lebih selesa, yakin dan gembira, terutama di awal sesi persekolahan.
Yang Dipertua PIBG sekolah itu juga berkongsi rasa syukur kerana dapat membantu secepat mungkin selepas mengetahui kisah tersebut. Baginya, kebajikan murid adalah perkara paling penting.
Ads
Ramai Terharu, Ramai Doakan
Bila tengok kasut baharu di kaki adik-adik tu, ramai warga maya meluahkan rasa terharu. Ada yang mendoakan supaya mereka berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.
Ada juga yang perasan wajah salah seorang adik tu yang nampak kemas dan manis. Sampai ada yang berseloroh kata adik tu sesuai jadi model pakaian sekolah!
Ads
Walaupun ada gurauan kecil, semua komen datang dengan niat baik dan penuh doa.
Wajah comel adik ni jadi perhatian ramai.
Kasih Sayang Itu Tak Perlukan Banyak
Kisah kasut sekolah yang diikat dengan getah ini mengajar kita satu perkara penting. Sedikit bantuan, kalau diberi dengan ikhlas, boleh buat seseorang rasa sangat dihargai.
Bila orang dewasa saling ambil berat dan bantu-membantu, sekolah bukan sekadar tempat belajar, tapi jadi tempat yang penuh kasih sayang dan empati.
Semoga adik-adik ini terus kuat, rajin belajar dan senyum selalu ke sekolah.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Korang setuju? Setuju atau tidak, inilah langkah terbaik buat kita. Malaysia kini bakal melaksanakan dasar baharu bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di dunia digital.
Tidak lama lagi, semua platform media sosial akan diwajibkan melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau lebih dikenali sebagai electronic Know Your Customer (eKYC). Langkah ini diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menegaskan bahawa pelaksanaan eKYC amat penting bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.
Menurut beliau, keputusan ini bertujuan menjaga keselamatan dan kesejahteraan golongan muda di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang telah ditetapkan benar-benar dikuatkuasakan oleh penyedia platform.
“Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah memberikan mesej kepada mereka bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan platform-platform media sosial melakukan pengesahan identiti terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun.
“Cuma exact timeline saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI on Wheels atau NOW di Dewan Undangan Negeri Sindumin di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa tarikh pelaksanaan rasmi akan diumumkan selepas laporan lengkap dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Minggu hadapan, satu pertemuan penting antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat-syarikat media sosial utama dijadualkan untuk membincangkan mekanisme pelaksanaan eKYC dengan lebih terperinci.
Selain isu kanak-kanak, beliau berkata proses eKYC juga penting bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.
“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam. Semalam, dalam Parlimen saya ada menjawab soalan, ada angka yang menggerunkan. 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan itu adalah daripada Facebook,” katanya.
Sementara itu, inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu NOW yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama MCMC adalah bertujuan memperluas capaian digital serta membawa kemudahan teknologi maklumat kepada komuniti luar bandar.
Langkah eKYC ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan siber, tetapi juga mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan dunia digital Malaysia menjadi lebih selamat, teratur, dan bertanggungjawab. Dengan pelaksanaan menyeluruh, Malaysia bakal menjadi antara negara terawal di rantau ini yang menetapkan pengesahan identiti sebagai syarat wajib di platform media sosial.
Sumber: Berita Harian
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Kadang-kadang mak ayah tertanya-tanya kenapa anak suka sangat makan jajan sedangkan di rumah tak pernah pun diajar atau dibelikan selalu. Ada yang rasa risau, ada juga yang mula menyalahkan diri sendiri, kononnya gagal mendidik anak dengan betul. Sebenarnya, budak suka makan jajan bukan sebab mereka degil atau sengaja tak dengar cakap orang dewasa, tetapi kerana minat terhadap jajan datang secara semula jadi dan berkait rapat dengan perkembangan otak serta emosi mereka.
Penting untuk mak ayah faham bahawa keinginan ini bukan satu tabiat buruk yang muncul tanpa sebab, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan penerokaan dunia oleh kanak-kanak.
Apabila budak nampak jajan yang bungkusannya berwarna-warni, ada gambar kartun, tulisan besar dan bentuk yang pelik, mata mereka terus tertarik. Otak budak memang sangat responsif terhadap warna cerah dan visual yang menyeronokkan. Bagi mereka, jajan bukan sekadar makanan, tetapi sesuatu yang kelihatan menyeronokkan dan mengujakan.
Inilah sebab utama kenapa budak suka makan jajan walaupun mereka belum pernah rasa atau tahu apa kandungannya. Daya tarikan visual itu sudah cukup untuk mencetuskan rasa ingin mencuba.
Kebanyakan jajan direka dengan rasa manis, masin, rangup atau kombinasi semuanya sekali. Rasa-rasa ini merangsang otak untuk menghasilkan perasaan gembira dan puas. Apabila budak makan makanan seperti ini, mereka akan rasa seronok walaupun kesannya hanya sementara.
Otak kanak-kanak memang lebih sensitif terhadap rangsangan rasa berbanding orang dewasa. Sebab itu, budak suka makan jajan kerana ia memberi tindak balas emosi yang cepat dan menyenangkan.
Kanak-kanak sangat mudah terpengaruh dengan persekitaran, terutamanya rakan sebaya. Bila mereka nampak kawan-kawan membeli dan makan jajan bersama-sama, keinginan untuk ikut serta akan menjadi lebih kuat. Dalam situasi ini, keinginan tersebut bukan datang kerana lapar, tetapi kerana mahu merasa diterima dan seronok bersama.
Budak suka makan jajan dalam keadaan ini kerana jajan menjadi simbol kebersamaan dan keseronokan sosial, bukan semata-mata soal makanan.
Jajan biasanya mudah dibuka, tidak perlu sudu atau pinggan, dan boleh dimakan sambil bergerak. Bagi budak yang aktif dan gemar bermain, jajan kelihatan sangat praktikal. Mereka boleh makan tanpa perlu berhenti lama atau duduk diam.
Keadaan ini membuatkan budak suka makan jajan kerana ia sesuai dengan gaya hidup mereka yang sentiasa bergerak dan ingin bebas.
Suka jajan bukan satu kesalahan dan bukan petanda anak nakal. Ia adalah perkara biasa dalam proses tumbesaran. Yang penting, mak ayah membantu anak memahami bila masa sesuai untuk makan jajan dan bila perlu memilih makanan lain yang lebih berkhasiat.
Dengan pendekatan yang lembut, konsisten dan penuh kasih sayang, anak akan belajar mengawal keinginan mereka sendiri.
Budak suka makan jajan bukan kerana degil atau tidak mendengar kata, tetapi kerana otak mereka tertarik dengan warna, rasa dan keseronokan. Dengan tunjuk ajar yang berterusan dan contoh yang baik, kanak-kanak boleh belajar menikmati jajan secara sederhana tanpa melupakan kepentingan makanan sihat untuk badan yang kuat dan sihat.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Pada 19-20 Ogos yang lalu, telah berlangsung BK Mini Fest 2023 di Plaza Shah Alam yang dijayakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disokong oleh Karihome bagi acara dua hari ini.
Tahun ini merupakan kali kedua BK Mini Fest dianjurkan. Kemeriahan dapat disaksikan sepanjang BK Mini Fest 2023 di mana acara ini telah menghimpunkan lebih 2000 orang kanak-kanak!
Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN
Bagi memulakan BK Mini Fest 2023, acara pertama yang diadakan adalah Himpunan Unit Beruniform Mega X PTPTN yang melibatkan lima buah sekolah sekitar Shah Alam menghantar wakil untuk perbarisan serta pertandingan Haka. Setiap sekolah melibatkan 50 orang murid yang mewakili badan beruniform pilihan mereka.
Badan beruniform yang terlibat adalah Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dari SK Bandar Anggerik, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) dari SK Bandar Anggerik, Pandu Puteri Tunas dari SK Padang Jawa, Pengakap dari SK Seksyen 19 serta Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dari SK Seksyen 9.
Perbarisan mereka telah diiringi oleh pancaragam SMK Kepong dan kesemua peserta telah memaparkan semangat juang dengan formasi kawad kaki menarik serta gimik tersendiri untuk memikat hati juri. Selesai pertandingan kawad kaki, kesemua pasukan diminta untuk menghantar 10 orang wakil mewakili badan beruniform mereka untuk mempersembahkan Hakka. Ternyata kesemua peserta sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh bagi merebut gelaran juara untuk pertandingan ini.
Tahniah buat badan beruniform BSMM dari SK Seksyen 9 yang telah menjuarai pertandingan perbarisan serta TKRS dari SK Bandar Anggerik yang berjaya merangkul kemenangan bagi kategori Hakka.
Perasmian BK Mini Fest Meriah
Menariknya acara Himpunan Badan Beruniform Mega X PTPTN ini kerana turut diserikan dengan kehadiran Angkasawan Negara, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar yang telah berkongsi tentang tip kejayaan beliau.
Selain itu, kehadiran Dr. Sheikh Muszaphar juga adalah untuk merasmikan BK Mini Fest 2023 bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv Sdn. Bhd, En. Syamil Fahim Mohamed Fahim serta Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, En. Azhar Ahmad.
Dewi Cilik Bintang Kecil Pertama Dinobatkan
Pada sebelah petang 19 Ogos 2023, acara diteruskan dengan pertandingan Dewi Cilik Bintang Kecil 2023. Dari 200 penyertaan yang diterima, akhirnya seramai 10 orang kanak-kanak perempuan berusia 8-12 tahun telah dipilih sebagai finalis Top 10 Dewi Cilik.
Kesemua finalis telah diuji melalui catwalk mereka serta keyakinan mereka. Selain itu, mereka turut melalui cabaran Tiktok di mana mereka perlu menari apabila mendengar lagi viral di aplikasi itu yang dimainkan secara rawak.
Para juri yang bertanggungjawab untuk menobatkan gelaran Dewi Cilik Bintang Kecil 2023 pada hari itu adalah Pn. Norfarhati Abdul Hakim yang merupakan pengasas Mewah Rose dan juga pernah memenangi pertandingan Miss Catwalk 2012 serta Pensyarah Senior dalam jurusan seni fesyen dari UiTM Shah Alam iaitu En. Faizal Hamid.
Selain itu, bekas Dewi Remaja 2019/2020 iaitu Shaza Bae turut menjadi juri untuk pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan buat Nur Farisha Dania yang telah dinobatkan sebagai Dewi Cilik Bintang Kecil yang pertama! Pemenang tempat kedua pula adalah Nur Zara Aamily Binti Nazri manakala Syazwina Bt Mohd Taib meraih tempat ketiga pertandingan ini.
Juga sekalung tahniah diucapkan kepada Putri Diana Ellysa yang dipilih sebagai Dewi Aktif dan Putri Nur Nariesya Eizeanies yang diberikan gelaran Dewi Foto Terbaik.
Pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN
Acara pada hari Ahad pula dimulakan dengan pertandingan Mari Mewarna Merdeka X PTPTN yang mendapat sambutan memberangsangkan. Seramai 200 orang kanak-kanak untuk dua kategori (Kategori A: 5-7 tahun dan Kategori B: 8-12 tahun) telah menyertai pertandingan ini.
Tambah menarik kerana kesemua peserta yang hadir bukan sahaja mempertaruhkan bakat mewarna bahkan mereka juga memperagakan pakaian kemederkaan yang unik. Sepanjang masa anak-anak mewarna ibu bapa pula dapat mendengar perkongsian menarik tentang ilmu simpanan dari Pn. Wan Zawiah Wan Abu Bakar (Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN) serta selebriti popular Yana Samsudin.
20 Finalis BK Fantastic X Karihome Tonjol Bakat
Kanak-kanak milenial mempunyai potensi yang sangat besar.Oleh itu, Bintang Kecil telah menganjurkan BK Fantastic X Karihome yang mendapat sehingga 500 penyertaan kanak-kanak dari serata Malaysia. Akhirnya 20 orang telah terpilih untuk ke peringkat akhir.
Pelbagai jenis bakat yang dipertaruhkan seperti nyanyian, tarian, bermain alat muzik, sukan dan banyak lagi. Dengan persediaan rapi serta keyakinan tinggi, kesemua 20 persembahan para peserta telah memukau hadirin yang ada.
Tiga orang juri telah diberikan kepercayaan untuk memilih pemenang. Selain Miss Jessie yang mewakili Karihome, dua lagi juri lain adalah Dr. Haji Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pakar Motivasi) serta penyanyi, komposer dan pelakon terkenal iaitu Mark Adam turut bertanggungjawab untuk mengadili persembahan setiap peserta.
Tahniah diucapkan buat juara BK Fantastic X Karihome iaitu penari dari Kumpulan Putera Arts Talent Production, pemenang tempat kedua Mika Adam Mikael yang bermain violin serta Nurdania Batrisya menduduki tempat ketiga dengan persembahan nyanyian.
Putaran Mega BK Mini Fest 2023 Tawar Hadiah Menarik
Salah satu daya tarikan untuk BK Mini Fest 2023 adalah acara Putaran Mega BK Mini Fest yang memberi peluang kepada para pengunjung untuk memenangi pelbagai hadiah menarik. Kepada pembeli barangan Karihome atau pembukaan akaun Simpan SSPN bernilai RM20 ke atas, berpeluang untuk membuat putaran roda.
Sekiranya mereka menerima tiket emas untuk ke Putaran Mega BK Mini Fest, mereka berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan seperi komputer riba, baucar percutian, beg berjenama mewah, baucar membeli-belah dan banyak lagi. Tahniah kepada Pn. Nor Hafida kerana berjaya memenangi hadiah utama yang berupa komputer riba tajaan Acer!
Aktiviti Untuk Ibu Di Mini Stage
Bukan sahaja aktiviti di pentas utama, BK Mini Fest turut memberi ruang kepada para ibu untuk ‘me-time’ di pentas mini. Pada hari Sabtu telah diadakan acara Lindungi Anak Anda! bersama tiga orang panel jemputan iaitu Kaunselor Laktasi Pn. Noorfazila Abdul Rahman, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Dr. Maiza Tusimin serta Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga & Organisasi, Dr. Hajah Azuraida Shahadan.
Selain itu pada hari Ahad pula telah diadakan Mama Zumba Sweat It Out! bersama Zin Belle dan 30 orang para ibu yang telah berzumba beramai-ramai di pintu masuk utama Plaza Shah Alam. Selepas berzumba, mereka kemudiannya mendengar perkongsian tentang diet dari Pegawai Dietetik bertauliah, Pn. Laila Fadhilah Omar dari SALAM Shah Alam Specialist Hospital.
Banyak Tarikan Lain
Selain pelbagai acara menarik di pentas utama dan pentas mini, terdapat banyak aktiviti lain yang ada di Plaza Shah Alam selama dua hari BK Mini Fest 2023 berlangsung.
Booth seperti zoo mini dari Farm In The City, lukisan muka, inai, gula-gula kapas serta kolam bola dari Poolkidz, booth KUEH yang turut menaja makanan di setiap aktiviti Mini Stage dan banyak lagi turut mendapat sambutan dari pengunjung yang hadir.
Sememangnya acara dua hari ini telah merapatkan hubungan kekeluargaan serta mencungkil potensi kanak-kanak yang datang. Diharapan penganjuran acara BK Mini Fest 2023 dapat memberi manfaat kepada kesemua yang hadir memberikan sokongan.
JOM SAKSIKAN VIDEO HIGHLIGHT BK MINI FEST 2023
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!