Siapa sahaja tak suka berkongsi cerita tentang kejayaan anak-anak? Namun, ada ibu bapa yang terlalu ingin bersikap ‘rendah diri’ sehingga terlepas kata-kata yang negatif tanpa sedar. Lebih menyedihkan kalau anak itu mendengarnya sendiri.
Menerusi perkongsian keibubapaan dari Puan Wawa Shauqi, sebagai ibu bapa harus mengelak dari menggunakan perkataan negatif ketika memulakan perbualan dengan anak.
Dalam ingin merendah diri, penggunaan ayat perlulah betul kerana anak yang mendengarnya akan menanam kepercayaan bahawa itu adalah dirinya sekaligus, membentuk siapa dirinya di masa depan.
Ilustrasi : Nazr Syaff
JANGAN BUAT SILAP MACAM NI. “Anak saya ni pemalu sikit.” “Anak saya ni nakal!” “Anak saya ni belajar tak pandai.”
Ads
Ibu ayah. Jangan sesekali sebut perkataan begini depan anak. Walaupun hakikatnya kita kononnya nak ‘humble’ depan orang lain.
Sekali kita sebut, anak akan percaya. Dan tanam dalam-dalam sifat ni dalam diri dia. Kepercayaan tersebut, akan menjadi self image mereka. Dan ia akan membentuk tabiat anak. Dan tabiat tersebut akan membentuk siapa anak di masa akan datang.
Kalau anak dengar kita sebut dirinya ‘pemalu’, secara automatik sifat pemalu akan terbina dalam diri anak. Bayangkan kalau dia dengar kita sebut dia ‘jahat’.
Alangkah ruginya kita. Kerana kita membuka seluas-luasnya kepercayaan dalam dirinya bahawa dia memang jahat. Sedangkan kalau kita tukar sedikit ayat, kita boleh ilhamkan karektor luar biasa pada diri anak.
Ads
CARA GUNA AYAT YANG BETUL
Tukar “Anak saya pemalu.” Kepada “Anak saya awal-awal memang macam ni. Nanti dia dah ok, banyaklah cakapnya tu.” Tukar “Anak saya ni tak pandai.”
Kepada “Anak saya ni kalau bagi peluang, boleh pandai cepat ni insya Allah. Saya nampak potensi dia.” Tukar “Anak saya ni nakal.”
Ads
Kepada “Anak saya ni nampak aktif. Mungkin sebab dia excited terlebih.Tapi, bila dia buat baik, sejuk hati kami. Kalau pesan baik-baik insya Allah dia dengar.”
Kadang-kadang, anak kita ni asalnya ok je. Boleh je behave kalau dipesan. Rajin je mengemas kalau kita motivate. Mau je makan sayur kalau dipujuk. Mau je ramah kalau ada yang pandai mengajak sembang.
Tapi kerana telinga mereka mendengarkan kata-kata dari mulut kita, perkara yang baru terdetik sikit dalam diri mereka, terus mereka pahat jadi imej diri. Jadi lepas ni, walau serakah manapun perangai anak kita, elak bercerita pada orang. Lebih-lebih lagi jika anak ada bersama.
Nampak macam anak sedang leka. Tapi sebenarnya, mereka sedang pasang telinga. Sebaliknya, rajin-rajin ajak pasangan ‘mengumpat’ kebaikan anak. Pastikan anak pun sedar yang diri mereka ‘diumpat’.
“Abang tau. Tadi anak kita tolong saya kemas rumah. Rajin betul Bangga saya dengan dia.” “Sayang, hari ni adik berjaya makan sayur. Hebat kan dia!” Kata-kata yang positif tentang anak, akan membentuk imej diri anak yang baik. Begitu juga sebaliknya. Bentuk imej diri anak yang positif dengan kata-kata yang positif.
Sumber: Wawa Shauqi
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Nak kawal kemarahan anak kecil tentunya sukar kerana mereka ini mengikut rasa emosinya seperti akan menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya.
Perkongsian blog pusat perkembangan Excel Qhalif Playgroup ini menjelaskan bahawa kanak-kanak mempunyai perasaan kecewa atau marah kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi.
Anak adalah anugerah daripada Allah buat setiap ibubapa. Setiap apa pendidikan yang kita berikan kepada anak kita, itulah cerminan buat diri kita.
Kanak-kanak dalam lingkungan umur 2-6 tahun (prasekolah memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’. Apa yang berlaku ialah ketiadaan komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak.
Di samping itu kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.
Kanak-kanak mempunyai komunikasi verbal yang sangat terhad disebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan (input) tentangnya. Mereka juga baru sahaja belajar bercakap, oleh itu ibu bapa kerapkali tidak dapat memahami apakah sebenarnya yang dimahukan oleh anak.
Maka jadilah anak tersebut menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya lantaran kekecewaan kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi. Kanak-kanak pun tahu kecewa sebenarnya ibu bapa sekalian. Justeru itu siapakah yang bersalah? Sudah tentulah orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak.
5 tip yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa bagi berusaha mengatasi masalah ini :
1.KASIH SAYANG
Kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa. Sekiranya bapa jarang mendampingi anak, sudah tentulah anak akan mengalihkan perhatian kepada ibunya.
Oleh itu cuba fahami bahasa anak dengan bertanya secara lemah lembut kepadanya. Tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan dan berikan perhatian kepada anak. Pandang mukanya dan tatap matanya. Berapa kalikah dalam sehari kita bertentang mata dengan anak Eye contact sangat penting di dalam apa-apa jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil.
2.MASA BERSAMA ANAK-ANAK
Sebaik sahaja anda pulang dari bekerja dan mengambil anak dari taska, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur memasak, angkat kain dan sebagainya. Berikan perhatian pertama anda kepada anak. Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama bibik atau di taska/tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya, papa/mama sangat sayangkan abang. Bermain-main dengannya lebih kurang setengah jam, barulah puan minta diri untuk ke dapur dan sebagainya. Insya Allah anak akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya telah diperolehi.
3.DIDIK SIKAP SABAR
Ajarkan anak dengan perkataan “tunggu sebentar boleh” sekiranya anak perlukan sesuatu dan kita tidak dapat berikannya kerana sedang sibuk memasak contohnya. Layanilah dia sebaik sahaja ada kesempatan.
Jangan buat tak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya kita sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan kita sekiranya kita pula yang memanggilnya. The right way to make her listen to you is by listening to her first. Kita tidak boleh harapkan anak patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan ia berlaku demikian. Ingatlah anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.
4. KENALI PERSONALITI ANAK
Setiap anak dikurniakan oleh Allah dengan personalitinya yang tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai personaliti Sanguine. Anak ini memang sangat sukakan perhatian. Oleh itu jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya, bertepuk tangan sekiranya dia menyanyi dengan kuat dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, kita boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit adalah tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.
Sekiranya anak suka menjerit, kita boleh suruh dia mengadap dinding yang kosong dan menjerit di situ berulangkali sehingga dia letih.
Insya Allah dia akan kurang suka kepada menjerit kerana mendapati aktiviti tersebut memenatkan. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai lain beberapa hari. Sekiranya dia mengulanginya semula, kita suruh dia lakukan perkara yang sama sehinggalah dia berhenti sendiri lama kelamaan.
Berikan dia hadiah (gula-gula misalanya) jika kita dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam satu hari sebagai positive reinforcement. Katakan padanya, papa atau mama beri hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini. Dengan ini anak akan faham bahawa papa atau mama tidak menyukai perbuatan tersebut.
5.SIKAP POSITIF
Sentiasa ingatkan diri kita dengan sifat positif anak. Keletah dan karenah anak yang menghiburkan hati. Tumpukan perhatian kita terhadap kelebihan tersebut, jangan ingat kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai solat agar Allah memudahkan kita mengubah sifat negatifnya.
Bayangkan anak dengan semua sifat-sifat positif yang kita inginkan setiap kali kita berinteraksi dengan anak. Boleh juga tukita berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut di ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan kita kepadanya
Misalnya ‘papa dan mama sayang kakak, papa dan mama mahu kakak tidak menjerit lagi’. Sebutkan perkara spesifik yang kita mahukan. Jangan hanya menyebut ‘papa dan mama harap kakak berubah’ atau menyebut dengan nada negatif seperti ‘papa dan mama tak suka kakak menjerit’. Teknik ini dipanggil imagery atau visualization dan didapati sangat berkesan jika dilakukan berulangkali.
Ibubapa sekalian juga boleh membacakan surah AlFatihah, Ayat Kursi dan 3 Kul kepada anak setiap kali mereka masuk tidur untuk memelihara dari gangguan syaitan. Sebagai ingatan, sesungguhnya mendidik anak tidak mudah apatah lagi di zaman globalisasi yang serba mencabar.
Semoga semua ibu bapa lebih bersabar, jangan ignore anak dan cubalah memahaminya. Fahami dunia anak yang tiada masalah, penuh keseronokan dan penerokaan. Bayangkan perasaan anak apabila dimarahi sedangkan apa yang cuba dibuatnya hanyalah meneroka alam sekeliling.
Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibubapalah yang membuat peraturan, disiplin dan juga galakan kepada anak. Belilah buku-buku tentang panduan mendidik anak, mengenali personaliti anak dan cara-cara menghadapinya.
Sekian, semoga Allah mengurniakan rahmat dan kebijaksanaan kepada ibu bapa. Jangan berputus asa dengan anak kerana ia akan membuatkan anak berputus asa terhadap kita sebagai ibubapanya.
Siapa je yang tak kenal dengan Nur Tiara Zinnirah atau mesra dipanggil Tiara kan? Anak kepada pasangan Achey dan Anne ini selalu menjadi perhatian ramai kerana perangainya yang lucu. Ada saja perkara yang dibuat, yang tak tercapai dek akal.
Tak berapa lama dulu Tiara mencuit hati ramai dengan gelagatnya yang memakai gigi palsu nenek, rambutnya tersangkut di tiang gol dan banyak lagi tetapi kali ini lain pula. Anne memuatnaik sebuah video di mana Tiara menarik wagon trolley yang diduduki seorang lelaki.
Bukan sekadar tarik biasa ya, tapi Tiara mampu menggerakkan wagon trolley tersebut dalam jarak yang agak jauh.
Bukan sekadar membuat pusingan di kawasan sekitar, akhirnya Tiara tinggalkan lelaki tersebut! Namun, dia berpatah balik dan meminta supaya dirinya pula yang ditarik. Kuatnya Tiara mampu tarik orang dewasa, selamba pula tu!
Ramai yang terhibur dengan keletah Tiara terutamanya part dia lari tinggalkan abang yang ditarik. Terdiam sekejap abang duduk dalam wagon trolley tu, mujur Tiara patah balik. Semoga Tiara terus membesar dengan sihat dan jadi anak yang baik okay!
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Pesanan seorang ayah sering menjadi bekalan berharga dalam kehidupan anak-anak, terutama apabila ia disampaikan dengan penuh hikmah dan kasih sayang.
Sebagai dalam coretan ini, dikongsikan oleh Ustazah Aminah Yusof beberapa nasihat mendalam dari Almarhum Ayahanda yang telah membentuk peribadi penulis sejak kecil.
Setiap nasihat bukan sahaja menjadi pedoman untuk kehidupan duniawi, malah juga menjadi panduan menuju akhirat. Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada kita semua untuk menghargai dan mengamalkan ajaran yang baik dalam kehidupan seharian.
Pesan Almarhum Ayahanda yang paling “Deep”
1. Ngaji selepas subuh Dari sekolah rendah ayah wajibkan kami adik beradik mengaji selepas subuh. Ayah paksa baca paling sikit satu muka walaupun dah lambat nak ke sekolah. Ada masa tu panjang juga muncung kami adik beradik, takut pengawas ambil nama sebab lambat datang sekolah. Muka mencuka tanda protes, untungnya kami takut nak membantah dengan kata-kata sebab ayah garang.
Rupanya, kesan baca Al-Qur’an selepas subuh banyak bantu kehidupan harian saya, dalam kelas dapat fokus, rasa tenang dan tidak pernah tertekan walaupun kerja sekolah banyak, perhubungan dengan kawan baik dan yang paling saya bersyukur ialah hubungan dengan guru sangat baik. Saya setuju jika permulaan hari itu dimulakan dengan solat sunat sebelum subuh, solat subuh yang khusyuk, baca Al-Qur’an dan amalkan ma’thurat. Terlalu banyak perkara yang baik-baik berlaku tanpa diduga dalam hidup kita.
2. Ikut tadah kitab kat masjid setiap kali lepas maghrib Dari kecil ikut ayah ke masjid-masjid sekitar daerah Pasir Mas untuk tadah kitab tauhid, fekah, usul, kadang-kadang belajar juga tafsir dan tajwid. Allahu rindu sungguh zaman-zaman ini. Kadang-kadang ikut Mak ayah pergi masjid bukan untuk tadah kitab tapi nak tengok jamaah dekat masjid. Itulah sahaja tempat paling seronok sebab dapat jumpa dengan kawan-kawan. Hebat kesannya bila selalu bertandang ke rumah Allah. Tempat yang penuh rahmat ini membina sahsiah, akhlak dan membantu saya belajar tentang adab terhadap orang tua. Banyak petua-petua orang lama yang saya dapat. Itulah ilmu yang banyak membentuk peribadi dan kelakuan saya. Melihat orang tua ibarat melihat diri sendiri pada masa akan datang. Tak berani nak menolak hakikat ini.
3. Makan mesti berjamaah Ayah selalu keluar sehingga sempadan terengganu untuk berdakwah, dua tiga hari musafir baru pulang semula ke rumah. Saat paling bahagia ialah bila dapat berkumpul dan makan berjamaah. Sangat tertib, dimulakan dengan doa barulah boleh menjamah makanan kemudian diakhiri juga dengan doa. Ayah banyak mengajar kami adik beradik berkongsi, makanan yang sedikit bila makan sama-sama pasti mencukupi, kadang-kadang ada lagi lebihan. Rezeki murah dan tidak pernah rasa kesempitan.
4. Hormat ayah sampai tak berani cakap kuat-kuat.
Dulu saya tertanya-tanya ayat Al-Qur’an yang mana ayah bacakan untuk kami adik-beradik sehingga tidak berani melawan, cakap kuat-kuat dan membantah setiap suruhannya. Nampak bengis tetapi dekat dan mesra. Senyum dan ketawanya sangat mahal tapi sekali ia terukir, padam segala ketakutan. Rupanya amalan bacaan Asma’ Al-Husna bantu ayah lembutkan hati anak-anak.
5. Ajak orang buat baik, in sha Allah hati kita akan terdidik.
Pesan ayah nak jadi baik mestilah rajin ajak orang buat baik. Mungkin dengan asbab ini, Allah hidupkan hati kita untuk melakukan kebaikan. Jangan tunggu baik dulu baru nak buat baik, kerana kebaikan tidak datang secara percuma. Gunakan segala peluang yang ada, melalui tulisan, perbuatan, kata-kata, penampilan dan gaya hidup. Macam-macam cara yang kita boleh lakukan. Hakikatnya nak menyeru kebaikan itu tidak susah kerana Allah sentiasa mendorong kita dengan pelbagai kemudahan dan pertolongan dariNYA. Satu perkara kita kena ingat, menyampaikan kebaikan tidak semestinya orang terus baik, jangan ada unsur paksaan jika berlaku penolakan kerana hati manusia kepunyaan Allah. Kita ikhlas menyampaikan, selebihnya bertawakkallah kepada Allah.
6. Dunia bukan untuk senang-senang dan berseronok kerana ia hanyalah jambatan yang penuh ujian sebelum sampai ke dunia akhirat. Perjalanan hidup ayah tidaklah mudah, bermalam disurau berteman angin dingin yang menyucuk hingga ke tulang sum-sum, gigitan nyamuk yang berbintat-bintat, suara unggas yang mengisi hening malam. Semua itu ayah lalui dengan tenang dan sabar kerana seluruh jiwa dan raganya diserahkan untuk agama Allah. Saya malu nak bersenang-senang, bermewah-mewah bila teringat jerih pengorbanan Almarhum ayahanda dalam hidupnya.
Walaupun saya tidak mampu untuk menjadi sekuat dan sekental ayah, saya selalu berdoa untuk menjadi anak yang mampu menyalurkan amal jariah kepadanya. Ya Allah.. Andai Engkau menerima semua bingkisan, kerja dan amalanku, aku sedekah untuk Almarhum ayahanda Mat Yusoff Bin Ismail, moga terang kuburnya, tenang kuburnya, nyaman kuburnya, menjadi satu taman dari taman-taman syurgaMU. Amiiin ya Mujeeb. Tenangkan juga ibu ayah sahabat2 ku, moga beroleh karamah, rahmat dan kasih sayangMU sehingga ke Syurga.
Sumber: Aminah Mat Yusoff
Bintang Kecil dah ada di SeeNI!
Download aplikasi
sekarang!
Pada majlis graduasi sekolah rendah yang penuh meriah dan bermakna baru-baru ini, Talita menjadi perhatian bukan hanya kerana kejayaannya, tetapi kerana ucapan yang langsung menyentuh hati semua yang hadir. Namun orang yang paling sebak sudah tentu mummy Watie.