Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang memandu kereta Toyota Corolla bersama kawannya bernasib baik kerana terselamat selepas melanggar kenderaan yang diparkir di bahu jalan semalam.
Kanak-kanak itu difahamkan memandu kereta milik keluarganya sekitar jam 9.30 malam di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kanak-kanak terbabit bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun namun tidak mengalami kecederaan.
Ads
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu oleh kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang merupakan jirannya.
“Kereta itu dari arah Apartment Arowana Impian menuju ke arah Taman Arowana Impian,” katanya dalam satu kenyataan.
Ads
Menurutnya, semasa melalui satu selekoh, kereta dipandu terbabas dan melanggar sebuah van jenis Toyota yang diparkir di bahu kiri jalan.
Ads
Tambahnya, kejadian itu telah menyebabkan van itu menggelongsor ke hadapan dan melanggar kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya.
“Semua pihak dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya dan ibu bapa atau penjaga perlu memerhati serta memantau tindakan anak-anak di bawah jagaan.
“Ia bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dan tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan kesalahan, jika pesalah adalah kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga juga akan dikenakan tindakan,” katanya.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Sejak malam Amir terdengar suara dari sungai, hidup dia tak sama macam dulu. Setiap kali angin bertiup, dia rasa macam sungai tu memanggil dia. Dalam hati, dia sedar ini bukan sekadar cerita. Ini adalah kisah seram sungai yang makin menghantuinya.
Mak selalu tegur, “Amir, jangan berdiri lama sangat dekat tingkap tu. Nanti masuk angin.”
Amir angguk, tapi sebenarnya dia bukan takut angin. Dia takut tangan yang dia pernah nampak tu muncul lagi.
Satu petang, selepas balik sekolah, Amir terdengar suara budak-budak main kat tepi sungai.
“Lompat! Cepat!” “Air hari ni jernih! Best gila!”
Amir berlari ke belakang rumah. Dia tengok dua orang kawan sekolahnya, Azim dan Farid, tengah duduk di batu besar dekat tepi sungai.
Amir cepat-cepat jerit, “Jangan main dekat situ!”
Azim pandang Amir sambil gelak. “Ala Amir ni. Penakut sungai!”
Tiba-tiba Farid tunduk ke air. “Eh… korang nampak tak? Macam ada bayang putih.”
Amir kaku. Azim jenguk sama. “Bukan bayanglah. Tu pokok kelapa sebelah tu.”
Tapi Amir tahu… Benda tu bukan bayang pokok. Dia pernah nampak jari-jari panjang tu.
“Jom balik! Cepat!” Amir tarik tangan Farid.
Baru mereka nak bangun, air sungai tiba-tiba berkocak kuat. Plup! Plup! Pluuup! Macam ada sesuatu besar naik ke permukaan. Azim terus lari tanpa tunggu sesiapa.
Amir tarik Farid sambil berlari, tapi semasa dia toleh sekali lagi, dia nampak sesuatu. Sebelah tangan putih pucat terangkat perlahan dari air. Jari-jari panjang itu bergerak… seolah-olah sedang memanggil. Amir terus jerit dan lari sampai tak cukup tanah.
Malam itu, hujan renyai-renyai. Angin kuat. Amir cuba tidur, tapi matanya tak boleh pejam.
Tok… tok… tok. Ada bunyi sesuatu ketuk tingkap dapurnya.
Sekali. Lepas tu dua kali. Lepas tu perlahan bentuk ketukan jadi bunyi geseran, macam kuku panjang tarik atas kaca. Amir tarik selimut sampai muka tak nampak. “Mak… mak…”
Mak masuk bilik, “Kenapa ni, Amir?”
“Tingkap… ada bunyi…” Mak pergi ke dapur untuk periksa. Sunyi beberapa saat. Kemudian Mak menjerit kecil. “Ya Allah! Siapa yang letak lumpur banyak ni?”
Lantai dapur penuh kesan lumpur. Tingkap macam baru kena sentuh dengan tangan basah. Mak ingatkan itu angin bawa percikan hujan. Tapi Amir tahu itu bukan hujan.
Keesokan paginya, Pakcik jiran datang sekali lagi.
“Amir… kamu dan kawan-kawan ada main sungai semalam ke?” suara dia serius. Amir geleng.
Pakcik itu mengangkat sesuatu dari dalam plastik. Amir terus rasa badan menggigil. Ia adalah seketul gelang tangan kanak-kanak, warna biru. Gelang yang pernah hilang dari tangan budak yang jatuh sungai dulu.
“Pakcik jumpa ni terapung dekat tengah sungai pagi tadi,” kata pakcik itu. “Air sungai jarang naik macam semalam. Kalau air gelisah macam tu… itu tandanya ‘dia’ tak tenang.”
Amir pegang dada. Dia tahu. Tangan putih itu bukan sekadar menakutkan orang. Ia sedang cari seseorang. Atau… sedang ajak seseorang turun.
Malam itu Amir dengar suara halus dari arah dapur.
“Amir… Amir…” “Temankan aku…”
Tingkap bergetar perlahan. Air di sungai bergelora walaupun angin langsung tak bertiup. Seakan ada sesuatu besar yang naik dan turun, naik dan turun. Amir menutup telinga sambil menangis kecil. Dia tahu satu hal.
Ini bukan pengakhiran. Ini baru permulaan bagi kisah seram sungai yang menghantuinya.
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Korang tahu tak, anak sulung penyanyi Tomok pun ada bakat menyanyi sama macam ayah dia? Haa, inilah dia Arrian Shah Akid yang baru-baru ni berjaya mencuri perhatian ramai bila menyanyikan lagu popular kumpulan New Boyz.
Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, Arrian dilihat menyanyi lagu ‘Sejarah Mungkin Berulang’ dengan penuh yakin. Bukan satu lagu je tau, Arrian siap menghiburkan ahli keluarga dengan beberapa buah lagu lain termasuk ‘Untukmu Ibu’. Wah, memang terasa aura penyanyi cilik!
Rupa-rupanya, momen manis tu berlaku semasa sambutan hari keluarga yang diadakan di Janda Baik, Pahang. Suasana pun nampak santai dan meriah, semua ahli keluarga seronok tengok Arrian menyanyi dengan suara yang merdu.
Video berdurasi hampir dua minit itu turut buat ramai netizen terkejut sebab Arrian nampak makin tinggi dan semakin matang. Ramai juga yang kagum melihat bakat nyanyiannya yang dikatakan mewarisi suara ayahnya, Tomok, pelantun lagu terkenal ‘Sejarah Mungkin Berulang’.
Seronok kan tengok anak kecil berani tunjuk bakat? Siapa tahu satu hari nanti Arrian pula jadi penyanyi hebat macam ayah dia. Kita doakan yang baik-baik untuk Arrian ya!
Baru berusia tujuh tahun, si cilik Alisya Zehra Mohd Izuan yang baru berusia 7 tahun sudah memperoleh lebih 60 pingat buat dirinya menerusi kejuaraan menyertai pertandingan catur.
Ujar ibunya, Zahidahtul Kamaliah Saharun, 37 anak kecilnya itu sudah mula bermain catur seawal usia empat tahun apabila kerap ‘mengganggu’ abangnya, Muhammad Aiman Zarif, 11, bermain catur.
Apabila umurnya menjaukau usia lima tahun dia sudah mula menunjukkan potensi diri malah mula mengumpul pingat melalui acara itu.
Paling membanggakan, kanak-kanak cilik itu selaku Juara Catur Kebangsaan U8G turut bakal menyertai pertandingan di Greece daripada 12 hingga 18 April ini.
“Pada mulanya, jurulatih catur di sekolah Aiman iaitu Ismail Ahmad nampak potensi pada dirinya menyebabkan saya dan suami, Mohd Izuan Mustaffa, berusia 38 tahun, bersetuju untuk menghantarnya menjalani kelas peribadi dengan Ismail.
Zahidahtul yang juga guru berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu sudah menyertai lebih 70 pertandingan catur termasuk secara dalam talian.
“Antara pertandingan yang pernah disertainya adalah Annual Russian House Open Chess Tournament 2025, Pearl Point Shopping Mall 2025 dan 18th IGB Malaysian Chess Festival.
“Dalam kebanyakan pertandingan disertai, Alisya dinobat juara kategori bawah tujuh tahun atau kategori bawah 12 tahun,” katanya.
Menurut Zahidahtul, beliau dan suami sentiasa memberi sokongan kepada Alisya dengan menghantarnya ke kelas peribadi serta membawanya menyertai pertandingan catur hampir setiap minggu.
“Sebagai persiapan mewakili Malaysia, Alisya sedang menjalani latihan intensif dengan jurulatihnya yang dijalankan setiap Ahad bermula jam 9 pagi hingga jam 4 petang.
“Malah, Alisya juga membuat latihan menyelesaikan minimum 100 ‘puzzle’ setiap hari selain menyertai pertandingan catur dalam talian,” katanya.
Zahidahtul berkata, Alisya bertekad untuk mengumpul 100 pingat dan piala dalam pertandingan catur pada tahun ini. Malah katanya lagi, anak kecilnya itu berhasrat untuk bergelar Women Grand Master (dalam catur) yang pertama di Malaysia.
“Kami berharap Alisya dapat mengharumkan nama negara pada pertandingan antarabangsa bulan depan dan berjaya mencapai cita-citanya bergelar Women Grand Master,” katanya.
Kredit: Harian Metro
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!